MELODI KASIH ALLY... kisah sempoi membawa lara, menumpang kasih..

Melodi Kasih Ally...

Selasa, 20 Mac 2018

MELODI KASIH ALLY.... full story


Sinaran mentari awal pagi yang muncul dibalik bukit kecil di kampung Melayu ini semakin keras, rintis kecil peluh bertambah banyak membuatkan baju putih gambar dua jari (peace) basah di belakang, leher dan ketiak.. hayunan kaki tambah laju bila ia membelok ke lorong rumah banglo setingkat yang tersergam tegap di kaki bukit kecil, beberapa ela dari lorong dia melalui pula pintu pagar utama dan berhenti di laman depan rumah untuk melakukan senaman regangan dan dimulai dengan tangan dipinggang, badan dibengkok kiri dan kanan selepas itu dilakukan tekan tubi sepuluh kali, selesai menarik nafas beberpa kali pemuda ini ke laman belakang tempat dia selalu bersantai selepas tamat aktiviti berjogging atau sekadar berjalan jalan ringan waktu pagi atau petang di sekitar perkampungan Tanah Jambu. Sebagai mengalas perut untuk pagi ini Ally hanya sediakan jus oren bersama roti bakar kosong, roti Gardenia yang dibeli di kedai hj Rahim sudah tinggal separuh. Ally masuk ke rumah kemudian membawa jem nenas untuk disapu ke atas roti.
Dulu masa kerja di Kilang Roti Beris, Ally sudah tahu cara- cara membuat roti inti dan roti keping. Kawan- kawan Ally yang bekerja di kilang roti semuanya akan jadi macam roti, mula kerja badan kurus bila masuk tiga ke empat bulan masing- masing badan jadi tembam sebab hari hari makan roti. Pernah juga Ally secara bergurau mencadangkan Imah agar kerja di kilang roti kerana badannya yang cenkung dan kurus selepas suaminya kawin lagi. Dan sebagai menyahut cabaran Ally, Imah bekerja di kilang roti, sejak itu Imah benar- benar gembira kerana tubuhnya berisi semula, oleh kerana badan Imah menjadi jadi tembamnya menyebabkan suaminya hilang selera dan jarang balik ke rumah, selepas itu Imah berhenti kerja di kilang roti dan khabarnya Imah menjual ikan kering di pasar tani atau pasar malam sejak itu badan Imah mula susut, ramailah orang yang bertanyakan amalan penjagaan badan oleh Imah, dan Imah pula dengan selamba dan berseloroh katanya "jadilah madu".
Tup..tuup..tutuup bunyi handset di atas meja depan Ally "Hallo.. mak.. tapi mak.. dua minggu lagilah mak.. tak boleh tunggu beberapa hari lagi ke..? ... kalau macam tu kena periksa tiket dulu, tengok ada ke tak.. yalah mak.. waalaikumsalam". Ally menerima panggilan telefon dari emaknya yang tinggal di sebuah kampung di pantai timur semenanjung Malaysia..
Selepas bercakap dengan emaknya di telefon Ally bersandar di kerusi, rasa tak senang duduk dia bangun pula mundar mandir di ruang santai sederhana besar itu, tangannya yang masih berpeluh digaru- garu ke dagu yang baru ditumbuhi janggut selepas dua hari dicukur. Setelah berfikir sekejap dia mendail no telefon, diletakkan ke telinganya “Hallo.. pangeran.. boleh keluar ke Airport ?... nanti diceritalah... okey... mandi dulu.. waalaikumsalam” Ally matikan hansetnya, diteguk jus oren yang masih bersisa dan selepas itu dia terus naik ke biliknya untuk mengemaskan pakaian. Sebuah beg bertroli yang diturunkan dari atas almari, dibuka dan bentangkan di atas katil. Ally lipat dan masukkan dua helai seluar jeans dan beberapa helai T-shirt juga baju kemeja dan sweather, barang- barang yang lain juga dimasukkan di ruangan berzip bahagian dalam beg tersebut, selepas berpuas hati mengisi barang- barang ke dalam beg, Ally turun pula ke baagian dpur untuk mengemaskan mana –mana barang  yang perlu disimpan ke dalam cabinet, rumah tempat tinggal Ally ini boleh dikatakan selesa dengan empat bilik tidur dan tiga bilik air, setiap bilik sudah disediakan kelengkapan dan perabot begitu juga bahagian lain dalam rumah seperti dapur dan kelengkapan home theatre Ally hanya perlu sediakan barangan peribadi sahaja untuk menghuni rumah ini.


Setelah selesai mandi Ally terpandangkan gambarfoto rakan sekerjanya yang digantung dekat almari pakaian, gambar yang dirakam di depan lanskap air terjun diluar pejabat itu memperlihatkan wajah- wajah antaranya Iskandar, Eton, Dayang, Hj Sapei, Datu Suhaili, Hajjah Armah dan beberapa rakan lain termasuklah bosnya Pangeran Sabudin, yang tidak terdapat dalam gambar itu adalah rakannya yang paling akrab iaitu Pangeran  Bakar kerana dia adalah seorang peniaga kain biasa yang berulang alik antara KL – Brunei – Jakarta. Rasa sebak dan segala kenangan bersama mereka seakan memegang kaki Ally agar jangan tinggalkan mereka. Sebenarnya Ally sudah lama bersedia untuk balik ke Malaysia dan banyak barang- barangnya sudah dipindahkan ke rumah Pangeran Bakar tetapi rakan- rakan Ally meminta Ally jangan pulang dulu kerana tak berapa lama lagi Radio Televisyen Brunei (RTB) dengan slogan “Biskita Bersama Awda” akan menawarkan kontrak baru dan Ally diminta mencuba nasib. Pun begitu sebenarnya Ally tidaklah berhasrat untuk terus tinggal lagi di Brunei ini, dia berhajat untuk pulang dulu ke kampong dan selepas itu barulah membuat pertimbangan sama ada ingin kembali atau tidak..
Ally berseluar jeans dan baju T berkolar warna coklat.. dikenakan but yang juga warna coklat, Ally berlegar disekitar laman rumah melihat bunga- bungaan dan sebatang pokok delima yang baru ditanam, ditarik gelungan wayar getah yang berlingkar hingga ke hujung pagar dari situ wayar getah dicucuk ke muncung paip tembaga, dipusing tombolnya ke kanan dan mula menyiram pokok- pokok di sekitar termasuklah sepohon pokok terap pemberian rakannya dari Labuan beberapa bulan lalu pokok yang buahnya seakan sukun dan isinya seperti cempedak ini juga turut disiram, pokok terap itu ditanam berjauhan dari kumpulan pokok bunga- bungaan dan delima yang sifatnya tidak merimbun dan tidak menggangu pembesaran pokok- pokok di sekitarnya.
Ally sudah diberi kebenaran oleh tuan punya rumah untuk menanam pokok tersebut, tuan rumah ini adalah seorang tentera berpangkat kapten, dia akan datang sekali- sekala untuk menjenguk rumahnya, dia berpuas hati dengan cara Ally menjaga rumahnya dan memberi kebenaran kepada Ally untuk menjadikan rumah ini seperti rumahnya sendiri, tuan rumah ini juga khabarnya tidak bercadang untuk balik semula ke rumah ini lagi kerana dia sudah mempunyai rumah baru yang lebih besar dan mewah dekat dengan taman tema Jerudong Park. Ally juga diberitahu oleh Pangeran Bakar bahawa kapten Tentera Diraja Brunei ini juga berkahwin dengan puteri bangsawan yang berpangkat Pehim.
Sedang Ally asyik berdiam memerhati dan menyirami landskap kawasan sekitar rumahnya, bunyi hon kereta membuatkan Ally terkejut dari lamunan dan tangannya disentak keras mengenai ranting pokok bunga puding menyebabkan seekor kumbang keluar dari daunan dan terbang ke pokok lain. Ally mematikan air dan menggulung semula wayar getah berwarna oren jernih itu, gulungan wayar disimpan di tepi tiang garaj dekat dengan galang besi penyidai kain dan dengan tergesa- gesa dia masuk ke dalam kereta yang sedang menunggu..
Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan tidaklah sesibuk KLIA atau mana- mana lapangan terbang antarabangsa yang lain. Sahabat Ally, Pangeran Bakar sedang berunding untuk mendapatkan sekeping tiket penerbangan terus ke KLIA. Lebih kurang dua puluh minit Ally menunggu di bangku yang disediakan, kerana lama menunggu Ally mengisyaratkan kepada temannya yang dia akan menanti di dalam kereta. Pangeran Bakar hanya mengangguk sahaja.
Pangeran Bakar melihat paparan di skrin komputer di depan pegawai tiket, pegawai tersebut dengan ramah dan senyuman memikat tidak jemu memberi penerangan tentang masalah tiket, setelah berunding dan Pangeran Bakar sendiri diberi peluang menghubungi seseorang melalui telefon akhirnya sekeping tiket warna kuning penerbangan Royal Brunei diserah ke tangan Pangeran Bakar. 


Selesai membuat pembayaran dan pengesahan penerbangan tanpa membuang masa Pangeran Bakar meninggalkan kaunter dan pergi ke tempat Ally yang sedang menunggu di dalam kereta Mercedes masterpiece warna merah terang miliknya. Selain kereta itu sahabat Ally ini mempunyai sebuah lagi kenderaan iaitu pacuan empat roda jenama Kijang keluaran Indonesia yang tidak terdapat di Malaysia (waktu itu) "Nasib ada kenalan di kaunter, jika tidak tak dapat berangkat ini hari... kapal penuh tiada lagi yang langsung ke KL, tapi dicubanya sedaya upaya... hingga dapat" "Jadi yang transitlah tu ?" Ally cuba pastikan. "tidak juga, Si Raman pegawai tiket tu kawan lama saya.. dia cuba call beberapa orang customer tetap penerbangan ke KL.. dan untung ada seorang yang tak jadi terbang".
Pangeran Bakar seluk saku baju dan diserahkan tiket penerbangan kepada Ally. "Hebatlah Pangeran.. senang, mana- mana tempat pun ada kawan" puji Ally membuatkan Pangeran Bakar senyum bangga. "Kita ke rumah dulu, lepas solat nanti kita langsung ke sini" Pangeran Bakar memberi cadangan sambil berjalan masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin "err.. saya kira nak ke Kampung Air dulu" dengan rasa malu dan segan Ally luahkan juga kehendak hatinya walaupun dalam keadaan tersipu- sipu. "Kamu nak ke rumah Dayang Rahmah ?" Pangeran Bakar senyum kepada Ally, rupanya teman Ally ini tahu akan keakraban Ally dengan Dayang Rahmah yang sebenarnya sudah bergelar Hajjah itu. "Ya" jawab Ally ringkas "Kalau begitu lepas hantar kamu ke jeti, kita jumpa di Airportlah ?". "Ia begitulah.." dengan ringkas Ally mengiyakan.
kereta mereka melalui depan bangunan Hasbullah dan membelok di persimpangan ke kampung Air. Selepas turunkan Ally di kawasan lapang berdekatan dengan pondok konkrit yang digunakan oleh penumpang untuk menunggu bot tambang ke perkampungan Air. Ally bercakap- cakap beberapa perkara dengan Pangeran Bakar, Ally menghulur tangan dan mereka bersalaman. Pangeran Bakar menghidupkan enjin keretanya yang dimatikan sekejap tadi dan bergerak pulang ke rumahnya di Gadong
Di jeti ini terdapat banyak kereta yang diletakkan di petak- petak yang disediakan, semua kenderaan ini adalah milik pengunjung atau dimiliki sendiri oleh penduduk yang tinggal di Kampung Air. Mereka yang tinggal di kampung itu dan jika berurusan di darat terpaksalah pulang ke rumah masing- masing dengan menggunakan bot tambang atau bot kepunyaan sendiri dan ditambat di jeti yang disediakan.
Tidak berapa lama menunggu, bot tambang yang bersimpang siur membelah arus sungai Brunei ini.. sebuah diantaranya merapat ke jeti tempat Ally sedang menunggu, ada tiga orang termasuk Ally yang bersedia untuk menggunakan khidmat bot penambang ini.
Lebih kurang lima belas minit mengharung air, sampailah Ally ke kawasan penempatan penduduk Melayu yang banyak dikisahkan dalam riwayat Melayu Islam Brunei ini dan di sinilah Dayang Rahmah tinggal. Selepas turun dari bot Ally melangkah anak- anak tangga yang disambung ke jeti dan berjalan pula melalui pelantar kayu untuk ke rumah Dayang Rahmah. “Assalamualaikum..” Ally memberi salam di depan rumah Dayang Rahmah yang bercat putih, bumbung merah, bingkai pintu dan tingkap pula berwarna biru laut, Nampak bersih dan menawan. “Waalakummussalam..” terdengar suara orang menyambut salam dari dalam rumah, Ally rasa lega dan gembira mendengarnya dia amat mengenali suara manja itu.. suara rakan sekerjanya di RTB. “Eh.. Ally jemput masuk.. kenapa kamu tak khabar dulu sebelum kemari ? rumah tiada persediaan untuk kamu”. Dayang Rahmah kelihatan serba salah dengan kehadiran Ally.

Seingat Ally ini adalah kali kedua dia bertandang ke rumah Dayang Rahmah sepanjang dua tahun tinggal di Negara Brunei ini. Tak payahlah bersusah- susah, saya datang ni bukannya ada apa-apa cuma untuk ziarah.. selepas ini mungkin kita tak jumpa lagi, sebab petang nanti saya akan pulang ke Malaysia”. Dayang Rahmah sekali lagi terkejut. “Eh, kenapa lekas benar katanya cuti panjang, kamu jangan berguraulah Ally..”. “Memang pada mulanya saya nak habiskan saja cuti di sini tapi kerana kebetulan saya mendapat panggilan dari keluarga yang meminta saya balik awal sebab saudara di sana hendak melangsungkan perkahwinan”. “Oh, begitu Alhamdulillah..” Dayang Rahmah mengucapkan syukur, syukur kerana saudara Ally hendak kahwin bukannya syukur dengan keberangkatan Ally. “Ke dapur dulu.. bikin air” Dayang Rahmah minta diri. “Yang lain ke mana ?” Ally bertanya agak kuat kerana Dayang Rahmah sudah masuk ke dapur. “Belum pulang.. di sekolah”.
Dayang Rahmah memelihara dua orang anak angkat. Ally pun hairan kenapa orang cantik dan berkerjaya sepertinya lambat mendapat jodoh, Ally menjangka jika lama lagi dia di Brunei mungkin Dayang Rahmah akan temui jodohnya.
Ally memang sudah lama tak berkunjung ke sini dan kali ini pemerhatian Ally terhadap suasana dan keadaan perkampungan air ini lebih kritis lagi. Ally juga dapat membuat kesimpulan bahawa penempatan ini agak hebat, ia punya segala kemudahan sebagaimana tempat tinggal penduduk di darat atau tempat- tempat lain di bahagian daratan, pertama kali waktu Ally sampai ke sini dia dimaklumkan yang banyak penempatan baru dibina dengan teratur selepas berlaku kebakaran besar dan ini sering terjadi mungkin sebagai cara untuk mendapat rumah baru yang dibina percuma oleh kerajaan sama ada di tempat yang sama atau memilih untuk pindah ke darat. Keadaan harmoni ini berbeza dengan perkampungan air di Tawau atau Pulau Gaya di Sabah.
Dulang berisi teko dan cawan teh diletakkan di depan Ally. “Biasanya anak- anak balik ke rumah pukul berapa ?” Ally memecahkan sepi seketika setelah masing-masing seperti tiada topik hendak dibualkan. “Mereka berdua tu kembar seiras, duduk pula satu kelas, ke mana sahaja mesti berdua.. hari ini Dayang Sarlini nak beli beg sekolah baru dan buku latihan jadi Dayang Sarlina terpaksalah menemani adiknya tu ke centre point..”. “Mereka tu belajar sampai mana dah..” “o-level.. saya berkira tahun depan nak hantar belajar di KL.. banyak ke kolej kat sana ?” Dayang Rahmah bertanya Ally kerana dia hanya mengetahui daripada anaknya tentang beberapa kolej yang sesuai sekiranya tiada peluang untuk ke Universiti di Singapura. “Oo.. banyak kat lembah Kelang sahaja berbelas tak termasuk negeri- negeri lain lagi.. antara yang terkenal seperti Lim Kok Wing, Kolej Sunway, Kolej TAR, MIIM, Jerman Malaysia Institut, Twin Tech, macam- macamlah.. Finas pun ada.. tepuk dada Tanya selera..” “Rasa- rasa kamulah.. apa yang sesuai untuk budak- budak tu..” . Dayang Rahmah terpegun mendengar begitu banyak kolej yang ada kat Malaysia. “Kalau memandangkan keperluan dan keupayaan Negara ini.. elok mereka mohon ke Kolej Petronas di Terengganu.. dah tentu terjamin”.
Assalamualaikum..” dua orang remaja perempuan kembar seiras sampai, mereka Nampak kepenatan dan terkial- kial menanggalkan kasut, seorang diantaranya membuka tudung dan mengipas lehernya yang melekit menggunakan tudung itu yang seorang lagi membawa beg plastik besar. “Itupun mereka waalaikummussalam.. mari masuk.. salam dengan uncle” Dayang Rahmah melambai tangan memanggil anak- anaknya. Dengan santun dan tunduk membongkokkan badan, mereka berdua menyalami dan mencium tangan Ally. “Aaa.. uncle Ally.. kawan sekerja ibu.. orang Malaysia besok- besok kalau belajar kat sana bolehlah hubungi uncle Ally”. “Boleh.. tak jadi masalah” Ally cepat menjawab memberi jaminan. Kedua anak dara itu tersipu- sipu dan si adik menolak belakang kakaknya masuk ke dalam bilik dan dari bilik mereka terdengar suara mereka ketawa .. terdengar nama Ally diperkatakan oleh mereka. “Tak ada lainlah tu ngumpat kitalah tu..” Ally hanya senyum. “flight jam berapa ?” Dayang Rahmah cuba menukar tajuk perbualan kepada perkara lain pula sambil menjemput Ally minum. Dayang Rahmah juga mempelawa Ally merasai kek sarang semut yang baru dipelajarinya dari majalah ‘wanita’
Selepas berbual panjang dengan pelbagai topik dan cerita juga sudah dua kali Dayang Rahmah menuangkan teh cina dalam cawan kecil diatas meja comel ukiran jati, akhirnya Ally minta diri memandangkan waktu yang bersisa sudah tidak mengizinkan mereka berbual lebih panjang lagi.. sebelum mereka berpisah Dayang Rahmah memberi harapan yang mereka akan bertemu lagi di lapangan terbang.
Sebelum bot menghampiri dan memijakkan kaki ke darat, Ally telah pun menghubungi Pangeran Bakar meminta rakannya itu datang mengambil dia di jeti. Sebelum ke lapangan terbang Ally singgah dan berada di rumah Pangeran Bakar untuk berehat dan membersihkan badan juga mengerjakan solat Jamak dan Qasar kerana pada jam 3.55 Ally akan lapor diri di balai berlepas, jam 4.55 penerbangan ke KLIA insyallah akan berlepas.. kemudia lebih kurang dua jam setengah Ally akan sampai ke tanah air tempat tumpah darah yang sekian lama dirinduinya kerana dua tahun di negara Awang dan Dayang ini Ally tak pernah pulang walaupun sewaktu hari raya dan cuti am sekiranya tempoh tinggal hampir tamat Ally akan ke Miri atau Limbang dan pernah juga ke Labuan untuk cop passport.


“Dah hampir jam tiga setengah ni.. jom !” Pangeran Bakar mengingatkan Ally yang masih di atas sejadah “Beg saya mana Pangeran?” “Ada... sudah di kereta” Ally melipat sejadah dan mengucapkan terima kasih kepada isteri Pangeran yang tidak dapat ikut sekali kerana terpaksa mengambil anak mereka yang belajar di kelas tambahan. Ally juga tidak melepaskan peluang mencium dan mencubit pipi anak bongsu Pangeran Bakar yang berusia dua tahun di atas dukung ibunya..

Dan seperti yang dijanjikan... sebelum panggilan masuk ke balai berlepas Ally sempat berbual dengan Dayang Rahmah di sudut yang berjauhan sedikit dari kenalan yang lain. “Di sana nanti apa yang nak dilakukan ?” “Entahlah, Dayang..  rasanya masih tetap dalam bidang yang sama.. tapi bila difikirkan nak juga lakukan sesuatu yang agak releks sikit..” “Adakah kerjaya yang sebegitu terdapat di sini..?” Dayang Rahmah menyoal dengan harapan Ally mempunyai satu cita- cita yang terdapat di Brunei, dengan itu semakin cerahlah Ally kembali lagi. “Ada.. potensi, di sini ada material yang tiada had.. ada ruang untuk belajar, berupaya untuk promosi ke antarabangsa” Ally dengan bersungguh- sungguh menyatakan keyakinannya “Cuma peluang.. yang saya kira pihak di sini mengambil sikap berhati- hati dan ada rasa curiga kepada tenaga luar” Dayang Rahmah mendengar pandangan Ally dengan penuh minat  “Orait.. kalau kami usaha dan mampu hindar rasa curiga.. sudikah kamu datang dan berkhidmat lagi di sini..?
Pangeran Bakar yang serba sedikit mengetahui hubungan akrab Ally dengan Dayang Rahmah berada berjauhan dan tidak mendengar perbualan mereka, dia seolah- olah faham dan memberi  peluang terakhir untuk Ally berbual dengan Andalusia yang bergaya itu. Selepas saling berpesan Dayang Rahmah terlebih dahulu menghulurkan salam kepada Ally dan salamannya yang terakhir ini Ally rasa cukup bermakna dan lebih erat. Terjatuh juga air matanya takkala Ally melepaskan salamannya. Sungguh seperti kata orang perpisahan dapat menyingkap hati sebenar seseorang kepada kita..
Selepas babak pilu bersama Dayang Rahmah kini tiba giliran teman- teman Ally yang lain. Iskandar dan isterinya menghadiahkan sehelai kemeja, Eton member jambangan bunga hidup, bos Ally di RTB memberi hadiah dalam bungkusan yang katanya udang galah, begitu juga teman yang lain masing- masing dengan hadiah dan gelagat tersendiri. Pangeran Bakar member ingatan kepada Aly.. “Jangan lupa kami semua di sini, kirim- kirimlah berita  bila di Malaysia nanti” Pangeran Bakar memeluk Ally.. rangkulan seperti dua saudara yang tak pernah berpisah persis pak Arab pun ada.. “Insyallah dan semoga kamu semua juga tidak lupakan saya, mana tahu sekiranya rezeki saya masih ada di Brunei ini tidak mustahil kita bertemu lagi” “Alhamdulillah mudah- mudahan” Pangeran Bakar menyambut kata- kata Ally dengan harapan yang tinggi agar di kemudian hari Ally akan datang lagi ke Brunei begitu juga dengan kawan- kawan Ally yang lain, mereka yang berdiri mengelilingi Ally semuanya bersetuju dan anggukkan kepala “Saya berharap Pangeran dapat tolong saya menguruskan barang- barang dan tempat tinggal saya di Tanah Jambu” “Insyaallah itu jangan dirisaukan” balas Pangeran Bakar dengan yakin. Ally senyum dia rasa bertuah dapat berurusan dengan kawan yang baik ini.


Ally lihat di skrin dan tertulis KUL... LAST CALL “Okey semua saya berangkat dulu Assalamualaikum” “Waalaikummussalam..”hampir serentak mereka menjawab. Ally cuba mencari di mana Dayang Rahmah tetapi tidak Nampak. “Kirim salam pada Dayang Rahmah ya” Ally tujukan pesanan kepada Pangeran Bakar, dia hanya anggukkan kepala perlahan barangkali tidak dapat berkata- kata kerana sebak dengan perpisahan ini. Ally pusingkan badan dan terus masuk ke balai berlepas sambil melambai tangan kepada semua.. Bon Voyage untuk Ally.
Dayang Rahmah sampai di rumah pukul 7.00 malam, rumahnya sudah terang dengan lampu tangga  berpasang. Dayang Rahmah tidak terus masuk ke rumah, dia duduk di bangku depan rumahnya.. Ally.. cepatnya masa, aku belum sempat meluahkan rasa hati ini engkau sudah pergi... pergi yang entah kembali atau tidak.. Dayang Rahmah termenung.. telefon di dalam beg tangannya berbunyi. “Hello.. ia saya.. ohh Mahani, apa khabar sekarang ?... Alhamdulillah.. ya kenapa ?” Dayang Rahmah yang pada mulanya tenang tetapi berubah air mukanya tidak dapat berkata- kata, dia Nampak bingung. “ Aaa.. apa awak cakap ni.. Mahani ? 
....astagfirullahhaladzhim.. mana ada..” Telefon senyap dimatikan oleh si pemanggil. “Hallo.. hallo..” Dayang Rahmah meninggikan suaranya serentak itu juga pintu rumah terbuka. Dayang Sarlini tercegat depan pintu. “Ibu dah pulang...??”
Tiba di KLIA hari sudah malam, para penumpang penerbangan Royal Brunei Airways berbaris keluar dari perut pesawat, senyuman manis pramugari yang berdiri di kiri dan kanan pintu pesawat tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada setiap penumpang yang melintasinya dan berjalan pula melalui terowong anjal ke tempat pemeriksaan  imigresen, Ally menyerahkan passport antarabangsa warna merahnya untuk dicop “Selamat Pulang” kata-kata aluan dari pegawai imigresen separuh umur itu menambahkan lagi keyakinan bahawa Ally kini benar- benar sudah berada di Semenanjung Malaysia, terlihat riak gembira yang terlukis di wajah Ally setelah melalui prosedur itu Ally bergerak pula ke ruang tuntutan bagasi, sudah ramai yang kelihatan tidak sabar dan ingin segera mengambil beg dan barangan mereka yang bergerak perlahan di atas pelantar bagasi yang disediakan, ada juga yang membelek pelekat yang tertampal di barangan masing- masing kerana bimbang akan terambil barangan orang lain. Setelah itu Ally menolak troli keluar dari pintu kaca, ramai yang sedang berbaris menunggu seseorang atau saudara mara mereka ada juga yang membawa sepanduk bertulis nama seseorang Ally juga turut memerhatikan kalau- kalau ada yang sudi datang menjemput, tetapi ternyata Ally bukanlah orang yang harus dinanti. Ally mengangkat beg dari trolinya dan menuju ke pintu otomatik untuk keluar dari bangunan ini.
Keluar saja dari bangunan terminal yang serba canggih ini Ally dihampiri oleh pemandu teksi sapu dengan tawaran tambang  yang katanya murah dan perkhidmatan hingga ke depan tangga rumah. Ally tidak melayan dan berpura- pura menunggu seseorang, Ally Nampak seorang lagi lelaki India berpakaian kemas dengan kemeja putih.. inipun Ally rasa drebar teksi juga. “Hallo macha mahu balik mana ? Sentul ? Ulu Langat? Kajang..? Ally hanya diam “mana mau pergi ? Klang ke saya boleh hantar” “Halo kawan Taman Melawati berapa ?” Ally cuba Tanya spontan “Biasa seratus dua puluh tapi abang punya pasal seratus pun saya jalan lagipun ini malam kurang jammed” Ally berfikir sekejap. “Kalau Cheras boleh ke lapan puluh ?” “alaa.. itu.. okeylah mari.. mari” lelaki India itu terus mengheret beg pakaian Ally ke keretanya, sebuah Mercedes model c200 keluaran 80an yang diletakkan agak jauh dari kumpulan Airport Limo. ‘Kan lebih baik kalau pihak Airport Limo boleh guna cara yang sama seperti lelaki India ini untuk menarik penumpang....’

Dalam perjalanan ke Cheras Ally dihiburkan dengan lagu- lagu filem Hindustan, sekali sekala pemandu turut menyanyi sama. “Anil.. di KL tak hujan ke ?” “hujan ...?” pemandu India terkejut dengan soalan Ally. “Deyy.. kalu KL hujan dia orang bising.. banjir kilat, ini kali tuhan tidak mahu kasi hujan.. sudah dua bulan semua rumput jadi kuning, debu banyak.. tempat saya tinggal Sentul sana, hari- hari DBKL hantar air” Ally sudah dapat gambarkan tentu siang hari cuaca jerebu. “Waktu siang ada jerebu tak ?” “kadang- kadang ada juga.. asap.. itu dalam TV Indon sana ada cakap hari- hari hutan kena bakar”. “Oo.. macam tu ka..” “Ialah awak dari mana, London ke Tokyo ? sana banyak sejuklah” “takk.. dekat  aje..” malas Ally nak layan pertanyaannya “awak Cheras dekat mana ?” “Taman shamelin” jawab Ally ringkas, tapi dalam hatinya Ally masih ragu kalaulah kat rumah janda tu tak ada orang macam mana ya...


Ketika waktu mula berkenalan dulu boleh dikatakan Ally akan selalu ke Taman Shamelin dan habiskan waktu cutinya untuk bersama Shida dan anaknya bermain di taman berdekatan atau makan- makan di restoran makanan segera yang berdekatan, Ally paling suka menonton wayang dan jika ada wayang gambar terbaru di panggung Federal Ally akan bersama Shida menonton wayang.. juga membawa Alia bersama. Masih lagi Ally ingat bagaimana mereka basah kehujanan berlari membelah taman permainan perumahan itu untuk balik ke rumah selepas menonton filem Pinnochio atas permintaan Alia.
Ingat juga kau dekat aku ya Ly.. bawak udang dari Brunei" tersengih- sengih Shida sambil hidang air depan Ally. “Aku je yang ingat.. engkau tu tak ingat, asyik main wayang je sampai kita macam orang bodoh kat airport” Ally pura- pura marah. “Sori la.. aku ni pelupa dah nyanyuk” anak perempuannya yang menonton televisyen berpaling kepada mereka berdua. “memang Mama tu.. Alia dah ingatkan dari petang lagi, dia buat tak tau je.. Mama memang selalu begitu abang Ally” Alia menempelak Mamanya. Suasana senyap seketika, Ally bangun dari sofa menuju ke dapur. “Nak mandi Ly...?” Shida lihat Ally buka stoking sambil ke bilik air. “Tu tuala Alia ada atas mesin basuh ambillah..” Ally mengambil tuala dan masuk ke bilik air.
Selepas mandi Ally duduk semula di sofa, Shida dan Alia sudah bersiap- siap untuk keluar. “Ally.. jom keluar makan dulu..” Shida yang mengenakan T-shirt dan slack kelabu sudah sedia untuk mengunci rumah, Alia menarik tangan Ally agar cepat keluar, Ally menurut saja.. Alia yang berbaju tidur gambar Mickey Mouse berjalan di hadapan sementara Shida dan Ally berjalan beriringan, mereka nak ke gerai Pak Mat yang memang perniagaannya dibuka sampai larut malam. Alia yang terlebih dulu sampai mengambil tempat duduk di meja tengah yang mempunyai payung besar empat warna, pembantu kedai yang juga anak lelaki Pak Mat yang sebaya dengan Alia datang menghampiri. “Alia nak minum apa..? makan pun ada..” anak Pak Mat yang bernama Farid ini sudah biasa benar dengan Alia kerana selain dari biasa datang ke gerai ini Farid juga satu sekolah dengan Alia dan kebiasaannya pada waktu malam Farid akan membantu ayahnya. “Bagi Nescafe ais dan makan mee tiau sup, yang dua orang sedang bercinta ni.. tanya  dia sendiri.. he he..” Shida membesarkan matanya bila dia diguraukan begitu dan Ally hanya senyum tawar memandang Alia. “Ishh pandailah kau.. aa ni saya nak teh tarik dengan mee goreng special.. Ally nak apa ?” “Saya nak yang sama dengan mak Alia dik..” “okey siapp..” Farid koyakkan kertas yang ditulis dan di bawa ke tempat ayahnya yang sedang memasak. 


Alia sekarang dah besar.. sekolah tingkatan berapa dah ?” “tingkatan lima abang Ally” jawab Alia sambil bermain- main dengan sudu dan garfu diacah- acahnya dua benda logam itu. “Abang Ally macam ni ke Tok Dalang main wayang kulit.. ?” “banyak cantik kau main wayang kulit, tercucuk lubang hidung tu baru tau” Shida menempelak Alia kerana cuak dengan perlakuannya yang keanak- anakan itu. “Ya.. nanti bolehlah Alia menjadi Tok Dalang wanita yang pertama di Malaysia, masa tu mesti Mama Alia cemburu, sebab Alia lebih popular daripada Mama kan abang Ally..?” Alia tersengih sambil menjeling Shida. “Banyaklah kau punya angan... dah tu air dah sampai, jangan nak mengada..” tiga gelas air yang dipesan tadi diletakkan di hadapan mereka, Alia lekas menukar minumannya yang tersalah letak di depan Mamanya. “Ini Alia punya” dengan selamba Alia mengangkat gelas di depan Shida dan Ally selepas itu dipusing – pusing gelas tiga kali seperti wayang kulit sebelum mendarat di depannya.

Shida sibuk dan tergesa- gesa menyediakan alas dan bantal depan TV, “tidur sini jelah Ly, tak payahlah ke Melawati lagipun kau bukannya ada sapa kat sana duduk dengan member juga kan..” Shida memberi cadangannya. Ally sebenarnya sudah keberatan untuk ke Melawati kerana baginya itu sesuatu yang lecer dan menyusahkan apatah lagi Ally tidak sepatahpun menghubungi dan bertanya khabar rakannya sebelum pulang ke KL, Ally juga bimbang jika terpaksa untuk bermalam di masjid hanya kerana hendak menumpang sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu keesokkan harinya, dan pelawaan Shida itu seperti orang mengantuk disorongkan bantal. “Boleh juga.. tapi kau tak risau ke ?” “alah abang Ally, kalau kena tangkap kahwin jelah dengan mama tu..”
Shida geleng- gelengkan kepalanya malas nak melayan Alia. “Nah abang Ally bantal Alia.. kalau busuk jangan komplen yea..” Alia menghulurkan bantal tidur kepada Ally, Shida mengambil bantal yang diberikan oleh Alia dan diletakkan atas hamparan yang disediakan tadi, selepas itu dikeluarkan selimut yang nampak masih baru.


Selepas semua disediakan Shida duduk pula atas sofa berdepan dengan Ally. Alia sudah masuk ke dalam biliknya dan mengunci dari dalam. Shida pula mengambil rokok Salem dan lighter atas almari sudut yang dihiasi dengan bunga plastik, dinyalakan dan mula menyedut dengan gaya bersahaja. “Kau masih tak merokok Ly ?” “Tak..” jawab Ally ringkas, sememangnya Ally sudah maklum bahawa Shida tidak dapat membuang tabiat merokoknya tetapi sekali sekala sahaja dalam jumlah yang kecil dan biasanya Shida akan merokok bila dia dalam keadaan tension atau berfikir sesuatu. Ally juga selalu membeli rokok untuk Shida apabila Shida meminta setelah mendapat tahu Ally akan bertandang ke rumahnya, Shida jarang ke kedai untuk membeli sendiri rokok kerana dia takut dikenali lagipun Shida salah seorang yang terlibat dengan iklan anti rokok di rangkaian perdana. “Entahlah aku ni.. bila agaknya nak berhenti, orang macam aku banyak masalah.. aku tengok engkau rilek je..?”
“masalah apanya..?” Ally cuba menduga artis ni, dialah satu- satunya artis yang baik dengan Ally, biasanya kalau ada apa- apa masalah.. dengan Allylah dia bercerita dan sudah menjadi kebiasaan Ally hanya jadi tukang dengar sahaja, tak tahu nak cakap apa kalau nak beri bantuan pun tak berupaya sangat, sedikit tu adalah.Mereka jadi begitu akrab hingga seperti orang bercinta dan ada juga rakan Ally yang menyangka hubungan mereka lebih intim, tetapi itu tidak benar.. Ally rapat dengan Shida pun kerana Alia. Alialah yang kenalkan Ally kepada mamanya. “Engkau bila nak kahwin Shida..?” “Kahwinn..?”

Alia.. ! cepatlah kami dah nak gerak ni..” Shida memanggil Alia yang masih belum keluar dari rumah, Ally sedang mengisi air ke dalam radiator kereta, Shida disebelahnya sedang memerhati dengan minat. Ally akan berasa tenang sekali bila berada disamping Shida. Shida yang masih terserlah ayunya walaupun usia sudah melepasi 40an, sungguh kecantikan Shida adalah kecantikan asli walaupun tidaklah berkulit putih tetapi Shida berkulit cerah dan ketegangan kulit yang dimilikinya tidak setanding dengan umurnya, potongan badannya adalah milik seorang model. Ally ada juga membelek majalah dan poster lama di rumah Shida dan Ally terfikir kalaulah dia berada di zaman kegemilangan Shida sudah tentu tempias glamornya terkena juga pada Ally.
Ni apa lagi dok tengok injin macam tikus tengok besi.. jomlah !” Alia mengejutkan lamunan, dia menepuk perlahan bahu Ally dengan menggunakan sebuah buku novel remaja yang dipegangnya, Ally tutup bonet dan Shida yang entah bila masanya sudah berada dalam kereta dan bersedia untuk hidupkan injin volvonya itu. “Tidur semalam takde nyamuk ke Ly ?” “ada jugak sikit-sikit” Ally menjawab sambil berpaling kepada Alia yang duduk di bangku belakang sedang membaca novel, dia tidak ambil kisah apa saja perbualan abang Ally dengan mamanya, dia sudah maklum dan sudah menganggap Ally sebagai keluarganya sendiri dan jauh di sudut hati Alia dia benar- benar berharap agar seorang lelaki yang perihatin seperti Ally akan hadir dalam hidup keluarganya kalaupun bukan untuk dirinya.
Kini kereta mereka sudah masuk ke jalan Tun Razak dan menghampiri bulatan Pahang selepas itu mereka akan melalui Jalan Chow Kit untuk ke stesen bas sebelah PWTC, seperti biasa warga KL yang tidak mengenal waktu, pantas membelah kota dengan urusan masing- masing. Ketika melalui jalan Chow Kit ada sekumpulan warga Afrika rancak berbual dengan gaya topi baseball dan beg galas melilit di badan, kebanyakan mereka mengenakan baju warna terang dan kasut sukan.. nampak bergayanya mereka. Di sudut lain pula  riuh dengan warga Indon lelaki dan perempuan bercakap sesama mereka dengan riang.. alangkah tabah mereka ini mencari makan di Malaysia, Ally pula merantau ke negeri orang, rasa suatu yang tak kena pula.. tapi Ally bukannya mengejar kekayaan ia lebih kepada naluri Ally yang suka melihat tempat orang dan cukup sekadar pendapatan yang sederhana “Ingat apa Ly ?.. tu dah nak sampai dah, bas pukul berapa ?” Shida yang dari tadi memerhatikan Ally yang duduk di sebelahnya ada juga perasaan tercuit hati dengan pemuda yang sopan ini. Shida juga sungguh berharap disebalik tenteramnya wajah Ally yang baru sebentar tadi ditatapnya akan tergambar juga secalit wajahnya di balik lamunan Ally tadi. “Tak tau lagi.. mana yang ada tu beli jelah tak kiralah pukul berapa” 
Shida perlahankan kereta dan berhenti di bus stop sebelah Stesen Bas Putra, Alia tolong keluarkan beg Ally. “Bila abang Ally nak balik sini lagi ?” Tanya Alia “Tengoklah kalau ada umur panjang abang Ally tetap datang” “Kalau datang jangan lupa bawa ole-ole dari kampung ya.. Ly..” Shida seperti biasa membuat pesanan, begitulah caranya bila tahu Ally akan turun ke KL.. selepas itu mereka bersalam, Alia cium tangan Ally.. Shida hulurkan tangan dan bersalaman. “Kirim salam pada emak kat kampung ya” “Insyaallah” Shida dan Alia masuk ke kereta dan sambil melambai tangan kereta biru tua itu perlahan- lahan meninggalkan Ally.
Di kaunter tidak ramai orang yang beratur untuk membeli tiket, mungkin disebabkan sekarang bukan musim cuti sekolah atau perayaan.. Ally dengan mudah dapat terus ke kaunter, Ally sudah biasa dengan situasi begini dan yakin tiket bas ke Kota Bharu masih banyak. "Kota Bharu ada ?" "naik bila.. berapa orang ?" kerani kaunter bas Mutiara siap memegang ballpen untuk menulis tiket. "Sekarang.. seorang" Ally melihat kerani yang masih muda itu sedang menulis di kertas tiket.. 
Walaupun suasana dikaunter tiada orang dan Ally ada peluang untuk lebih mengenali perempuan muda bertudung biru ini entah mengapa kali ini Ally rasa dia tidak patut mendahulukan orang lain.. dia lantas teringat kepada Shida dan kebaikannya kepada Ally, selama Ally mengenali kehidupan berbelas tahun di KL.. Shida sentiasa melayan Ally dengan baik, tambahan pula Shida tidaklah seperti artis lain yang rata- ratanya tidak begitu menjaga maruah mereka. Itulah salah satu sebab mengapa Ally kekal berkawan dengan Shida sehingga ke hari ini. 
Dan alangkah bagusnya jika umur mereka sebaya yang memungkinkan Alia tidaklah ada di dunia ini.. tapi ..tak mungkin. "Tiga puluh dua ringgit bang.." kerani menghulur tiket bas kepada Ally dan kali ini memberi senyuman, Ally juga menghulurkan wang yang diminta. cantik juga orangnya tetapi walaupun muda, masih tidak dapat menandingi kecantikan janda lawa yang menghantar Ally tadi..

Kerana waktu masih awal sedangkan masa yang tercatat dalam tiket adalah pukul 9.30 pagi, sekarang baru pukul 8.15. Ally naik ke medan selera Putra di tingkat atas, hanya dua buah gerai yang baru dibuka sementara yang lain belum ada tanda- tanda gerai akan dibuka awal, mungkin selepas pukul sepuluh barulah perniagaan gerai makan di sini akan rancak. 
Ally didatangai oleh seorang pelayan lelaki, pada mulanya Ally hampir menegur dan menyergah biar terkejut pelayan tu kerana wajahnya yang mirip dengan kawan Ally sewaktu bekerja di kantin IPT lama dulu. Waktu itu Ally baru habis peperiksaan SRP iaitu dalam masa menunggu keputusan peperiksaan dikeluarkan, Ally sampai di KL dan tinggal di Kampung Sungai Penchala Damansara. 


Waktu itu Sri Pentas belum lagi wujud dan Ally masih ingat sewaktu pulang dari bekerja di kantin UIA di seksyen 17 salah seorang dari mereka tidak tahan untuk buang air kecil dan mereka terpaksa berhenti di tepi jalan, kawan Ally yang mirip pelayan kedai inilah yang Ally sangkakan dan namanya Bagio yang menunaikan hajat di ladang kelapa sawit yang sekarang ini menjadi ibu pejabat operasi TV3. 
Sewaktu kerja di kantin itu juga Ally bertemu dengan rakan- rakan berbagai bangsa termasuk dari negara Bosnia Herzegovina yang banyak melafazkan kesyukuran mereka dapat belajar di malaysia dan ketika ini Ally terbayangkan susuk tubuh tinggi lampai Roslan Slazic, Ahmad Zarkovic dan juga hidung yang cantik milik Amina Govic yang sentiasa tabah dan tersenyum ketika menceritakan malapetaka kemanusiaan yang menimpa tanah airnya. Mungkin mereka sekarang sudah menjadi tulang belakang kepada negara dan merupakan aset negaranya yang tak ternilai. 
Dan di kampung Sungai Penchala pula Ally dapat melalui pengalaman bercampur gaul dengan kumpulan Al-Arqam yang kini sudah diharamkan kerana adanya unsur penyelewengan dalam menegakkan Daulah Islamiah mereka, semua pengalaman itu sedikit sebanyak telah membuatkan Ally menjadi berani untuk mencari kelainan dan pengalaman yang baru dengan semangat yang kental seperti rakan- rakan lamanya dari negara Balkhan dan tidak mudah terpedaya sekiranya didatangi orang- orang yang taksub dengan agama. Tetapi Ally paling lemah sekiranya dia terpaksa berhadapan dengan wajah lembut seorang wanita.

Lina dengan tunangnya berjalan beriringan tangan di bandar untuk membeli alatan perkahwinan mereka yang akan menjelang dua hari lagi, hari pertama cuti sekolah. Mereka menyusuri kaki lima kedai di jalan Tok Hakim melihat- lihat jualan dan barang perniagaan yang pelbagai, apa saja yang cantik dimata akan dilihat dan disentuh sebelum berunding sama ada patut dibeli  atau tidak. 
Hari ini Lina tidak perlu memikirkan tentang harga kerana Madi sudah mengeluarkan sejumlah wang simpanan dari bank yang diperuntukkan khas untuk perbelanjaan hari ini, bila tiba di depan sebuah kedai jualan langsung mereka tertarik dengan kasut dan beg wanita yang diperagakan di dalam cermin di depan kedai tersebut, untuk lebih memuaskan hati dan menjamu mata dengan lebih dekat mereka berdua sepakat untuk masuk ke dalam kedai. Di dalam kedai itu bermacam barang hiasan dan aksesori wanita dipamerkan, Madi menarik tangan Lina ke sebuah almari kaca yang diletakkan bermacam jenis beg wanita. Pada satu rak berkrom kaca bertingkat- tingkat Madi menunjukkan beg tangan yang menarik perhatian mereka itu. “Awak suka beg warna apa Yang.. putih, hitam atau warna coklat ?” tanya Madi kepada tunangnya Lina  dan untuk hubungan yang mesra ini Madi bahasakan Yang. “Abang suka warna apa ?” tanya Lina semula dengan wajah ceria dan senyum manis kepada buah hatinya. Madi membelek- belek beg tangan yang akan dijadikan barang hantaran untuk dibawa bersama rombongan peminangan nanti. Beg jenama Leno berwarna coklat itu menarik minat Madi. “Apa kata  warna coklat tu.. suka ? tanya Madi sambil tangannya dengan lembut meramas jemari Lina “cantik juga.. umm okey juga.. bolehlah” Madi lambai tangan memanggil amoi  yang dari tadi memerhatikan mereka. 
Lina membelek beg plastik yang dipegangnya. “Aa.. kasut, beg, kain sembahyang.. um semuanya dah dibeli iya bang ?” Lina meminta kepastian kepada teman hidupnya untu memastikan semua barang sudah dibeli “rasanya semua barang dah dibeli cuma perut ni yang belum diisi.. apa kata kita ke kedai makan, abang nak makan nasiklah, awak nak makan nasi juga ke sayang ?” “boleh juga.. nak makan kat mana ?” “Adalah.. Yang ikut sajalah”. 
Mereka melintas jalan depan Bazar Buluh Kubu dan terus melintas depan perkarangan muzium Istana Jahar. Ketika melintas Istana Jahar, Lina teringatkan kenangannya bersama kekasihnya dulu. Kekasih Lina selalu membawa Lina melihat barang- barang diraja  di muzium ini, pernah sekali Lina suarakan kepada kekasihnya betapa bertuahnya jika dapat menjadi permaisuri raja di zaman dahulu kala dan bertitik tolak dari itu kekasih pertamanya dulu telah ikhtiarkan satu cara untuk memenuhi hasrat Lina berada di atas singgahsana raja dan berlagak seperti permaisuri. Setelah hari dan waktu dijanjikan tiba akhirnya Lina dapat bergambar di dalam muzium itu dengan helah kekasihnya yang menyeludup masuk kamera ke dalam muzium tersebut. 

Lina tidak tahu dimanakah bekas kekasihnya itu sekarang ini, suara hati Lina selalu membisikkan kepadanya agar melupakan kisah lalu tetapi Lina sangat sukar untuk melupakan kekasih pertamanya itu, walaupun hubungan mereka tidaklah lama tetapi kenangan dan peristiwa waktu mereka sedang berkasih adalah sangat meninggalkan kesan kepada Lina.. ada saja kejutan dan perkara yang dilakukan membuatkan ikatan mereka bagai tidak dapat dipisah walau mereka ketika itu masih terlalu muda.. tingkatan lima sekolah menengah, masih belum tahu menilai erti cinta yang sebenarnya. Beberapa bulan selepas kehilangan kekasihnya Lina dipertemukan dengan kehadiran Madi dalam hidupnya. Madi yang berpenampilan sentiasa kemas dan pandai mengambil hati telah berjaya mengisi kesedihannya pada ketika dimana kekasih Lina hilang jejak dan tidak tahu ke mana. Kerana kehilangan dan kesunyian menyebabkan cinta yang dihulur oleh Madi seolah memberi satu lagi sinar sebagai pengganti, tetapi semua kenangan bersama kekasih lamanya tidak pernah diceritakan kepada tunangnya Madi dan Madi pun tidak pula bertanyakan kisah lama dalam hidup Lina.

Mereka menikmati nasi ayam di sebuah kedai makan di tebing sungai dekat Padang Merdeka. Madi tahu memilih lokasi yang sesuai untuk orang yang berkasih seperti mereka, pemandangan sungai Kelantan yang terbentang dan sesekali dihiasi dengan bot kecil pengangkut pasir membuatkan mata ralit memandang. “Yang.. biasa makan kat sini ?” Madi dengan bangga menanyakan soalan yang membuatkan Lina sukar hendak menjawab, soalan itu menggamit kenangan yang lalu kisah yang jika dikenang membuatkan hati jadi sebak dan air mata akan berderai kerana di persekitaran ini  dia ada juga dibawa minum ABC oleh kekasihnya dulu iaitu di kedai terapung bawah sana, mulanya madi mengajak Lina ke kedai terapung itu tetapi lina menolak dengan alasan takut jatuh ke dalam air tetapi sebenarnya ada kenangan yang sangat terkesan di hatinya yang berlaku di kedai terapung tersebut. 


“Ada juga dengan member masa sekolah dulu” Lina menjawab dengan yakin dan sememangnya Madi seorang bakal suami yang tidak suka mencari pasal dengan mengungkitkan kisah lama walaupun Madi sendiri tahu dulu Lina ada berkawan rapat dengan seorang lelaki tetapi tidaklah pasti sama ada mereka berkasih atau sekadar teman biasa. Itupun diketahui melalui kawannya yang tinggal sekampung dengan Lina.
Hampir pukul 3 petang Lina dan Madi pulang dari bandar dengan motosikal modenas Kriss, Lina memegang erat pinggang Madi.. petang ini Madi membawa motosikal dengan perlahan dan memberi ruang untuk mereka bermesra dan bercakap- cakap di atas motosikal kerana untuk hari esok hinggalah hari akad nikah mereka telah ditegah oleh kedua belah pihak agar tidak lagi berjumpa untuk mengelakkan fitnah dan juga menjaga seri wajah pada hari persandingan. Madi akan hantar Lina pulang ke rumahnya di Kg Pulau Indah.
Lina sudah lama tidak menggunakan motosikal walaupun waktu sekolah menengah dulu dia ke sekolah menggunakan motosikal begitu juga jika hendak ke Kota Bharu berjumpa kekasihnya. Boleh dikatakan Lina sudah biasa sangat dan mahir dalam penggunaan motosikal sebagai kemudahan pengangkutannya hinggalah ia jadi begitu jera dan gementar selepas peristiwa kemalangan jalanraya yang dialaminya. Madi juga tahu akan kisah kemalangan yang menimpa Lina waktu itu, Lina yang menceritakan kepadanya bila dia ternampak ada kesan parut dipergelangan tangan Lina, ketika itu adalah diawal perkenalan mereka. Tetapi kisah di sebalik itu Madi tidak mengetahuinya...
Awak nak tengok wayang ke ?” Tanya kekasihnya kepada Lina. “cerita apa ?” Tanya Lina dengan perlahan, dia bukannya minat sangat dengan pawagam, Lina lebih suka menonton video atau siaran televisyen di rumah sahaja. “Jimmy Asmara.. pelakon dia Hani Mohsin dengan Maizurah Hamzah” kekasih Lina ini sudah menonton filem itu tiga hari yang lalu bersama kawannya Meran tetapi sengaja tidak diberitahu kepada Lina kerana takut disangka dia tengok wayang dengan perempuan lain, memang sudah maklum kalau boleh semua yang dilakukan oleh kekasihnya hendaklah mendapat kebenaran atau dilaporkan kepada Lina terlebih dahulu. “Bunyi macam cerita lama je ?” “taklah” kekasihnya cepat menyanggah untuk mengelakkan Lina tidak jadi nak tengok wayang tersebut.
Muda- mudi berbaris untuk membeli tiket wayang di panggung Lido yang terletak bertentangan dengan bangunan menara PKINK, Lina menunggu di depan pintu masuk sementara menanti tiket dibeli. Selepas berbaris beberapa minit kekasihnya berjaya mendapatkan tiket, dan mereka menyerahkan keratan tiket kepada penjaga pintu sebelum masuk ke dalam panggung wayang untuk mencari tempat duduk seperti yang ditulis di tiket.
Benci aku... betina gatal... dah tahu orang ada kat sebelah.. nak ngorat juga” Lina membebel seorang diri di atas motosikal, dia teringatkan gelagat seorang gadis yang mengorat kekasihnya di panggung wayang tadi, ketika itu babak Jimmy Asmara sedang menyanyi di pentas, Lina geli hati melihat wajah lucu Rosli Rahman Adam bermain alat muzik bongo dan dengan tiba- tiba seseorang menembak ke pentas mengenai Rosham Noor, tika itulah gadis yang duduk disebelah terkejut dan memegang lengan kekasihnya, bermula babak itu Lina tidak senang duduk kerana gadis tersebut bertanya macam- macam kepada kekasihnya dan hinggalah tamat filem Melayu itu Lina masih bermasam muka, dia tergesa- gesa keluar dari panggung wayang tanpa menghiraukan kekasihnya mengejar dari belakang.
Kekasih pun sama.. tak tahu nak jaga hati..” Lina makin menjadi marahnya, semua orang dan kenderaan disekelilingnya dirasakan amat kecil bagai dapat dilanyak semuanya. Lina tidak perasan bila agaknya lampu isyarat didepannya bertukar ke warna merah, Lina tidak sempat membrek dan disitu sebuah kereta kancil yang dipandu oleh anak muda meluru ke aranya dan....

"Eh.. kenapa diam je ni.. tak ada modal nak berbual ke ?" Madi menyentap Lina dari lamunan, ketika itu mereka berhenti di depan lampu isyarat. "Takdelahh.. saja. kalau bercakap pun tak dengar juga.. angin kuat sangat" Lina memberi alasan. Madi memecut motosikal lebih laju sedikit dari tadi, dia baru teringat sepupunya dari Brunei akan sampai hari ini. Madi amat akrab dengan sepupunya waktu zaman kanak - kanak dulu, mereka berdua bersama kalau sepupunya ke hutan jerat burung atau ke sungai cari ikan, Madi tidak ketinggalan, dia akan bersama sepupunya itu. Madi amat menghormati dan bangga berkawan dengan sepupunya kerana sepupunya itu selalu menolong dan menyebelahi Madi jika ada pertengkaran atau Madi bergaduh dengan Judin. Seingat Madi mereka berpisah bila Madi dapat belajar di sekolah asrama penuh dan sepupunya pula mendapat kawan baru, semenjak itu masing- masing ada kawan lain, pun begitu jika ada hal- hal yang bersangkutan dengan keluarga mereka tetap bersama. Judin yang dipanggil budak nakal zaman remajanya telah masuk tentera dan kini bertugas di Perak dan Madi mendapat tahu kenakalan Judin tetap menjadi- jadi.

Motosikal sampai di depan rumah Lina, beberapa orang saudara- mara berbisik sesama mereka bila nampak kemesraan Madi dan Lina di atas motosikal. "Naiklah ke rumah dulu Di.. ni saudara-mara ramai yang nak bertanya khabar dan interview sikit ni" Ibu Lina berseloroh "Bukan tak nak singgah mak, tapi nak cepat pulang sebab hari ni sepupu saya yang kerja kat Brunei nak sampai.. nak jumpa mata lah katakan" Madi memberi penjelasan kepada bakal ibu mertuanya "Saya minta diri dululah mak.. saudara mara semua ya.. ala lepas ni tentu kamu naik meluat tengok saya hari- hari kat sini.." "Yealah, bawak motor tu baik- baik Di.." Ibu Lina memberi ingatan kepada Madi, dia risau takut apa- apa yang tak baik  berlaku kepada bakal suami anaknya, kerana kata orang darah orang bertunang ni manis..

Hari ini Madi merasa amat riang hatinya, dia sudah hampir mencapai cita- citanya untuk mengahwini Lina, Madi sudah menggambarkan bagaimana suasana hari bahagianya yang hanya tinggal dua hari lagi. Tentu meriah suasana di rumah Lina, saudara mara jauh dan dekat akan datang meraikan hari bersejarah dalam hidupnya itu, hari yang dinantikan oleh setiap pasangan yang bercinta. Bermula dari hari itulah perjalanan hidup yang amat menuntut perasaan kompromi antara suami isteri bagi kelangsungan hidup berkeluaga. Madi akan jadi seperti abang Long yang sudah mempunyai keluarga dan anak yang ramai atau Madi boleh jadikan Maksu sebagai model keluarganya nanti kerana Maksu hanya ada dua orang anak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan tetapi dua orang anaknya itu mendapat perhatian, kasih sayang dan segala keperluan mencukupi jika dibandingkan dengan Abang Long. Maksu tinggal di Bangi kerana mengikut suaminya yang menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia walaupun Maksu suri rumah sepenuh masa tetapi Maksu pandai menjaga penampilan diri, dia sentiasa menjadi kebangaan Paksu setiap kali ke majlis yang sering diadakan di sekitar Lembah Kelang.
Madi juga berkeinginan tinggi untuk bekerja di sektor yang menyediakan wang yang banyak, dia berharap untuk mengikut jejak langkah Ally kerana sangkanya Ally telah berjaya sebab mendapat kerja yang baik di Brunei. Madi menjadi tercabar dan ingin segera menghubungi Ally untuk meminta Ally membantu mendapatkan kerja, tetapi niatnya itu terhalang bila En Rastom datang ke rumahnya dan menawarkan kerja di hospital. En Rastom adalah pegawai di Kementerian Kesihatan dan merupakan rakan lama ayah Madi. Sewaktu temuduga dijalankan En Rastom adalah salah seorang panelnya dan Madi yakin kejayaannya mendapatkan kerja sebagai pembantu jurupulih anggota di unit Otopedik adalah atas daya pengaruh En Rastom.
Kad jemputan kahwinnya juga sudah diberi kepada ayah Ally yang disampaikan oleh keluarganya, untuk rakan- rakan sekerja dan staf- staf hospital semuanya sudah dijemput, bila mengingatkan ramai orang yang dijemput ditambah pula saudara- mara kedua belah pihak, juga ramainya orang kampong yang akan datang ke majlis persandingannya, terbit pula perasaan gemuruh dan gementar kerana semua mata akan memandangnya jadi segala kekurangan pada diri hendaklah jangan sampai terlihat oleh hadirin. Sekejap itu juga Madi teringatkan kesan luka yang ada pada lengan Lina.. ah tak seberapa dan tak akan terkesan di mata orang lebih lagi semua tu di dalam lengan baju, Madi cuba juga mencari- cari kekurangan atas dirinya, hanya satu yang Madi risaukan iaitu dia cepat berpeluh kadang- kadang sampai hidungnya pun akan keluar bintik peluh, jadi Madi tidak boleh lupakan agar mengingatkan Ally supaya sentiasa menyediakan tisu dan selalu memerhatikan wajahnya..
Langit petang ini akan menurunkan hujan jika awan hitam yang menutupi langit tetap di situ, maknanya Madi mungkin terpaksa melepak di rumah Ally sekiranya hujan turun dan berterusan sewaktu Madi di rumah Ally nanti. Langit yang mendung hari ini juga mengingatkan Madi sewaktu dia pertama kali bertemu dan berkenalan dengan Lina beberapa tahun yang lalu di Pantai Bayu, seiring dengan janji Allah bahawa jodoh dan pertemuan adalah antara yang diluar pengetahuan manusia telah membuktikan kebenarannya bilamana hari itu hujan turun dengan lebatnya dan pengunjung pantai masuk ke dalam kenderaan atau berlarian mencari teduhan begitu jugalah dengan Madi dan Lina yang kebetulan sama- sama berteduh di perahu peninggalan orang hanyut yang sudah dijadikan mercu tanda pantai yang cantik itu. Bermula dari situ setiap hari Madi mencari alasan untuk menghubungi Lina bila saja ada waktu yang terluang.
Perjalanan dari rumah Lina ke rumah Ally lebih kurang lima kilometer dan rumah Madi dengan rumah Ally hanya setengah kilometer sahaja tapi perjalanan ke rumah sepupunya itu akan merentasi beberapa relung bendang padi bermula dari kedai kopi Jusoh yang sentiasa menjadi tumpuan itu hinggalah di hujung bendang akan terlihat lambaian daun pisang yang meliuk lentuk di tiup angin, itulah kebun pisang milik ayah Ally dan rumah tua bertiang tinggi di dalam kebun pisang itulah rumah Ally. tempat anak- anak kampung satu waktu dulu bermain- main dibawah kolonnya sebelum turun ke bendang mencari ikan puyu, haruan atau mencari telur burung puyuh yang terselit antara rumput panjang di atas sebidang tanah kosong di tengah- tengah bendang, setelah puas cari ikan dan badan sudah berpinar dijemur mentari juga kotor terpalit selut barulah mereka berendam di sungai kecil yang sekarang ini mengalir di sebelah kebun pisang milik ayah Ally. 
Seingat Madi waktu itu Ally, Judin dan kawan sekampung masih budak budak, kebun pisang itu belum lagi ada, apa yang ada hanya serumpun buluh minyak yang tumbuh di gigi air dan pokok kerian yang merimbun bulat bak cendawan gergasi di tengah lapang, ia menjadi tumpuan jika musim buah kerian manis mengeluarkan buahnya yang hitam berkilat bila masak dan ramailah pula budak- budak yang memanjat dan bergayutan di dahan pokok kerian mematah dahan kecil dan mengumpulkan buah yang masak di dalam genggaman tapak tangan sebelum memasukkan ke dalam mulut lalu meninggalkan kesan biru tua di atas lidah.
"Lama benar Ally tak balik kampung, bagaimana agaknya wajah dia sekarang ni ya.. masa dia balik sekali dulu tak dapat berjumpa.. dengar kawan- kawan bercerita Ally dah jadi 'rock nusantara' dengan rambutnya paras bahu.. adakah kepulangan Ally kali ini dengan penampilan yang sama.. harap- harap lebih kemaslah baru boleh jadi pengampit aku masa bersanding nanti.."

"Di.. !!" satu suara berteriak ke arahnya, Mamud suami Leha muncul dari sebalik batas padi dan melambai kepada Madi, Madi yang sudah ke hadapan terpaksa pusingkan motosikalnya bila dia nampak Mamud beria- ia memanggilnya. Mamud memakai baju dan topi kain warna hijau askar wataniah sedang memegang sabit dan di tepi jalan ada longgokan rumput yang sudah dipotong. "Nak ke mana.. laju nampak.." "Nak ke rumah Pak Utih bang.. abang potong rumput ni nak bagi makan lembu ke ?" Madi matikan enjin motosikal dan berdiri berhadapan dengan Mamud. "Bila majlis besar kamu tu Di ?" "Kat rumah bakal isteri saya tu lusa dan kat sini minggu depanlah.. abang pun kena datanglah" "Insyaallah.. err Di, untuk majlis tu tak tumbangkan lembu ke ?" Mamud bertanya perlahan tidak mahu terlalu nampak hajatnya sebenarnya. "Rumah belah perempuan dah ada lembu.. majlis kat rumah saya ni taklah besar sangat kalau nak potong lembu takut membazir pulak" "Iyalahh aku ni gembala lembu jadi nak juga tanya sebab kat kandang aku ada enam ekor lembu jadi aku berniat nak juallah barang sekor dua" "Ok bang kalau nak kena potong lembu juga nanti saya carilah abang.. tapi bang, kalau ada rezeki dan saudara mara nak buat majlis besar- besaran dah tentu saya mencari abang.. jangan risaulah.." Madi memberi harapan kepada Mamud yang dibahasakan abang itu.
"Ada hajat apa nak ke rumah Pak Utih ?" Mamud kerutkan kening sambil tangannya yang memegang sabit dicungkil ke celahan tapak kasut getah yang tebal disaluti tanah liat. "Hari ni sepupu saya nak balik.. jadi dah lama tak jumpa, ingat hari ni nak jumpalah sambil nak minta dia hadir ke majlis pernikahan saya.." "Ally tuu ke ?" "Ya bang Mamud lama benar dia di rantau, tapi lama pun belum juga kahwin bang Mamud..". "Ah.. apa susah Ally tu bukan tak ada orang yang nak, dia je yang memilih agaknya.. kau ingat dulu..?" "Apa dia bang Mamud ?" Madi cuba mengamati apa yang akan dikatakan oleh Mamud. "Mek Yah.. yang tergilakan Ally dulu.. tiap hari datang ke rumah Ally.." Mamud tersengih mengingati kisah itu. 

Walaupun Mamud lebih tua beberapa tahun daripada Ally dan Madi tapi dia juga membesar di dalam kampung ini dan mengenali kebanyakan anak- anak muda kerana Mamud waktu mudanya sering mengumpul muda- mudi jika ada program belia yang sampai ke Lubuk Puyu. "Ya.. ingat bang Mamud, akhirnya Mek Yah tak tahan dengan layanan Ally telah berkawan dengan Che Khalid yang menyewa tanah Pak Utih.. tanah kebun pisang tulah.." Mamud menunjukkan sebidang tanah yang sudah ditanami oleh berjenis pisang dan dari tempat mereka berdiri sudah dapat dilihat pokok- pokok pisang dengan daun menjulur ke atas dan melentik ke bawah memagari bumbung rumah Ally yang beratap bata lama warna oren kemerahan. Selepas itu mereka berdua ketawa bila mendengar kisah- kisah lucu yang diceritakan oleh Mamud.
Selesai menunaikan solat asar bersama ibu dan ayahnya  Ally ke ruang tamu, Madi sedang duduk membaca surat khabar. “Ehh.. Di dah lama sampai ?” Ally bertanya sambil hulurkan tangan bersalam. “Baru  je..” jawab Madi ringkas, dia melipat surat khabar dan betulkan tempat duduk. 
“Dari mana smart ni..?” Ally mulakan perbualan “Oh.. baru balik dari rumah tunang saya.. ke kota Bharu tadi, beli barang- barang persiapan sikit dua hari lagi kerja besar nak diadakan” “pergi dengan tunang sekalilah tu ?” Ally bertanya kepada Madi sekali lagi “Mestilah.. kan nak beli barang untuk buat hantaran kepada dia juga” Madi begitu gembira dan nampak keriangan bila bercerita pasal hal pertunangannya dengan orang yang sangat disayanginya itu. Dalam rancak mereka berbual ibu Ally keluar membawa dua cawan teh. “Minumlah Di.. makcik ada kerja, berbuallah ya !” “Aaa.. ya mak cik, takpelah” selepas ibu Ally kembali semula ke dapur mereka bercerita lagi. Mereka bercerita tentang hal pekerjaan, politik tempatan dan antarabangsa yang paling seronok bila mereka bercerita tentang kisah waktu dulu, kisah zaman budak- budak. Ally percaya Madi sepupunya yang bekerja di HUSM itu, setelah mendirikan rumahtangga dia pasti akan membeli sebuah kereta baru dan selepas itu berkira- kira pula untuk membeli rumah sendiri, setelah semuanya cukup Madi akan mempunyai anak selepas itu bermulalah kehidupan sebenar Madi, hidup yang lengkap dan berusaha memenuhi fitrah sebagai seorang manusia. Bila dibandingkan dengan Ally barangkali Ally hanya lebih dari hal pengalaman di rantauan, tidak lebih dari itu dan Ally ternyata paling kurang dalam perhubungan yang penuh komitmen dengan seorang wanita.


Setelah hari menjelang senja barulah Madi minta diri untuk pulang dan mereka akan bertemu lagi keesokkannya untuk agenda yang lain pula. Pertemuan hari ini telah membuka kembali perhubungan dua sanak- saudara yang lama terpisah ini. “Ly, esok pukul berapa ?” Madi bertanya pada Ally “lebih kurang pukul sepuluh pagi” selepas bersetuju dan menetapkan janji, Madi hidupkan enjin motosikalnya dan meninggalkan perkarangan rumah Ally. Ketika itu kelibat ayah Ally sedang menolak kereta sorong baru pulang dari kebun pisang dan ibu Ally pula sedang mengangkat kain di jemuran.. sayup kedengaran azan maghrib berkumandang dari masjid Ar Rahman.

Hari ini Shida ada sesi penggambaran di Hulu Langat, dia dihubungi oleh Pengurus Produksi untuk satu babak  penting yang memerlukan penumpuan emosi sepenuhnya dan Shida juga diminta datang awal untuk memerhati dan meminta penerangan dari penulis skrip yang turut hadir untuk memastikan visual yang terhasil benar- benar dikehendaki oleh skrip. Pengurus produksi juga menasihatkan Shida agar jangan menghubungi atau dihubungi ketika babak tersebut dijalankan. Tambahan pula director yang mengarahkan drama itu sudah cukup dikenali sebagai seorang Pengarah yang sangat teliti dan cerewet, dia pantang jika ada pekerja produksi yang tidak menjalankan tugas yang betul.


Shida hanya beberapa kali terlibat dengan pengarah muda ini tetapi sepanjang bekerja dengannya Shida tidak pernah pula dimarahi atau disumpah seranah seperti kebanyakan artis yang menceritakan pengalaman mereka. Shida pernah mendengar dari kawannya bernama Casby iaitu seorang pelakon baru yang cantik bercerita pasal pengarah kreatif yang moody ini dan mengikut pengakuan Casby dia berjanji tidak akan menerima apa- apa tawaran lakonan dari penerbit mana pun sekiranya melibatkan pengarah itu.

Shida memasuki perkarangan rumah kayu yang besar, tegap dan berukir cantik. Di halaman rumah itu ada beberapa buah kereta dan van yang semestinya milik pihak produksi dan karyawan, di sinilah lokasi penggambaran yang membabitkan Shida akan dijalankan. Usop, PM yang menelefon Shida tadi tergesa- gesa menuju ke arah Shida dan diikuti seseorang yang memegang skrip dari belakang. "Ha.. ini dia Shida.. Keoi kenalkan.. Shida ini Keoi, Assist director.. baru, yang semalam tu err Gawai.., dia dah tarik diri tak tahan dengan karenah.. hampir bergaduh.." Usop perkenalkan dan Keoi hulurkan tangan bersalaman. "Shida dah faham kehendak skrip.. sekarang standby untuk scene awak selepas ini" Keoi beri arahan ringkas dan dia masuk semula ke rumah diikuti pula oleh Usop yang juga tergesa- gesa barangkali mereka bimbang jika mereka juga jadi mangsa kemarahan sang pengarah.
Shida dah mula naik bimbang, segala dialog yang dihafal semalam jadi bercelaru dia sudah diterjah oleh cerita kawannya Casby dan juga gelagak dua orang kuat di belakang tabir tadi. Shida sudah mula memikirkan yang bukan- bukan dia sudah dapat menjangka pengarah itu menghadapi tekanan dalam berkarya dan babak yang membabitkan Shida sebentar lagi juga kemungkinan akan berhadapan dengan kehendak pengarah yang sukar diagak itu.
Shida masuk ke rumah besar tersebut, melalui ruang tamu yang sarat dengan hiasan dan perabot yang berukir, ada lukisan besar di dinding, seorang lelaki berpakaian persalinan Melayu lengkap dengan keris, mungkin itu adalah lukisan tuan punya rumah ini dan di sudut lain ada gambar lelaki tadi berpakaian tuxedo duduk di sebelah seorang pemimpin besar negara. Selepas melalui ruang tamu, Shida memasuki sebuah bilik yang kelihatan cerah dengan spotlight menandakan penggambaran sedang berjalan, ada suara orang sedang berlawan cakap, lelaki dan perempuan mungkin untuk watak suami dan isteri.


Selepas lampu dipadam, pintu bilik dibuka, Tony keluar dari bilik mengipas- gipas badannya dengan kipas tangan, menyusul dari belakang adalah Keoi dan suasana bising sikit di dalam bilik kerana krew sedang mengemaskan barang- barangnya, selepas itu keluarlah dua orang pelakon tadi dan duduk di kerusi di depan Shida "Eh Shida bila sampai..?" "Baru je.. macam mana.. ok ke ?" Shida mencuba untuk mengetahui perjalanan penggambaran dengan director sensasi ini "Okey kak.. asal pandai ambik hati.. pandai bodek.." pelakon perempuan itu pula yang memberi jawapan penuh makna kepada Shida.
Tony datang ke tempat mereka "Huh.. panas, dialog macam tu pun boleh makan tape.. Khairil.. dan awak Azma saya harap sementara menunggu part awak selepas Shida, elok lepas ni awak lihat macam mana pelakon yang pernah dapat award ini menunjukkan skill dia.. boleh Shida ?" dua orang pelakon tadi hanya anggukkan kepala. "Boleh.. tetapi tak taulah kalau tidak menepati kehendak tuan director" Tony berpaling kepada Shida dengan air muka berubah "bukan ke saya dah suruh Usop menghubungi awak.. Usopp.. ! mai sini jap !.." Usop yang tengah membantu dua orang runner menyediakan minum petang datang terhegeh- hegeh.
"Ya..bang..?" "awak ada cakap kepada Shida bahawa penulis skrip ada bersama kita..?" kini giliran Usop pula yang tergagap- gagap hendak menjawab "err.. dah bang.. tapi penulis tu dah tak ada masa Shida sampai.." "ini satu lagi masalah.. kenapa tak bagitau awal- awal.. saya dah bagitau awak supaya panggil semua pelakon datang dari pagi lagi kerana script writer nak jumpa.." "Taa.. tapi pagi tadi.. kita di lokasi lain bang.." "Awak arrangekanlah.. itu pun nak kena aku juga ke yang handle.." Tony dah mula naik angin. "
Dah.. Usop pegi sambung kerja.. dan shida ingat saya tak mahu awak makan tape juga.. Keoi ! lepas minum petang, suruh krew siapkan lighting untuk scene Shida.." selepas akur dengan perintah Tony, Keoi mendapatkan pengarah fotografi (Director Of Photography / D.O.P) dan sambil menunjukkan skrip D.O.P memanggil dua tiga orang krewnya untuk memberi penerangan dan menunjukkan apa yang perlu dilakukan untuk babak seterusnya.

Shida minum petang sambil membaca skrip, pengarah Tony entah 
hilang kemana.. sebelum dia meninggalkan lokasi tadi dia ada berbisik kepada Keoi, mengikut apa kata Keoi pengarah Tony keluar sekejap dan akan balik semula selepas maghrib jadi waktu terluang ini dimanfaatkan untuk berehat dan bertenang, diluar sana kelihatan jurukamera sedang bercakap- cakap dengan jurumekap sesekali terdengar juga hilai tawa mereka yang agak kuat. Usop bersama pembantunya sudah keluar ke kedai untuk membeli makanan malam dan apa- apa barang yang diperlukan, Keoi dan D.O.P sedang berbincang sesuatu dibilik yang disetkan untuk babak Shida. Kelihatan Keoi sedang membuat lakon layar untuk memastikan pergerakan pelakon menepati pencahayaan dan tone yang sudah ditetapkan oleh D.O.P setelah berpuas hati mereka berdua datang dan duduk dibangku berhampiran dengan Shida. Dua orang pelakon tadi sudah keluar, mereka ke gerai berdekatan untuk minum, Shida dipelawa bersama tapi dia menolak kerana nak study skrip.
Semua yang terlibat dengan penggambaran sudah mengambil makanan masing- masing yang dibungkus dalam bekas polisterin kecuali Shida, dia sudah hilang selera kerana terpaksa menunggu Tony dekat tiga jam sedangkan babak yang akan dilakonkannya adalah lebih kurang setengah jam sahaja untuk disiapkan, wajah Shida sudah menunjukkan riak- riak marah dan tidak berpuas hati kerana dia seperti diperbodohkan oleh Tony, beberapa orang krew sudah siap mandi, ada juga yang mencuri masa pergi mandi ke sungai congkak. Beberapa kali Shida mengugut untuk pulang dan hanya datang waktu malam tapi dihalang oleh Usop dan katanya Tony dalam perjalanan..  


Shida rasa sesuatu yang sukar sedang ditempuhinya kali ini dia rasa tidak dapat memberi tumpuan seperti kebiasaan tambahan pula wajah Ally selalu menjelma bila saja Shida sedang bersendirian, Shida masih memikirkan pertanyaan Ally tentang bila Shida hendak kahwin pada malam Ally bermalam di rumah Shida, dan hingga saat ini Shida tidak dapat memastikan sejauh mana benar atau tidaknya pertanyaan Ally itu. Shida tidak menyangka begitu nekadnya Ally menanyakan soalan mahal itu..
Setelah semua orang sudah selesai makan malam dan duduk berehat sambil hisap rokok, kelibat kereta Alfa Romeo milik Tony masuk ke perkarangan rumah, keluar dari kereta dia mendapatkan Keoi bertanya sesuatu dan berjalan masuk ke rumah, memandang Shida sekejap dan terus ke set di bilik yang berselang satu pintu dari ruang tamu untuk memulakan penggambaran. Suasana kelam kabut bila Tony mulai duduk dikerusi khasnya yang ditulis Director di belakang penyandar dan mula memanggil semua yang terlibat. Juru kamera dan krewnya terpaksa membuang sisa rokok yang ada ditangan dan semua bersiap di posisi tugas masing-masing. "Shida..! on the set.." Tony memanggil bila menyedari Shida masih tiada lagi didepan kamera. Shida mendengar namanya dipanggil masuk, dia bangun perlahan dan masuk ke bilik mengambil tempat di tepi katil sebagaimana yang dikehendaki di dalam skrip.
Setelah beberapa kali melakukan rehearsal akhirnya pengarah berpuas hati dan semua yang ada di dalam bilik diam tidak lagi bercakap bila Tony mengangkat tangan dan "action..!" satu arahan yang sudah cukup dikenali sebagai satu perintah yang hanya boleh dituturkan oleh tuan director sahaja. Tony senyum.. kacip bibir dan memberikan arahan dengan melambaikan tangan kepada Shida.. Shida tidak perasan isyarat itu dan. "cutt !!.." pengarah berang dengan acting Shida. Shida sudah hilang tumpuan.. dia seperti lupa apa yang perlu dibuat, dan serentak itu juga Shida rasa seperti Ally sedang memerhatikannya, "ahh.. mengapa jadi begini.." Tony tidak berkata apa- apa bila Shida meminta agar diulang lagi babak tersebut hinggalah sudah lima take tetapi Shida tetap membuat silap dan Tony sebagai teraju utama tidak berpuas hati.
"Macam taik... punya acting.. inikah yang dikatakan best supporter actres, kalau inilah yang awak tunjukkan, saya rasa lebih baik awak balik sajalahh.. banyak lagi babak lain yang nak disiapkan.." Tony begitu marah kepada Shida dan Shida pula jadi serba salah. "Sorry tuan director, boleh kita buat sekali lagi ?" Shida merayu dan cuba memujuk Tony, Tony mendapatkan Shida dia menarik tangan Shida ke tempat yang agak jauh sedikit dari set. "What happen to you Shida..? I rasa kalau babak ini dibuat sepuluh kali lagi pun awak akan gagal.." "Saya cuba lagi tuan.." Shida merayu sekali lagi kepada Tony. "No.. enough you takkan dapat menghayatinya malam ini, sengaja ambil you kerana hendak awak menghayati babak ini.. tapi kalau sudah begini jadinya kita akan buat scene ni malam besok, lagipun watak lain tak boleh tunggu lama lagi.." Tony tegas dengan cara pengarahannya, tidak hairanlah dia terkenal dengan kerjanya yang sempurna. "Okey krew semua kita ke scene 52.."

Shida tidak dapat berkata- kata lagi bila pengarah memberikan arahannya dan dia pun mengambil barang peribadinya di set. "Sory Shida.. tapi I yakin you boleh.. balik rumah you rileks and try softkan your problem okey.. see you tommorow.." "I will try my best mister director.." Dalam nada sedikit marah Shida jawab ringkas, dua orang pelakon yang keluar makan tadi baru sampai dia melihat gelagat Shida "apa tengok- tengok..?" Shida menegur pelakon tersebut, pengarah Tony  senyum melihat Shida dan  geleng- gelengkan kepalanya. "Haa.. ni satu lagi.. orang dok kat sini dia pulak keluar dating, tu belum famous lagi.. dah tak hormat kepada pengarah.." "Kami keluar makan bang.." jawab pelakon perempuan dengan ketakutan.

Shida tidak dapat menahan marah, dia rasa sungguh menyesal menerima tawaran Syarikat Cosmos minggu lalu walaupun tahu siapa pengarahnya, Shida tidak faham kenapa kebelakangan ini sikap Tony begitu berbeza dengan Tony yang pernah dia kenali, mungkinkah kerana kemenangan Tony merangkul anugerah pengarah terbaik telah membuat dia menjadi terlalu serius dan tidak menjaga hati orang. Shida mula teringatkan Ally yang sentiasa menjaga hatinya.. air mata Shida menitik  diseka dengan tisu, Shida hidupkan enjin kereta untuk meninggalkan lokasi penggambaran di Ulu Langat dan lagu 'Tiada Lagi Kidungmu dendangan kumpulan  lefthanded mengisi ruang dalam keretanya..

Air mata yang berderai
Siapa yang menghapuskan
Hati kering dan gersang
Siapa yang meneduhkan
Sedangkan kau yang ku sayang
Telah pergi dari ku
Dengan cinta dan harapan hidupku
Oh sayang
Tiada lagi ku dengar kidungmu
Tiada lagi derai tawamu
Hanya kesepian yang kian
Mencengkam jiwaku
Malam malam dingin membeku
Hari hari kian kelabu
Dalam doa kudus ku sebut nama mu
Cintaku... Oh sayang
Damailah kau di sana
Di sisi Tuhan yang Esa

Shida memandu ikut jalan melalui Bukit Ampang, dari atas puncak bukit dapat dilihat taburan lampu neon yang menyinari bandaraya kuala Lumpur, menara KL dan menara KLCC menyerlahkan lagi kerlipan cahaya lambang kemegahan Kuala Lumpur. Shida berhentikan kereta di tepi jalan di atas puncak bukit itu. "Ahh.. kenapa ni.. Ally.." dengan tidak terduga Shida menyebut nama itu, dia tidak tahu kenapa sejak Ally datang ke rumahnya dua tiga hari lepas dia jadi begitu teringatkan Ally sedangkan waktu Ally di Brunei Shida tidak merasa apa- apa pun. "Ly.. kalau waktu ini engkau ada.." sekali lagi ucapan rindu dari mulut Shida terkeluar.

Shida mula merasai betapa bermaknanya Ally bila dia melalui keadaan tekanan di lokasi penggambaran. Sekiranya Ally ada dia mahu menjadikan Ally tempat melepaskan rasa sakit hatinya walaupun dia sendiri tahu Ally hanya sekadar mendengar tapi itu sudah cukup menenangkan perasaannya. Ally tidak pernah melukakan perasaannya, bahkan Shidalah yang kadangkala  melakukan perkara yang membuatkan Ally rasa jauh hati, Shida perasan pada suatu petang Ally hanya diam sahaja ketika ke rumahnya dan ketika itu Shida sedang bersiap untuk keluar makan malam dengan seorang yang bergelar datuk, rupanya Ally tahu akan hal itu kerana Alia sudah memaklumkan waktu Ally hendak sampai ke rumahnya. 
Sebenarnya waktu awal keakraban Ally dan keluarganya Alia juga tidak senang hati jika Shida terlalu melayani Ally, Alia akan marah kerana tidak membenarkan Alia bermain- main dengan Ally kadangkala Shida terpaksa marah dan memukul jika Alia terlalu mendesak Ally mengikut kemahuannya. Shida juga terfikir bahawa dalam proses pembesaran Alia dia hanya mengenali Ally sebagai seorang lelaki yang paling rapat dengan keluarganya, mungkinkah dalam diam- diam Alia juga menyanyangi Ally tetapi dia hanya pendamkan sahaja kerana selama ini Ally hanya berminat kepada mamanya. 


Mengenangkan banyak kebaikan yang Ally berikan kepada dirinya, menambahkan lagi rasa sayang Shida kepada Ally. Tetapi bila mengenangkan yang statusnya sebagai seorang janda membuatkan Shida tidak berani menghulurkan kasih kepada Ally, Shida lebih rela jika Alia yang menjadi pilihan hati Ally. Tetapi Shida yakin Alia tidak akan jatuh hati kepada Ally kerana Alia sudah menganggap Ally seperti abang kandungnya sendiri. Shida menekan nombor telefon bimbitnya dan dicuba cari nombor Ally, Shida menelefon.. dapat tapi tak berjawab.. "tidur agaknya.." Shida melihat jam di papan pemuka keretanya menunjukkan pukul dua belas suku tengah malam, waktu begini rata- ratanya masyarakat kampung sudah pun tidur.
Shida hidupkan enjin keretanya meluncur laju dan ringan menuruni bukit, Shida tidak perlu menekan minyak sebaliknya hanya meletakkan kaki pada pedal brek dan sekali sekala terpaksa menekan jika kereta meluncur terlebih laju, Shida perlu juga mengawasi kereta yang berada di depan atau belakang kerana bimbang jika kereta di luar kawal ia akan merempuh atau dirempuh terutama bila dekat sampai dengan jalan yang semakin mendatar, setelah melewati lampu isyarat di bawah bukit Ampang tadi, perut Shida sudah mula protes dan minta diisi, barulah Shida teringat bahawa dia belum lagi makan malam, Shida tak ada selera untuk berhenti di mana- mana kedai di daerah Ampang ini, dia hanya fikir untuk membeli sesuatu dikedai makan Pak Mat dekat taman perumahannya.


Di kamar tidur, Alia baru selesai membuat kerja sekolah dan mula menyemak jadual waktu persekolahan untuk besoknya. ketika Alia sedang mengeluarkan buku dari raknya, dia terjumpa gambar Ally bersama seorang budak kecil. Alia mengenali budak kecil di dalam gambar itu, tidak syak lagi budak kecil di dalam dakapan Ally itu adalah dirinya sendiri. Rasa malu pula Alia bila melihat gambar itu. Betapa jika budak kecil dalam gambar tujuh tahun yang lalu itu adalah dirinya waktu ini "Alia... buka pintu Mama balik ni.." suara Mamanya sambil mengetuk pintu "sekejap Mama" Alia simpan semula gambar di atas rak dan keluar dari kamar tidurnya untuk membuka pintu. 
Setelah pintu dibuka, Shida masuk dan menghulurkan bungkusan makanan kepada Alia "Mama beli kat bawah.. ambikkan pinggan.. air sekali" "air apa Mama ?" Alia bertanya lembut "Ah.. ambil jelah air apa pun kat dalam peti tu" Alia ke dapur dan sebentar kemudian Alia keluar semula membawa dua pinggan dan dua gelas plastik juga satu jug teh limau yang sedia ada di dalam peti sejuk ke ruang tamu, Shida masuk ke bilik untuk menukar pakaiannya dan keluar semula memakai baju tidur kelawar. Alia sudah siap sediakan mee goreng ke dalam dua pinggan kosong yang disuruh Mamanya. Shida mengambil remote televisyen flat skrin 32 inci yang diletak atas meja, dia duduk dan makan bersama Alia sambil menonton tv rancangan late show with David Latterman. Shida menjeling kepada anaknya, dia melihat anaknya Alia yang semasa kecilnya sering dijaga oleh Ally ini sudah besar dan tahu menguruskan rumah. 
Dulu Shida pernah secara bergurau hendak jodohkan Alia dengan Ally, waktu itu Alia berusia lapan tahun dan selalu minta Ally mendukungnya. "Alia..! abang Ally tak telefon ?" Shida bertanya kepada anak gadisnya itu. "Tak ada.. kenapa Mama ?" "Tak ada apa- apa saja tanya.." Shida senyum dan menggosok kepala Alia, "Ee.. Mama ni buang tebiat la tu.."Shida senyum kepada Alia. "Kau tak teringat pada dia ?" sekali lagi Shida melontarkan pertanyaan nakal kepada Alia. "Tak adalah.. barangkali Mama tu yang teringatkan abang Ally.." Shida senyum sendiri bila dikatakan begitu oleh anaknya, lantas teringat semula waktu- waktu terindah dan menyenangkan tika Ally bersama mereka.. terbayanglah wajah Ally yang lembut dan memiliki senyuman yang manis dengan iringan tutur kata yang sangat memikat dan meruntun hati wanita kesunyian sepertinya.. untungnya Shida bertemu dengan lelaki yang ikhlas seperti ally. "Dahh.. Mama ! berkhayallah tuu.." Shida terkejut dan buat selamba menyuapkan mee goreng ke dalam mulut. "Mama... Mamaa.." keluh Alia melihat laku Shida.

Hari ini Ally bangun awal pagi. Semalam dia tidak dapat tidur lena bila nyamuk menyanyi- nyanyi ditelinganya dan dengungan nyamuk semakin rancak bila menjelang waktu fajar. Pagi tadi bila Ally melihat bekas ubat nyamuk, lingkaran nyamuk Fumakilla masih ada separuh tidak terbakar, kerana itulah agaknya nyamuk galak menyerang. Teringatkan nyamuk aedes yang menyerang waktu subuh, Ally bingkas bangun ke bilik air dan memaksa diri membiarkan air menyiram badan, selepas solat subuh Ally tak tahu nak buat apa.. 
akhirnya Ally menyarung track suit dan berkira- kira hendak meneruskan rutin pagi wakt tinggal di Brunei iaitu berlari keliling kampong. Cuaca pagi ini yang tadinya cerah bertukar mendung sedikit, tanah dan daunan basah, segar.. sarang labah- labah yang memaut batang pisang memberat.. bergelendung ke bawah disisip jernih embun dan kabus masih kelihatan berpusar- pusar, bila Ally mengatur langkah membelahnya kabus akan bergerak berpecah mencari ruang. Hentakan kasut sukan jenama Adidas meninggalkan bekas di atas rumput dan tanah merah sepanjang laluan masuk ke halaman rumah Ally.
Larian perlahan pagi ini melalui jalan batas tali air yang lurus membelah sawah, dapat dilihat ceburan ikan haruan menyambar belalang yang beradu di atas rumput dibirai air, rintik kabus pula berjatuhan menjadi embun dan menyentuh air memperlihatkan permukaan air berbintik- bintik, campuran sejuk embun dan kehangatan air menghasilkan asap nipis yang menyapu permukaan air jernih, suatu pemandangan yang istimewa dan hanya dapat dinikmati oleh mereka yang sanggup korbankan keenakan tidur waktu awal pagi
Hayunan pantas langkah kaki  Ally semakin perlahan bila dia
hampir sampai ke penghujung kampong iaitu di petak sawah yang ada pokok mengkudu. Beberapa orang petani sudah turun ke sawah mereka, antara yang Ally kenali adalah Pok Ya, Pok Su Mat dan pesawah muda bernama Saimi yang mengangkat tangan ke arahnya. Ally berdiri dan gerak- gerakkan badannya ke kiri, kanan dan membongkok. Pada posisi membongkok Ally ternampak ikan puyu sedang menggelepar di dalam rumput. Ally menguis ikan puyu dengan kakinya hingga masuk semula ke relung padi. Setelah beberapa ketika di hujung sawah Ally mengambil jalan ke kawasan penempatan penduduk iaitu simpang tiga, dari situ Ally akan terus pulang ke rumah yang jaraknya tidak sampai suku kilometer, sebelum itu bolehlah dia singgah minum pagi di kedai kopi Jusoh atau warung roti canai Khairil sambil berjumpa dengan kawan- kawan lama.

Ally berhenti di kedai kopi Jusoh, pelanggan mulai ramai membeli sarapan pagi kebanyakannya ibu- ibu dan kalau yang lelaki mereka lebih senang makan di kedai sahaja, kebiasaannya tiap orang akan membeli lebih dari satu bungkus untuk keluarga mereka, kebetulan hari ini juga hari cuti sekolah jadi kenalah beli untuk anak- anak mereka sekali sepanjang pengetahuan Ally kedai kopi Jusoh ini sememangnya sejak dulu lagi popular dengan laksamnya, tetapi setelah Mek Yah menghantar nasi dagang dan nasi kerabunya laksam sudah ada persaingannya, pagi ini Ally hendak cuba rasa nasi dagang Mek Yah pula.
Mek Yah adalah kawan sekolah dengan Ally, tetapi Mek Yah hanya sekolah setakat tingkatan tiga sahaja kerana dia dipinang oleh orang sekampung setelah mereka ditangkap sedang berduaan di tepi sungai waktu pulang dari sekolah, suaminya adalah Che Khalid iaitu seorang penyewa tanah bendang arwah datuk Ally, Ally sendiri kerap ternampak mereka berdua bertemu di bawah pokok kerian di tepi sawah. Di kedai kopi Jusoh ini juga kebetulan kawan- kawan sekampung Ally ada bersama jadi banyaklah yang ditanya dan jenuh juga nak menerangkan kepada mereka antaranya adalah Karim, Mael dan Rohim mereka ini pun adalah teman sepermainan Ally. Karim menjadi tukang rumah, Mael bekerja sebagai pengawal di sebuah hotel dan Rohim pula adalah pemain tomoi sepenuh masa. 
Pagi ini mereka mendengar cerita Rohim yang baru pulang dari Bangkok kerana menyertai perlawanan tomoi di sana. Rohim juga menyatakan hasratnya hendak berkahwin dengan seorang gadis dari Pattani tak lama lagi dan berharap benar Ally dapat ikut serta bersama rombongannya ke Thailand untuk meminang buah hatinya.

"Ly..! kau ni bila nak kahwin.. tu.. sepupu kau Madi pun dalam diam- diam dahh nak kahwin.." rungut Mael kepada Ally "aku masih tak ada calon lagi lah.." Ally memberikan jawapan mudahnya "jangan nak kelengtonglah Ly.. orang macam kau ni mana boleh takde makwe.." Mael tidak percaya dengan jawapan Ally yang mengatakan dia tak ada kekasih. "Kerja dia merata tempat mana ada masa nak cari mata airlah weh.." Rohim pula menyampuk. Pagi ini riuh kedai kopi Jusoh bercerita pasal perempuan dan ada juga makcik yang datang membeli nasi kerabu di kedai jusoh menawarkan anaknya untuk dijadikan isteri oleh Ally.
Keriuhan bertambah bila janda Esah yang ada anak lima juga turut tawarkan diri. "Alaa.. Ally pilih Kak Esah jelah tak payah fikir panjang.. rumah, anak dah ada.. aa nafkah zahir pun Ally tak payah fikir pun cuma sekali sekala je Ally baliklah tidur dengan akak.. itu saja syaratnya.." suasana amat riuh dan Mael tidak dapat menahan ketawa ditekan- tekan perutnya dengan mata yang tertutup geli hati. "hah.. Ally apa lagi, calon dah ada.. agaknya berapalah harga hantaran untuk harga borong sekali dengan anak- anak tu.. har.. haha.." Alah tak payah hantaran cuma tolong ambik borang pejabat kadi dan isikan untuk Kak Esah lepas tu Ally nak berkawan dengan perempuan lain pun tak pe kakak tak marah.." 
"Asalkan jangan lupa terus.. kan Esah.." terdengar suara orang menyampuk dari meja belakang. "Iya.. Kak Esah pun rela kalau bermadu.. nak suruh tinggal dengan kakak pun boleh.." Esah dengan selamba menjawab, dia juga hampir ketawa tapi ditahannya, sesekali dia menjeling dan kenyitkan mata kepada Ally membuatkan Ally tidak senang duduk, gurauan itu bertambah lagi bila diusik oleh beberapa orang tua yang memberi sokongan kepada Esah menjadikan gelak ketawa di warung Jusoh melarat- larat. Ally yang tidak tahan dengan usikan orang kampung itu akhirnya minta diri dengan muka yang merah padam.
Pagi ini adalah pagi yang paling indah dalam hidup Lina, bermula pagi ini hingga ke petang dan juga hari- hari mendatang diharapkan hari yang indah dan bahagia buat dirinya. Begitulah doa Lina selepas solat subuh pagi tadi, kerana di hari jumaat ini iaitu sebelum solat jumaat nanti insyallah dia akan dinikahkan dengan tunagnya Madi. Ibu Lina sedang bersiap hendak ke rumah saudara -mara untuk diuruskan hal- hal masak memasak dan kenduri yang juga diadakan serentak pada hari ini "Lina.. duduk dalam rumah jangan keluar ke mana- mana.." pesan ibunya "iyalah mak.." akur jawapan Lina, dia sememangnya seorang anak yang mendengar kata, tidak pernah menyanggah jika dimarahi oleh ibu atau bapanya. Waktu sekolah dulu kerapkali Lina hanya menangis jika dimarahi oleh ibunya walaupun ada kesalahan bukan berpunca dari dirinya, lebih -lebih lagi jika dengan adiknya Tina dia pasti akan beralah.
Lina menyapu rumah sementara kakak dan adiknya sedang menyiap dan menghias bilik, Lina sengaja mengelakkan diri untuk tidak membuat kerja bersama mereka di bilik pengantin, dia rasa malu bila diusik- usik oleh kakak dan adik perempuannya. Lina masih teringatkan usikan kakaknya waktu mencuba pakaian pengantin malam tadi "Lina kalau kamu dah kahwin kau rasa rugi kahwin lewat tauu.." "kenapa pulanyaa..?" tanya Lina "yalah kalau kau tahu betapa sedapnya kahwin.. dah lama kau minta ayah dan mak percepatkan perkahwinan kau.. sedap tau.." waktu itu merah padam muka Lina, Lina tersenyum sendiri bila mengingatkan kata- kata kakaknya. "Ooo.. senyum manis pengantin baru lah ni.." Kakak Lina yang bernama Nita muncul dari belakangnya tanpa disedari oleh Lina "ehh takdelah.." jawab Lina berpura- pura tak ada apa yang difikirkannya "ingat kat Madi lah tuu.." usik kakaknya lagi dan terus ke dapur.
Dalam kegembiraan hari ini tidak dapat lari terselit juga perasaan gerun yang sudah mula menyerang salur darah Lina, dia teringatkan adengan kisah perkahwinan filem hindustan, bermacam- macam perkara boleh berlaku, dari perlakuan pandang memandang sesama pengantin, sapaan para saudara hinggalah Lina terbayangkan tragedi hari perkahwinan yang sering ditunjukkan dalam filem Bollywood di mana adanya pengacau atau penyelamat yang akan mengejukan semua hadirin di hari perkahwinan.

Selamat pengantin baru
Selamat berbahagia
Selamat ke anak cucu
Selamat sejahtera

Semoga berpanjangan
Semoga berkekalan
Semoga satu tujuan
Semoga aman

Hidup mestilah kukuh
Sabar paling perlu
Cinta setiap hari
Senyum mesti selalu
oooo....

Ally memakai baju Melayu lengkap bersamping, dia diminta untuk jadi pengapit kepada pengantin lelaki, oleh kerana tugasannya itu Ally diminta naik satu kereta dengan Madi ke rumah pengantin perempuan. Sesudah selesai sembahyang jumaat Ally terus ke rumah Madi, berulang kali emak Madi menyatakan kekesalannya kerana Ally tiada waktu acara sebelum jumaat tadi ini mungkin kerana walaupun Ally adalah sepupu Madi tetapi waktu akad nikah di masjid tadi Ally tidak dapat ikut bersama disebabkan kereta yang membawa rombongan teruna dan dara sudah penuh dengan saudara- mara yang lain dan Ally sendiri yang menawarkan diri untuk tidak ikut serta.
Perjalanan ke Pulau Indah tidaklah begitu jauh hanya mengambil masa kira- kira setengah jam sahaja dengan melalui jalan tepi sungai, sungai air payau ini menjadi tumpuan kaki pancing terutama memancing udang dan ketam nipah yang banyak di situ, Ally juga pernah mengikut kawan- kawannya menangkap ketam dan udang waktu sekolah dulu dan selepas itu mereka akan melalui pula jalan kecil berliku merentasi padang dan semak ditumbuhi pokok gelam dan kemunting, selepas menuruni jambatan akhirnya mereka sampai ke depan rumah Lina.
Orang kampung dan para jemputan sudah ramai menanti ketibaan anak teruna. Beberapa orang kanak- kanak berlari dan berteriak mengatakan pengantin sudah sampai hingga mengejutkan kumpulan orang perempuan yang membasuh longgokan pinggan mangkuk di khemah sisi rumah, seorang kanak- kanak perempuan yang bermain dengan bunga manggar terpegun melihat rombongan pengantin yang ramai dan berpakaian cantik. Dia ikut berlari tetapi ditahan oleh seorang lelaki yang mungkin ayahnya.. langsung mendukung anak comel itu.

Rombongan yang sampai mengambil tempat di rumah jiran sebelah, suasana menjadi riuh sedikit, Ally yang mengiringi Madi duduk disebelahnya. Selepas semua rombongan sampai masing- masing bersiap dan beratur di belakang pengantin lelaki. Seorang kepala rombongan bernama Wan Bidah sibuk memberi arahan dan menyusun orang perempuan yang membawa barang hantaran atas par "Mak su kena duduk di depan sebab dia bawak sireh, yang lain- lain tu ikut dari belakang.. orang lelaki dan yang mengiring lebih elok diuduk di belakang semua, langkah kaki biar seiring, biar elok orang nampak.. muka kena senyum" Wan Bidah memberi darahan dan Ally tertolak ke belakang, duduk di barisan belakang par memegang payung yang mengiringi Madi.
Ally mengiring Madi hingga ke depan rumah Lina. Wajah Ally berubah "Oh tuhan.. apakah semua ini kebetulan" Ally merasa suatu kejutan yang amat hebat rasa seperti jantungnya direntap, langkah kakinya begitu berat untuk melangkah, seluruh jiwa terasa luluh tidak bermaya suasana jadi kelam.. kabur.. mata berpasir hampir jatuh air matanya, teringat akan pertanyaannya kepada Madi dalam kereta tadi "Di.. apa nama kampung isteri kau tu..?" setelah beberapa kali bersembang dengan Madi itulah pertama kali Ally bertanya tentang isteri Madi "Pulau Indah.." "Pulau.. apa nama isteri kau tu..?" "Norlina.. aku panggil Ina je.." bila dengar nama itu Ally terus diam dia seperti kenal sangat akan nama kampung dan isteri Madi, kini apa yang ingin dinafikannya benar- benar di depan mata.
Dan kali ini Ally  benar- benar yakin bahawa isteri Madi ini adalah bekas kekasihnya kerana kekasihnya yang bernama Norlina yang dipanggilnya Lina itu adalah orang yang tinggal di rumah ini, tidak syak lagi kerana kakaknya adalah bernama Nita yang sudah bersuami begitu juga adik perempuan Lina adalah Tina.. sungguh Ally terasa begitu tidak tenteram kerana kenangan bersama Lina dibawa ke mana jua pun walaupun tidak pernah diceritakan kepada sesiapa tetapi cinta pertamanya itulah yang membuatkan dia begitu menjaga hatinya agar tidak mudah jatuh cinta lagi. Kalau boleh mahu rasanya Ally meninggalkan majlis itu dan hanya sanggup melihat dari jauh sahaja.


Pengantin sudah di depan tangga, Lina diminta untuk menyambut suaminya itu untuk dibawa ke pelamin. Lina rasa sungguh gembira dan berdebar, dia muncul di tangga dengan wajah yang sangat berseri, waktu sambut tangan Madi.. Lina terpandang wajah Ally yang sugul mereka bertentang mata “Ally..” dengan tidak sengaja nama itu keluar dari mulut Lina dan Ally hanya anggukkan kepala sahaja, situasi yang berlaku tidak disedari dan difahami oleh orang lain hanya Ally dan Lina sahaja yang merasai suasana pilu mereka. 
Dengan wajah yang terkejut Lina cuba menahan perasaan dan ketika membawa Madi ke atas pelamin, Lina duduk di sebelahnya.. suara bisikan hati Lina berkata “maafkan aku Ally.. aku tewas dengan dugaan ini, aku tewas dengan takdir tuhan.. kita tiada jodoh Ally..” dan air mata sedih Lina mengalir bila melihat Ally perlahan hilang dicelahan orang ramai, Madi menyeka air mata Lina dengan tisu yang difikirnya adalah air mata kegembiraan isterinya di hari bertuah mereka.


Ally melangkah turun dari rumah Lina dengan perasaan yang sayu, dia tidak menoleh ketika suara kecil memanggil namanya agar tetap berada disamping Madi, Ally tidak ada selera untuk menikmati jamuan bersama rombongan yang lain dia keluar dari perkarangan rumah Lina, berjalan meninggalkan rumah itu tidak tahu ke mana hendak dituju. Hati remuk redam tidak keruan, pengorbanan bertahun tidak mengenal erti jemu, hati ditutup untuk semua perempuan semata- mata untuk membuktikan kepada keluarga Lina, dia berupaya untuk bangkit dan memenuhi kehendak Lina.. apakah Lina tidak yakin kepada keupayaanya atau adakah dia yang bersalah kerana menghilang tanpa khabar berita tapi bukankah Nita sudah tahu. “Ya.. Allah permainan apakah yang sedang hambamu hadapi ini.”


Ally berjalan ke sebuah gerai kosong di tepi jalan dia duduk di bangku kayu dengan wajah yang sangat muram, di sini Ally tidak dapat menahan kesedihannya lagi, dia membiarkan air matanya berderai membasahi pipi, tangisan yang kedua kali selepas tangisan pertamanya waktu berangkat meninggalkan Lina beberapa tahun dulu. Ally menyangka tiada lagi kesedihan selepas itu, setiap masa dia memegang janjinya tetapi Ally tidak menyangka Lina akan berkahwin tanpa pengetahuannya. “Oh.. bodohnya aku.. sanggup jadi lelaki setia yang membuta tuli, terlalu memegang pada janji, sangat percaya kepada lidah yang tak bertulang, berkorban untuk orang lain, terlalu memandang positif, tidak tahu untuk berlaku curang atau bercita- cita merebut peluang atas kesengsaraan jiwa orang lain.”

Selepas pulang dari rumah Lina kelmarin Ally tidak lagi ceria, dia masih terkejut dengan apa yang dilihatnya. Semalam Ally bangun ditengah malam, mengerjakan solat tahajud selepas itu sembahyang istikharah agar Allah  teguhkan hatinya dan memberi petunjuk agar dia dapat keluar dari kedukaan menuju kegembiraan. Hari ini Ally masih berada di dalam biliknya walaupun masih merasai betapa kecewanya bila melihat kekasih dambaan hati diambil orang Ally terus memujuk dirinya agar menerima ketentuan yang disuratkan oleh Allah, setiap dugaan dan kedukaan itu pasti dibalas dengan kegembiraan jua kalaupun bukan di dunia Allah akan pasti membalasnya di akhirat nanti jika manusia bersabar dan redha.


Seharian ini Ally hanya memenuhi harinya dengan termenung dan tidur.. hanya tengahari tadi bila perut lapar sangat barulah Ally keluar dari bilik untuk menjamah nasi ala kadar dan juga mengambil wudhuk untuk melakukan sembahyang zohor. Waktu asar sudah masuk, Ally keluar bilik lagi kali ini Ally bersiap untuk sembahyang di masjid, dia hendak pasrahkan diri dan bertafakur  di sana.. rasa rindu kepada rumah Allah itu berkunjung lagi, Ally ingin menjinakkan diri semula dengan masjid itu, tempat Ally mengenal muqaddam, Quran dan menghafal ayat- ayat lazim dengan ustaz Adnan waktu kecil dulu.
Solat asar berjemaah sudah selesai dikerjakan, solepas solat fardu ini tidak dituntut lagi mengerjakan apa- apa sembahyang sunat kerana telah berada dalam waktu makruh.. begitulah apa yang dijelaskan oleh ustaz Adnan dulu, jadi untuk memperbanyakkan amalan adalah dituntut untuk membaca Al Quran atau memuji nama Alla. Ally beristifar dan berteleku dengan perasaan yang sangat hina dan 
daif sekali. Lebih kurang lima belas minit Ally tidak berganjak dari sejadah diambil naskah Al Quran berdekatan dan mula membaca surah yang ke  94 iaitu surah Al- Insyirah : Bukankah kami telah melapangkan untukmu dadamu ? Dan kami telah menghilangkan daripadamu bebananmu, yang memberatkan punggungmu, Dan kami tinggikan bagimu sebutan (nama) mu kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, Maka kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh- sungguh (urusan) yang lain, Dan hanya kepada tuhanmulah hendaknya kamu berharap. Ally baca berulang- ulang selepas itu Ally cium kitab suci dan diletakkan di tempat asalnya, Ally kembali bersemangat semula dia keluar dari masjid dan melangkah pulang ke rumah dengan tenang.
Dalam perjalanan pulang Ally teringatkan panggilan telefon dari Shida beberapa hari lepas, Ally sebenarnya hendak telefon segera tetapi kesibukan dalam urusan perkahwinan Madi dan Lina menyebabkan dia bertangguh, begitu juga dengan kelmarin, Ally benar- benar memutuskan talian telefon dia tidak mahu melayan atau diganggu walau dari sesiapa pun tetapi hari ini selepas pulang dari masjid Ally sudah dapat menerima kenyataan dan ingin menghubungi Shida secepat mungkin. Ally teringatkan kebaikan Shida dan Alia, dia rasa satu peluang terbuka yang begitu lama dibiarkan begitu juga dengan Dayang Rahmah walaupun Ally selalu bergurau dengannya dan menawarkan cinta tetapi sebenarnya didalam hatinya Ally tidak sanggup melanggar janji yang diciptanya bersama Lina, Ally tetap berpegang kepada apa yang dikatakan hukum karma yang mana setiap perbuatan akan dibalas setimpal dengan apa yang dilakukan dan kerana kepercayaan itulah Ally begitu takut untuk menerima cinta.



Ally berjalan kaki pulang dari masjid, sampai ke rumah waktu emak Ally yang dipanggil mak Utih sedang bersiap hendak ke kebun pisang “Ly ikan haruan goreng ada bawah saji.. terung bakar pun ada.. makanlah ayah kau dah makan” “mak nak ke mana..?” Ally bertanya ketika Mak Utih sedang betulkan kain sarung yang dipakai di kepala “mana lagi kebun pisanglah ada buah sedang masak kalau tak tebang alamat malam ni jadi rezeki keluanglah..” “Madi tak datang mak ?” Ally bertanya kalau- kalau sepupunya datang mencari kerana tak puas hati dengan perbuatan Ally meninggalkan majlis persandingannya “tak ada pulak.. kenapa ?” “tak ada apa mak..” jawab Ally sambil kakinya melangkah naik ke atas rumah.


Siap menukar pakaian lama yang lusuh, Ally ke dapur membuka tutup saji mengkuang ada telur ayam rebus terendam dalam piring budu yang sudah diadun dengan lada burung, sejemput tempoyak dan asam limau lentang, sementara dalam piring satu lagi ada celur terung manggor yang lebat bertangkai bersama pucuk ketereh, terung bakar dan celur jantung pisang sementara dalam piring satu lagi ada ikan kering yang digoreng garing bersama ikan haruan.. pecah selera Ally untuk makan dahulu sebelum turun ke kebun membantu emaknya membersih pangkal pokok dan daun- daun pisang kering. Diambil pinggan kaca putih corak bunga raya, dibuka periuk nasi dan dua kali senduk penuh nasi beras cap kangkung berada dalam pinggan akan jadi habuan perut Ally petang ini.

Hari ini Shida tidak kemana- mana, selepas menerima ciuman Alia yang hendak ke sekolah pagi tadi, Shida  hanya terbaring di atas sofa dengan televisyen terpasang . Hanya lewat petang nanti barulah Shida akan ke tempat penggambaran, Alia sudah memberitahu Shida bahawa hari ini dia mungkin balik lewat sikit dari sekolah kerana ada kelas tambahan.. menantikan waktu petang yang masih jauh Shida manfaatkan masa dengan mengemas rumah. Selepas memaksakan diri untuk bangun dari pembaringan Shida mula menarik meja dan menolak almari hiasan untuk diletakkan di sudut yang sesuai, dalam termengah- mengah menolak almari seorang diri Shida terkenangkan Ally.. kalaulah Ally ada dia akan ringan tulang membantu kerja- kerja shida.
Banyak juga yang Ally lakukan dan bantu dalam pengubahsuaian rumah Shida malahan warna biru lembut di syiling rumah adalah sentuhan Ally, pada masa mengecat rumahnya dulu Shida masih ingat kemesraan mereka bila Shida tertumpah cat dileher Ally.. kerana tak nak kerjanya terganggu Ally biarkan cat tu sampai kering, jadi payahlah nak tanggal hinggakan Shida terpaksa membantu.. sampai merah leher Ally digosok oleh Shida dengan spam dalam bilik air dan Alia terbahak- bahak menahan ketawa bila mamanya jatuh terjelepuk dalam bilik air.

Setelah diubah kedudukan almari dan meja, Shida mengemas pula di bahagian dapur, jenuh juga menyusun pinggan mangkuk dan alatan memasak. Satu blender lama yang dah berkarat dan bekas plastik yang tak digunakan dibuang ke dalam tong sampah DBKL di sebelah rumahnya. Berpeluh juga Shida mengerjakan rumahnya hinggalah jam hampir pukul dua barulah selesai semuanya. Shida buatkan air oren sunquick dan bersandar di sofa melepaskan lelah. Telefon bimbit Shida yang diletak di atas sofa disebelahnya berbunyi dan bergetar, Shida lambat- lambat menjawabnya "Halloo.. siapa tu..?"

“Assalamualaikum..”
bunyi suara Ally di hujung talian.
“Waalaikummussalam”
Shida menjawab salam dari Ally
“tengah buat apa.. kat mana ?” “Baru saja kemas rumah, penat.. kalaulah engkau ada boleh jugak bantu aku.. apa cerita engkau.. seronok tak kat kampong ?”
Shida bertanya dengan harapan Ally akan menyatakan hasratnya untuk kembali semula. Ally keliru dengan pertanyaan Shida, menyebabkan dia tergagap- gagap hendak menjawab.
“Eh.. engkau tanya aku pulak apa cerita, yang engkau telefon aku malam- malam buat apa ?”
Ally dengan perasaan ingin tahu lekas bertanya sebelum Shida mula bertanya macam –macam hal, memandangkan sebelum ini bila bertelefon Shida akan berbual berbagai perkara hingga terlupa dengan hal yang hendak diperkatakan dan laki baki kredit telefonnya dah tak banyak.
“Bila tu.. ? Oo.. malam dua hari lepas, kenapa baru tanya ya.. aa.. saja, aku dah lupalah mungkin tersalah tekan kot..”
Shida tergagap memberikan alasan.
“Ingatkan ada apa.. kau apa khabar, tak shooting ke hari ni ?” “shooting, petang nanti.. yang kau lama- lama kat kampong tu tak turun KL ke ?”
Shida yang terpinga- pinga menanyakan soalan yang laju keluar dari mulutnya.
“tak tau lagilah.. masih ada benda nak diselesaikan kat sini”
Ally memberikan jawapan spontan kerana dia belum lagi pasti untuk ke KL.
“Ada hal dengan bakal isteri ke ?”
Shida bertanya untuk menduga.
“Isteri.. manalah ada, siapalah yang nak menempah nasib malang untuk bersuamikan aku..” “Ish.. kau ni Ally, tak habis- habis nak merendah diri..”.
Shida tidak suka Ally terlalu merendah diri sangat, sudah beberapa kali Shida menegur sikap rendah diri Ally tu.
“Okeylah Shida ya.. kredit dah nak habis ni..” “Iyalah Ly, kirim salam semua ya byee..” “Ok bye..”
 Ally sudah biasa mengucapkan perkataan bye kepada Shida dan sememangnya Shidalah yang biasakan Ally dengan perkataan yang manja itu.

Shida rasa senang hati dan gembira selepas bercakap dengan Ally, rasa bagai satu kuasa baru yang menyelinap ke dalam dirinya. Shida tidak menyedari yang percakapannya dengan Ally tadi didengari oleh Alia yang baru pulang dari sekolah dan mendiamkan diri di tepi tingkap,
“Oh.. baru tahu mama bercinta dengan abang Ally ya..”
Shia terkejut dengan sapaan Alia di depan pintu sambil membuka kasut, dia segera berlagak macam tak ada apa –apa yang berlaku.
“Eh.. kenapa awal balik hari ni ?” “Cikgu ada mesyuarat.. kenapa ? mama terkejut ya.. ? Oo.. mama nak kahwin dengan abang Ally..” “Ish.. kau ni Alia.. ada ke macam tu..”
 shida tersipu- sipu malu dengan usikan Alia.
“Kalau bukan bagi telefon tu biar Alia sendiri Tanya abang Ally”
Alia rebut telefon dari mamanya, mereka berebut telefon.
“Alia.. Alia.. jangan kau buat bukan- bukan”
Shida marah dan dia melenting dikejar anaknya dan ketika bergelut itu telefon Nokia Communicator kesayangannya terjatuh, Shida amat marah dia menampar Alia di pipi
“kurang ajar punya anak, aku dibuat macam kawan dia..”
Alia menangis dan masuk ke bilik, dia mengunci dari dalam.

Shida rasa menyesal kerana berkasar dengan Alia, dia tidak sepatutnya bertindak begitu kerana apa yang terjadi tidak disengajakan oleh Alia. Shida dapat melihat betapa hampa dan sedih di wajah Alia, sepi dan terpinggirnya anak perempuan tunggal yang selama ini menjadi teman Shida. Alia yang terpisah dari ayahnya sejak berumur tiga tahun dan selama itulah mereka dua beranak menjadi teman akrab, Alialah yang menjadikan Shida begitu kuat bekerja dan tidak berputus asa dalam menghadapi hidup dan cemuhan masyarakat yang rata- rata memandang rendah artis janda sepertinya, diawal perpisahannya dulu Shida pernah hampir bergaduh dengan salah seorang jirannya yang menuduh Shida hendak merampas suaminya sedangkan Shida tidak tahu apa- apa pun hinggalah beberapa tahun selepas itu bila Ally selalu bertandang ke rumah Shida barulah hubungan dengan jirannya itu elok kembali, itupun kerana Alia juga yang manja dan mengajak Ally ke rumahnya.


Shida masuk ke dapur, membuka peti ais dan mencari bahan mentah di ruang sejuk beku, ada sotong yang sederhana  besar di dalam mangkuk plastik, dikeluarkan dan bersih di dalam sinki setelah itu disediakan pula cili kering, bawang, rempah ratus dan lain- lain pelengkap tumis, selepas digiling cili kering dan bawang Shida panaskan minyak di dalam kuali setelah itu dimasukkan rempah ratus bersama cili digiling, apalagi huhh.. semerbak bau memenuhi ruang setelah itu dimasukkan sotong yang sudah dipotong- potong seperti cincin, untuk menambah perisa Shida tambahkan gula, garam dan ajinomoto setelah dikacau Shida cuba letakkan di lidah, tak cukup masin, ditambahkan lagi sedikit garam.. kacau sekejap dan api dapur dimatikan. 

Mangkuk kaca berukir bunga diambil untuk diisi sotong masak merah kegemaran Alia dan diletakkan di dalam almari lauk.

Hampir seharian Alia berkurung di dalam biliknya, dia tertidur dengan masih berpakaian sekolah, bantal peluk terjelepuk di birai katil setelah dibuangnya untuk melepaskan geram, cadar yang tadinya digenangi air mata sudah kering. Alia perlahan- perlahan membuka mata dengan malas, menggeliat.. paksakan diri bangkit dari katil dan dengan lesu perlahan- lahan buka pintu bilik, sangkutkan tuala bergambar Donald Duck di atas bahu untuk ke bilik mandi, sewaktu Alia melintas ruang dapur dia melihat ada catatan di papan putih yang digantung di belakang pintu bertulis -Mama pergi shooting, lauk ada dalam almari- Alia buka almari dan bila nampak sotong masak merah ditambah dengan perut yang kosong sejak tengahari tadi, Alia lihat jam sudah hampir lima setengah petang dia tangguhkan dulu untuk mandi, mengambil pinggan.. ceduk nasi dari periuk letrik di sebelah almari lauk, mengeluarkan mangkuk berisi lauk diletakkan diatas meja makan dan mula menjamu selera juga tidak ketinggalan yang menjadi menu kegemaran mamanya ialah tempe yang dibuat dari kacang soya, Shida memang suka makan tempe kerana dia adalah JPJ (Jawa Peranakan Johor).
Selepas makan dan masuk ke bilik Alia mengambil handsetnya.. menekan- nekan nombor dan keluar nama Ally, selepas Alia termenung dan berfikir Alia mula menelefon Ally. 

"Hallo.. Abang Ally ya.. abang Ally dok kat mana.. buat apa ? Abang Ally.. tadi kan Mama tampar Alia.. sebab Alia cakap mama nak kahwin dengan abang Ally... lepas tu.. kan.."


Alia menceritakan semua yang berlaku antara dia dan mamanya kepada Ally. Selepas memberitahu Ally tentang apa yang berlaku, Alia rasa lega sedikit.. Alia keluar semula ke dapur kemaskan meja makan dan sinki, Alia terlupa bahawa dia masih lagi berunifom sekolah, sedikit sisa makanan terkena baju kurungnya, Alia masuk semula ke bilik menukar pakaian dan mengumpul semua pakaian kotornya untuk dicuci.

Kalau diikutkan hati memang hari ini Shida tak nak lagi terlibat dengan penggambaran di Ulu Langat, mahu rasanya dia ke pejabat produser dan serah balik first paymentnya tetapi kerana mengenangkan rezekinya dengan cara berlakon dan juga menjaga nama baik Shida paksakan juga dirinya untuk hadir di lokasi semalam. Shida masih menggunakan jalan bukit Ampang walaupun terpaksa memanjat bukit tetapi jalan ini jauh lebih dekat daripada jalan merentasi Taman Sri Nanding yang bersambung pula dengan lebuhraya ke Seremban. Shida menoleh tepi jalan tempat dia berhenti semalam, ada sebuah kereta berhenti di situ dan seorang pemuda keluar berlindung disebalik keretanya, mungkin sedang buang air kecil agaknya, setelah sampai di kemuncak kereta volvo Shida mula meluncur menuruni bukit tetapi kelajuan turun bukit sebelah Ulu Langat tidaklah securam belah Ampang ia masih memerlukan tekan minyak bila mana kereta berada di jalan mendatar. Setelah kereta Shida sampai di lampu isyarat simpang empat menandakan cabaran tanah tinggi sudah tamat dan kini Shida cuma ambil jalan belok ke kiri untuk sampai ke lokasi penggambaran.
Shia sampai di lokasi semasa pasukan krew sedang memasang moon light di tepi tingkap luar bilik, lampu besar 2K dibalut blue tressing untuk menghasilkan mood malam dan cahaya biru yang dihasilkan seakan cahaya bulan, setelah lampu 2k dinaikkan tinggi, seorang propman menaikkan dedaunan yang disimbah cahaya bulan.

“Kak Shida mari sini nak solek sikit”

Make up artis memanggil Shida yang sedang membuka bonet kereta terbongkok- bongkok mencari sesuatu dan mengeluarkan sehelai pakaian tidur yang akan dipakai untuk babak malam ini. Shida berjalan ke arah Along yang bercekak pinggang menunggunya.

“Hai.. ni cekak pinggang ni apasal, nak cari gaduh ke ?”

Seloroh Shida dan serentak itu dia mencubit paha Along

“Auww.. op pocot.. mak engkau aku solek.. aku solek.. mak aku.. mak engkau dan mak aku solek aku..”

Along melatah dan disambut ketawa oleh Shida. Shida meletakkan pakaiannya di atas bangku satu lagi memerhatikan Along yang tercungap- cungap menahan nafas.

“meh la sini jangan merajuk alaa.. ala bucuk..”


Shida buat- buat memujuk dan Along datang kepadanya setelah menghentak kaki ke tanah beberapa kali.

Shida gembira dan puas dengan kata semangat dari Ally dan Shida juga tak sangka pula bahawa Alia akan mengadu kepada Ally tentang kejadian tadi, mungkin Alia.. aahh tak mungkin Alia ada hati dengan Ally, mereka macam adik- beradik dan tak lebih dari itu. Shida cuba memujuk hatinya, jauh di sudut hati Shida mula berfikir yang selama ini tidak mahu difikir olehnya. Shida juga selalu membandingkan Ally dengan bekas suami dan kenalan lelaki yang pernah dikenali, ternyata Ally mempunyai karisma sebagai pelindung dan memahami jiwa wanita, tetapi Ally sebagai anak kampung yang tidak merokok sungguh berbeza dengan tuntutan warga kota yang rata- ratanya sudah biasa dengan air syaitan, hiburan dan perasaan hormat kepada wanita yang semakin hilang. Yang paling Shida dan keluarganya lebih hormat dan sayangkan Ally adalah kerana Ally sangat menjaga solatnya iaitu suatu suruhan tuhan yang semakin asing dan kadangkala Shida melihat Ally adalah seorang pemuda yang begitu unik dan hidup dalam dunianya sendiri.
Shida tidak pernah melihat Ally melenting ataupun mencarut, Shida juga pernah membawa Ally ke kampung dan arwah ayahnya cepat mesra dengan pembawaan Ally.. sungguh Shida rasakan dia tidak layak untuk lelaki Melayu terakhir seperti Ally.. entahlah Shida tidak tahu akan perlakuan Ally di luar sana mungkin berbeza dengan tanggapannya tetapi yang paling tidak menepati dan menyukarkan untuk Shida menyatakan hasratnya kepada Ally adalah kerana Ally belum kukuh ekonominya sedangkan itulah yang diburu oleh Shida siang dan malam.

Pengarah datang, dia mencuit dan menepuk- nepuk bahu Shida, Shida dengan sopan gerakkan badannya sebagai isyarat tidak menyenangi perlakuan itu yang mungkin Tony sendiri tidak menyedarinya.
"Okey Shida kalau dah siap.. on the set.."
Tony menyuruh Shida ke set, semua pekerja dan karyawan sudah bersedia untuk meneruskan penggambaran. Shida bangun dan menyusul dari belakang Tony, Along mengemaskan barang- barang persolekkannya dan turut ke bilik tidur tempat penggambaran dijalankan, Shida ingat dengan kata- kata semangat dari Ally tadi dan dia bersedia untuk melakukan seperti yang disaran oleh Ally.. one take only.. Shida kini sudah bersedia dengan mood dan riak wajah yang menepati kehendak babak penting itu, setelah Shida mengambil tempatnya pengarah memberi arahan.

"light on.."
lampu dihidupkan, terhasillah suasana bilik diwaktu malam dengan biasan cahaya bulan tiruan dari lampu 2k di luar rumah yang terbias masuk melalui cermin jendela, juga efek yang terbuai- buai hasil bayangan dedaunan pokok yang diletak oleh propman, bayangan dedaunan itu terlekat lembut di dinding bilik yang mengadap ke tingkap menjadi seolah- olah suasana malam bulan purnama dengan hembusan bayu yang lembut.
"sound okey ?" "sound clear.."
jawab jururakam suara.
"camera roll..." "roll camera"
jawab jurukamera bernama Azhar.
"ready for take.." "scene 42, take one"
juru konti meletakkan clap board.
"three.. two.. one.. action.."
Suasana jadi sunyi dan senyap hanya kedengaran dialog Shida dan aksinya yang berbeza dari semalam, pengarah Tony begitu berpuas hati.. tersenyum bila melihat lakonan Shida di dalam monitor yang dikhaskan untuknya. Tony mengangkat tangan dan..
"cut.. very good acting.."

Shida sampai ke rumah lebih awal dari kebiasaan, mulut Ally memang masin.. Shida betul- betul dapat melakonkan watak hanya dengan satu take, waktu sampai di rumah tadi anak kesayangannya Alia sedang menonton rancangan Astro, selepas membuka pintu Alia kembali menonton dan tidak bercakap sepatah pun dengan Shida seperti selalu. Mungkin juga kerana Alia semakin dewasa dan perasaan seorang kanak- kanak semakin terkikis dari dirinya. Alia sudah pandai menguruskan dapur, kain baju dan kadangkala dia pergi ke pasar membeli barangan rumah. Shida pula mula menyedari perubahan dalam diri Alia dan dia tidak lagi mengongkong perlakuan Alia, Shida lebih banyak melihat saja apa yang Alia lakukan, Shida beransur dapat menerima bahawa Alia akan semakin berdikari. Tetapi yang paling pasti adalah Alia masih tidak puas hati dengan apa yang terjadi siang tadi.
“Mama.. Alia nak ke Kota Bharu lusa..” “Aa.. Kota Bharu.. buat apa, dengan siapa ?”
Shida terkejut  mendengar permintaan Alia.
“sorang je.. jalan- jalan..”
Shida benar- benar tidak terkata apa- apa dan untuk tidak menambahkan lagi kemurungan dan kesedihan yang dirasai Alia seharian ini, Shida tidak dapat membantah.
“kau ada bagitau abang Ally ?.. dia kan ada kat sana”
Shida beri cadangan walaupun dia keberatan membenarkan Alia pergi.
“Alia tahu jalan sendiri tak payahlah bagitau..”
Alia menjawab dengan tegas dan tidak memandang kepada mamanya.
“nanti mama bagitau abang Ally..”
Shida menegaskan pendiriannya, Alia tidak menjawab dan masuk ke biliknya. Shida bangun dari sofa mengambil  telefon menuju ke pintu depan memandang ke langit luas kelam.. redup tidak berbintang sebagaimana meredupnya hati Shida bila pertama kali anak kesayangannya meminta restu untuk menjauh dari sisinya, sejak mula mereka tinggal di rumah pangsa di Jalan Ikan Ayu, Cheras.. Alia menjadi temannya dan Shida hanya berazam untuk membesarkan anak itu dengan penuh kecukupan dan tidak terabai setiap keperluannya, Shida tidak sedikit pun terlintas untuk dibalas. Shida korbankan perasaannya kepada lelaki yang cuba mencuri hatinya hinggalah saat ini bila mereka berdua sudah berupaya tinggal di rumah yang lebih selesa Shida tetap mengharap agar Alia mendengar nasihat dan patuh kepada suruhannya. Setelah menyelami rasa hatinya Shida cuba pula menerawang dan merasai isi hati anak gadisnya dia cuba memahami dan memujuk hatinya bahawa Alia tidak pernah ada perasaan benci tetapi rajuk dan kecil hati yang juga  berpunca dari rapatnya hubungan mereka dua beranak, Shida menarik nafasnya perlahan cuba memujuk wasangkanya dan menanam keyakinan bahawa Alia hanya ingin bercuti dan berubah angin sekali- sekala. Shida juga menyedari mereka berdua sudah lama tidak keluar bersama jauh sekali untuk meluangkan masa keluar dari Lembah Kelang.

Shida tak tau nak buat apa, Alia telah masuk ke kamarnya.. Shida masuk semula ke dalam rumah cuba melayan rancangan televisyen yang menarik di rangkaian Astro tetapi tidak cukup untuk membuat Shida setia menonton. Rasa keseorangan menyapa dirinya, setelah mematikan televiyen Shida masuk ke kamar menukar pakaian, menyapu sedikit bedak ke pipi dan leher kemudian keluar ke pintu depan menyarung sandal dan berjalan ke gerai Pak Mat di depan taman perumahannya, dia memakai seluar paras betis dan mengenakan sweater.
Jarak ke gerai Pak Mat lebih kurang seratus meter dari rumahnya dan sebelum sampai ke gerai itu Shida kena melalui taman permainan yang juga terdapat balai serbaguna, ada dua orang 'bangla' menegur untuk cuba mencuri perhatian Shida, kadangkala warga asing ini membuatkan Shida terfikir yang bukan- bukan kerana setiap hari ada sahaja perbuatan jenayah yang juga melibatkan pekerja asing, dan tak kurang juga yang terlepas dari pihak berkuasa kerana mereka mudah sahaja menghilangkan jejak dan pulang ke negara asal jika menyedari mereka diburu pihak berkuasa. Acap kali juga Shida menasihatkan Alia agar tidak berjalan seorang diri atau melalui jalan- jalan yang sunyi.
Bila sampai di gerai Pak Mat ada beberapa orang pelanggan yang masih gagah melawan ngantuk demi meneruskan kerja atau berjumpa teman setempat, Shida ada juga terperasan pelanggan yang makan di gerai ini biasanya adalah para suami kenalan Shida yang tinggal berdekatan dengan kediaman Shida.
"Pak Mat, soto satu.. maka sini !.."
"Airnya..?"
Pak Mat bertanya sambil mengangkat tangan kepada Shida yang sudah dianggap sebagai pelanggan tetap gerainya. Kerana kebiasaan itu kadang- kadang Pak Mat tak minta bayaran jika terlalu sibuk, dia tidak bising kerana Shida pasti akan datang lagi dan melangsaikan apa yang belum beres.
"Bagi Nescafe ais"
"siap.."
Pak Mat dengan jawapan lazimnya sambil menyediakan makanan yang diminta. Shida sedang menunggu pesananya siap.. Shida melihat dibangku hujung, Lina dan pasangannya yang baru bernikah minggu lepas sedang makan dengan mesra, timbul juga perasaan cemburu dan rindunya Shida kepada belaian dan gurauan seorang lelaki bergelar suami, sudah bertahun- tahun lamanya Shida tidak berpeluang merasai semula keindahan rasa kasih seorang suami, Shida rasa amat sedih bila mengenangkan kehancuran rumah tangganya.
"Ally.. siapakah orang yang jadi pilihanmu.. indahnya kehidupan wanita yang mendapat cintamu.."

Ally tidak dapat melelapkan mata, sejak pulang dari majlis persandingan di rumah Lina dia masih terbayang  kegembiraan Lina dengan senyum manis diukir kepada setiap tetamu yang menyapanya di atas pelamin, gadis yang dulu dipuja akhirnya menjadi isteri sepupunya. Ally juga terkilan kerana tidak sempat mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Lina.. Ally tidak tahu kenapa dia tidak dapat berkata sepatah kata pun di depan Lina, sepatutnya dia kena bersikap tenang dan pro, dia tidak perlu terlalu emosi dengan menghilangkan diri dari majlis, Ally sepatutnya berada disisi kedua mempelai sebagai pengapit dan lupakan sekejap walau sebesar mana pun gelora di hati.

Meskipun Ally masih keliru dan tidak tahu siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal ini tetapi ternyata Ally tidak boleh menjadi terlalu tabah.. Ally sudah merasakan bahawa dia tidak berdaya, dia sudah tewas ditangan sepupunya sendiri.. Ally telah terperangkap dengan kesetiaan yang diciptanya sendiri.

   "Macam mana dia boleh terpikat dengan Madi ya.. bila mereka berkenalan, adakah ketika aku tiada di sini atau sememangnya Lina sudah ada orang ketiga ketika aku masih berkasih dengannya ataukah kerana peristiwa di hospital dulu ada kaitan dengan Nita..., walau apa saja kemungkinan pun macam mana harus ku sembunyikan perasaan ku jika melihat Madi bermesra dengan Lina lebih- lebih lagi jika mereka datang ke rumah.. dan hari raya, kenduri atau.. ahh karutnya, apa aku nak buat bila.. oh tak sanggup.."
Ally menekup mukanya dengan bantal dan..
"tuupp.. tup.. tup.." 
telefon berbunyi, Ally tidak pedulikan bunyi telefonnya, dia tidak dapat melayan walau panggilan daripada sesiapa pun. Ally telah dibawa ke lembah duka yang jarang sekali ditempuhi oleh kebanyakan orang.. pandangannya kabur, retinanya tidak berjaya membendung derai air mata yang masih tidak mahu berhenti dari melapisi selaputnya.. pandangan yang kabur dan berkaca memenuhi ruang tidur Ally. Walaupun Ally akhirnya tertidur juga setelah lama menerawang masa silam dan mengenangkan nasibnya tetapi tidur Ally ditemani mimpi- mimpi kisah bersama Lina. Mimpi menunggang kuda putih diawang- awangan dan merantau ke seluruh alam tetapi akhirnya kuda putih terjunam ke laut hitam dan Lina hilang ditelan gelombang.

Ally bangkit dari tidur bila dikejutkan azan subuh dan mimpi yang menemani sepanjang malam pun dikuak pergi melepaskan dakapan semalamannya, Ally bangkit dengan lesu dan berserah, teraba- raba mencari suis lampu bilik.. bila sahaja suis ditekan lampu kalimantan menyimbahkan cahayanya mata Ally berpinar dan rasa pedih sedikit kesan bengkak kerana tangisan malam tadi. Setelah penglihatan menjadi jelas Ally memakai selipar Jepun warna hijaunya dan keluar dari bilik untuk mengambil wudhuk, beberapa ketika kemudian Ally kembali semula ke bilik menyarung kain pelikat, pakai baju Melayu dan membentang sejadah ke arah kiblat, diambil kopiah yang tergantung di paku payung yang dipaku ke kayu dinding. 
"Allahhuakhbar..."
 Ally melakukan takbiratul ihram sebagai tanda solat dimulakan, setelah selesai mengerjakan sembahyang dua rakaat yang wajib dan sangat besar ganjarannya itu Ally duduk bertafakur di atas sejadah, beristifar, bertahmid dan berwirid hingga matahari mula muncul di kaki langit timur, tika itu Ally menitiskan air mata lagi dia hanya dapat meluahkan sendu dihatinya hanya kepada Allah swt, tika ini perasaan insaf, terpegun dan redha dengan ketentuannya mula meresap ke jiwa Ally. Sungguh Ally pasrah bahawa hidup ini memang sudah ditentukan rezeki, ajal dan jodoh pertemuan.. Allah swt memang adil, dia memberi sesuatu yang kita tidak menyangka dan mengambil pula sesuatu yang kita tak terduga malah kalau dihitung congak segala percaturan yang terjadi itu semakin yakinlah bahawa apa yang dianugerah adalah kesan dari perbuatan hambanya sendiri sama ada disedari atau tidak.
"Allahhuakhbar.."

Ally takbir perlahan. Bangun dan melipat sejadah baldu lembut berwarna merah hati dengan lakaran masjidil haram. Menukar dan melipat pakaian sembahyang sebelum diletakkan di rak pakaian, Ally mencapai tuala lantas melangkah keluar dari bilik tidur menuju ke bilik air untuk mandi pula.

Setelah siap mandi pagi Ally mengenakan track suit dia sudah berkira- kira untuk tidak berjogging pada pagi ini tetapi akan hanya berjalan- jalan keliling kampung, sungguhpun rasa redha sudah menjalar ke dalam jiwa dan pemikiran tetapi semangat Ally masih belum pulih sepenuhnya lagi dia berhasrat untuk memenangkan hatinya dengan menurut saja langkah kaki asalkan tidak terserempak atau disapa sesiapa sahaja di jalanan, Ally ingin bersendirian, untuk itu Ally tidak melalui jalan biasa dia akan mengikuti batas anak sungai kecil yang mengalir perlahan bersama anak seluang sebelum bertemu dengan sungai yang lebih lebar dihilirnya. Anak sungai jernih ini berpunca dari kawasan tanah tinggi di kampung Seberang Derdap iaitu kampung bersebelahan Lubuk Puyu.
Berjalan tenang berseorangan membuatkan Ally merasai betapa bernilainya seorang teman bernama kekasih, dunia akan diwarnai dan lebih berharga jika ada orang yang mengasihi, walau hanya berjalan kaki, jarak lebih dua kilometer bermula dari rumahnya bagaikan tidak terasa oleh Ally dia kini sudah menghampiri punca anak sungai yang mengalir merentasi kampungnya. Sampai di satu kawasan berjeram Ally turun ke tepi air, duduk atas batang kayu mati yang separuh terendam dalam air, mencedok air jernih bak kristal dan menyapu ke mukanya, terasa dingin dan segar meresap ke kulit pipinya. Ally memanjat pula ke atas seketul batu besar, duduk disitu memandang ke hadapan.
Pemandangan sawah muda yang beralun mengombak mengikut gerakan angin pagi, Ally mengeluarkan hanset dari saku seluar treknya, meneka ke menu miscall dan terpampanglah satu panggilan dari shida pada pukul 11.42 malam.
"eh ada apa pula ni.."
Ally berfikir sejenak
"Ada hal penting ke.. atau Shida dalam kesusahan.. boleh jadi.. Alia buat hal lagi.."
Ally menekan pula ke menu phone book dan memilih yes untuk call nombor telefon Shida

Shida masih belum bangun tidur lagi, hujan yang turun semalam membuatkan suhu jadi dingin dan redup, kena guna selimut untuk panaskan badan begitu juga Shida.. masih berbungkus dalam selimut. Bunyi deringan telefon di hujung katil menganggu tidurnya, Shida Separuh mengeluh mengambil telefon di tepi katil dan menjawab dengan mata terpejam.
"haloo.. er.. siapa ni..?" 
"Aku.. Ally"
"Ohh.. Ally.."
Shida kegembiraan dan matanya yang galak itu mulai segar
"Ada apa telefon semalam ?"
"Semalamm.."
Shida cuba ingat balik.
"Ohh.. ya. macam ni.. Alia nak ke Kelantan.."
"nak datang sini.. ye ke.. bila ?"
Ally seperti tidak yakin dengan kata- kata Shida.
"Iya.. mungkin besok.. agaknya.."
Ally masih tak tau nak cakap apa, dia hanya diam.
"Jadi.. aku nak kau tolong tengokkan dialah.."
"bolehh.. tak jadi masalah.. tapi ada urusan apa Alia nak datang ?"
"tak ada apa- apa tujuan, nak jaan- jalan saja katanya.. aku harap kau jagalah.. bawalah dia jalan- jalan.. mungkin dia rindu kat engkaulah tuu.. kalau tak bagi maunya masam muka pula dia.. nanti telefon Alia lah.."
"ok boleh.. kau macam mana sekarang Shida ?"
"Aku macam biasalah.. lepas habis satu job kena ke hulu ke hilir mencari peluang lain pula.. macam kau takpelah cukup.. lebih- lebih lagi duduk kat kampung tak perlu terkejar- kejar ke sana- sini cari duit.."
"alahh sama jugalah.. kat kampung pun nak kena pakai duit juga.."
"Yalahtu.. okeylah Ly aku nak ke bilik air.. bye"
Shida matikan telefon dan bangun dari katil, betulkan rambutnya di cermin meja solek lalu keluar menuju ke bilik Alia.
Pintu bilik Alia ditolak dan nampak Alia berbaring di katil sambil membaca buku.
"Alia.. mama dah bercakap dengan abang Ally, katanya bila Alia sampai ke Kota Bharu nanti telefonlah.."
Alia buat- buat tak dengar, Shida malas nak melayan dia tutup semula pintu bilik Alia.
"Terima kasih mama.."
Dengar suara Alia dari dalam biliknya, Shida tersenyum.
"Nanti telefonlah abang Ally tu.."
Shida menambah dan masuk ke biliknya semula mengambil tuala mandi dan beberapa helai pakaian kotor untuk dicuci.

Di stesen bas Puduraya, Alia berjalan seorang diri ke kaunter tiket. Sebagai sebuah terminal bas yang sibuk dan sesak di kotaraya Kuala Lumpur ini bermacam gelagak manusia dapat dilihat dari pengemis, peniaga hinggalah ulat tiket..
"Err.. bang.. ti.. ket .. ke kelantan ada tak ?"
Alia yang tak biasa membeli tiket bas memberanikan diri bertanya kepada kerani di kaunter tiket.
"Ada.. banyak dik.. nak berapa ?" 
"Satu je bang.."
Kerani dengan pantas menulis di kertas tiket dan hulurkan kepada Alia.
"Bas ni terus ke Kota Bharu ke bang ?"
"Ia.. dik bas tu tak pergi ke Bangkok.."
Dengan selamba kerani penjual tiket itu menjawab sambil tersenyum dan kenyitkan mata kepada Alia. Alia menyampah dan terus beredar dari situ dia mencari tempat duduk yang berhampiran dengan platfom 11. Alia duduk sebelah perempuan tua yang memegang beg dengan kemas di atas ribanya mungkin sedang menunggu seseorang. Sambil melihat orang ramai lalu lalang di depannya Alia mengimbas kenangan bertahun dulu, wajah Puduraya tidak banyak berubah, tetap sarat dengan manusia yang bermacam halatuju dan tujuan masing- masing, waktu itu dia masih kecil dimana Mama membawanya ke stesen bas yang bingit ini untuk menghantar abang Ally naik bas balik ke kampungnya. Alia masih ingat wajah Ally yang berambut panjang dan berpakaian rugged dengan jaket jeans dan but hitamnya, Mama juga berseluar jeans dan pakai t-shirt menyorong beg Ally, walaupun ketika itu Alia sudah bersekolah dalam darjah tiga tapi dia masih lagi meminta Ally mendukungnya, dan Ally pula senang sekali mengangkat Alia, bila mengingatkan itu semua Alia yang kini sudah remaja dapat menilai kasih sayang Ally kepadanya sejak dari dulu tidak pernah berubah dan wajah tenang Ally yang merantau dari kampung menyebabkan Alia rasa bangga mengenali orang yang dipanggil olehnya abang Ally dan ingin juga menjadi seorang yang tenang, penyayang, tabah dan... tapi Alia hairan juga.
"mengapa abang Ally sejak dari dulu tak de.. makwe.. ya.."
"Bas ekspress perjalanan ke kota Bharu akan bertolak sebentar lagi, para penumpang diminta menaiki bas di platfom 11"

Panggilan untuk penumpang diumumkan melalui pembesar suara. Alia menggalas beg sandangnya dan turun melalui tangga ke platfom yang dimaksudkan. Alia hanya membawa sedikit sahaja pakaian kerana dia tidak berhajat untuk tinggal lama di Kelantan, lagipun sewaktu keluar dari rumah tadi mamanya tinggalkan duit sebanyak rm800 di bawah nota yang bertulis

Alia.. mama tak dapat hantar ke Puduraya
Ada shooting di Jenjarum
Disana nanti jangan lupa ke Rantau Panjang
Beli buah tangan untuk mama
Kalau ada apa- apa telefon ya..

Dengan duit itu  ditambah dengan duit simpanan rm350 sudah cukup untuk dia membeli pakaian di sana dan tak perlu meminta bantuan daripada abang Ally.

Bas ekspress telah mula keluar dari bandaraya Kuala lumpur melalui Gombak dan sebentar lagi akan memasuki terowong yang menghubung lebuhraya Karak. Alia cuba pejamkan mata untuk tidur tetapi cahaya matahari yang masuk melalui tingkap telah menganggu hajatnya itu. Setelah keluar dari terowong yang panjang iaitu sebelum melewati Janda Baik Alia memandang ke sebelah kiri dan nampak papan tanda persimpangan ke Genting Highland dan jalan ke sana yang membelah hutan hijau yang dingin.. Alia teringat kenangan lalu sewaktu dia, mama dan abang Ally ke Genting Highland..
"sejuknya abang Ally.."
Alia memegang erat tangan Ally sewaktu keluar dari van di puncak bukit Lim Goh Tong itu, kabus seperti asap mengelilingi mereka, Shida membawa mereka ke roller coaster, Alia tidak dibenarkan menaikinya kerana masih kecil, Shida dan Ally duduk bersebelahan.
"Ly... biar betul Ly.."
Shida masih tidak percaya akan merasai permainan paling laju ini.
"Dahh.. naik, bila lagi nak cuba.."
balas Ally. Bila roller coaster bergerak Alia lihat ramai orang bertempik termasuklah mamanya. 
Selepas episod menggerunkan di roller coaster itu mereka pergi pula ke litar go- kart dan macam- macam lagi, sebelum pulang mereka naik kereta kabel diakhiri makan di restoran makanan segera.
Sewaktu perjalanan turun dari puncak Genting hari sudah beransur petang dan bila sampai di simpang ke Kuantan- Kuala Lumpur mama kena memandu van, Alia merengek minta abang Ally duduk dengannya, terpaksalah Ally berpindah ke tempat duduk di belakang, jadilah Shida sebagai pemandu hinggalah Alia tertidur di pangkuan Ally..

Alia sudah terlelap.. gambaran dan imbasan waktu kanak- kanak bersama Ally terbang menjengah dan bermain- main di bayangan matanya.
truttt truttt..
getaran telefon di poket seluar nya mengejutkan Alia dari tidur, dia luruskan kaki dan menarik keluar telefon bimbit dari saku seluar.
"hallo.. "hallo Alia.., ni abang Ally ni"
"aa.. abang Ally.."
Alia gembira menerima panggilan dari Ally.
"Alia.. bila bertolak ke kelantan ?"
Hari ni lahh.. Alia tertidur tadi.."
"Alia dah sampai kat mana sekarang..?"
"Entahlahh abang Ally.. mungkin Pahang kutt"
"Alia naik bas apa ?"
"bas Trannasional abang Ally.."
"Nanti bila sampai ke Kota Bharu telefon abang ya.."
"ok.. baik abang Ally.."
'Byee.."
Alia memandang ke luar tingkap dan pada papan tanda tepi jalan Alia lihat ada perkataan 'Kuala Lipis'
"oh.. kampung siti Nurhaliza.."

bisik hatinya. Alia melihat jam ditangan menunjukkan pukul dua lebih, mengikut apa yang diceritakan oleh abang Ally perjalanan balik ke Kelantan lebih kurang tujuh hingga lapan jam, ini bermakna dalam pukul tujuh malam barulah sampai di Kota Bharu. 

Alia melambai tangan kearah Ally dia begitu gembira bila Ally menuju ke arahnya dengan langkah yang cepat dan tergesa- gesa, bila Ally sampai di depan Alia, Alia menyambut tangan Ally dan mencium tanda hormat, Ally juga sungguh tidak menyangka dan terharu kerana Alia kini benar- benar sampai di Kelantan setelah berkali- kali dipelawa oleh Ally waktu Alia kecil dahulu, kedatangan Alia ini juga menambahkan lagi keyakinan bahawa hubungan mereka seperti ikatan kekeluargaan.

“Alia dah makan ?”

“Belum.. tak nak lagilah abang Ally, Alia nak mandi dan bersihkan badan dululahh.. nanti baru fikir pasal makan.. Alia nak tinggal kat mana ni ?”

“Err apa kata Alia tinggal kat mana- mana hotel di sini, abang Ally rasa tak manis dan seganlah nak bawa Alia tinggal di rumah buruk abang Ally..”

“Aa.. abang Ally dah mula nak cakap rendah diri dah.. okey abang Ally, mana yang baik Alia turutkan ajelah.. sementara itu abang Ally temankan Alia untuk check in hotel, lepas tu kalau abang Ally ada kerja atau nak pulang cepat tak mengapalah.. nanti pandailah Alia cari kedai makan yang berdekatan, cuma besok abang Ally kena dating sini awal sikit, Alia dah tak sabar nak melihat keunikan negeri Cik siti Wan kembang nii..hii..”.

Ally mengangkat beg Alia, mereka beredar meninggalkan kawasan stesen bas untuk mencari hotel, sebagai tempat penginapan Alia.

Beberapa jam lagi Alia akan sampai ke Kelantan, jadi Ally kena bersiap untuk menanti di bandar Kota Bharu, motosikal Honda C70 kepunyaan ayahnya akan dipinjam

 “pinjam motor sekejap ayah.. Ally meminta kebenaran ayahnya yang dipanggil Pak Utih oleh orang kampung itu.

“nak bawak ke mana ?”

Pak Utih meminta penjelasan daripada Ally, dia rasa berat untuk memberi izin kerana kebiasaannya Pak Utih akan jadi mati kutu dan terperap kat rumah jika motosikal kesayangannya itu tiada.

“jumpa kawan..”

Suasana sunyi seketika, Pak Utih nyalakan rokok daun nipah yang dikeluarkan dari saku baju Melayunya.

“Ambiklah tapi jangan lama sangat, ayah nak ke masjid nanti..”

Pak Utih mengingatkan Ally.

“sebelum maghrib.. pulanglahh..”

Ally memberi jaminan dan masuk ke biliknya bersiap- siap untuk keluar menunggu Alia di stesen bas Kota Bharu

Ally menunggang motosikal tua ayahnya yang terhenyut- henyut masuk ke bandar Kota Bharu, berpusing di bulatan Kijang sebelum melintas depan mahkamah tinggi untuk pusing ke kiri menuju stesen bas SKMK, kalaulah Pak Utih tahu yang Ally hendak jumpa kawannya di bandar sudah tentu dia tidak izinkan kerana motosikal Honda Cup ini tidak mempunyai cukai jalan.

Ally meletakkan motosikalnya di Jalan Doktor, dari situ Ally berjalan kaki ke pasar Siti Khadijah, tertarik dengan bunyi bising dan kelantangan penjual ubat menuturkan kata- kata penuh bersemangat membuatkan Ally tertarik dan ikut bersama melihat gelagaknya bermain dengan ular, bila tiba giliran si penjual memperkenalkan barang jualannya Ally meloloskan diri dari kelompok penggemar ubat tradisi, dia menyusul pula kaki lima pasar untuk melihat senjata dan barangan lama yang dijual sebagai koleksi atau kenangan kepada para pelancong dan juga peminat barangan seni itu, bila saja Ally melihat keris yang juga ada dijual, dia terus teringatkan Madi yang bersamping dan berkeris duduk di sebelah Lina yang manis memakai persalinan biru muda sedondong dengan Madi.. Ally masih jelas dapat melihat deraian air mata Lina bila terpandangnya.

“Lina maafkan aku jika deraian air mata mu itu adalah kerana aku” 

Ally tidak mahu lama- lama melayan perasaannya dan bila penjual keris hendak menyapa dia segera berlalu ke tingkat atas pasar mencari gerai air batu campur. Ally gemar menikmati ABC yang mengandungi kacang merah dan buah kabung.. lebih sedap lagi jika dicampur sedikit pulut dan tapai ubi kayu.. pehhh.. dihirup sampai licin. 

Dayang Rahmah sedang mengeluarkan pakaian dari mesin basuh ke dalam bakul plastik yang disediaka

"Sarlina.. Sarlini...! pakaiannya sudah dicuci sekarang pergi jemur di ampaian.."

Sarlina keluar dari bilik.

"Awalnya ibu cuci pakaian hari ini.. nak ke mana- mana Bu.. ?"

"Ia rasanya sekejap lagi ibu nak ke darat.. apa Sarlina dengan Sarlini nak ikut ke ?"

"Tak naklah  Bu.. Sarlini !! kamu nak ikut ibu ke darat ke..?

Sarlina meninggikan suara bertanya kepada adiknya yang masih berada di dalam bilik tidur.

"Tak naklah kak.. nak siapkan kerja sekolah.. banyak yang tertangguh.."

"Kalau macam itu kamu diam saja di rumah, buat apa- apa yang patut.. itu bilik air di kamar ibu pun mahu dibersihkan, nanti tolong bersihkan sekali ya.."

Selalunya kerja membersihkan bilik air dilakukan sendiri oleh Dayang Rahmah kerana Dayang Sarlina dan Dayang Sarlini menggunakan bilik air berasingan yang terletak di bahagian dapur.

"Ia.. nanti kami bersihkan Bu.."

Dayang Sarlina memberikan jaminan, dia mengangkat bakul kain dan di bawa ke luar rumah untuk dijemur. Dayang Sarlina memang lebih ringan tulang walaupun begitu kelebihan Dayang Sarlini pula adalah wajahnya lebih ayu tetapi manisnya adalah kurang sedikit berbanding kakaknya yang tidak lokek dengan senyuman. Kerana hari ini adalah hari cuti, Dayang Rahmah merancang keluar ke Sarawak untuk membeli- belah, bagi warga Brunei, keluar ke Sarawak sudah menjadi perkara biasa kerana negaranya yang kecil itu menyebabkan rakyatnya terasa dekat sekali dengan Sarawak dan Labuan tambahan pula matawang Ringgit Brunei menyamai Dollar Singapura, ini menjadikan barangan Malaysia adalah murah bagi mereka. Perjalanan ke Miri mahupun Limbang hanya mengambil masa lebih kurang sejam perjalanan. Dayang Rahmah akan memandu Mercedes Benz CLK dua pintunya seorang diri ke Limbang.

"Aduh.. saya kena memandu.. ?"

Ally teruja kerana itulah pertama kali dia akan memandu kereta mewah buatan Jerman ini.

"Ia.. kenapa ? kita nak rehat kau sajalah yang memandu"

Dayang Rahmah menghulurkan kunci kereta kepada Ally tetapi Ally teragak- agak untuk menerima dan terpaku sekejap.
"Biasa memandu.. tapi bukan kereta semewah ini.." 

Mereka masuk ke dalam kereta Dayang Rahmah, sesekali terpaksa menyentuh tangan Ally untuk mengajar dan menunjuk cara- cara pemanduan dan fungsi setiap butang yang terpapar di papan pemuka kereta itu, akhirnya Ally dapat juga memahami dan boleh memandu kereta yang tidak pernah diimpikannya. Sekali lagi Ally dapat katakan betapa bertuahnya rakyat yang hidup di negara minyak ini. Menggunakan kereta mewah tidaklah menjadi suatu yang sukar untuk dimiliki walaupun cuma bekerja sebagai pegawai biasa, tambah menyakinkan bila jiran Ally sendiri yang hanya berjawatan pegawai di pejabat kerajaan boleh memiliki Jaguar dan kereta sports dan yang paling sukar diterima akal bila ada juga yang mampu memiliki hingga dua Ferrari dan sebuah Porsche hingga itu Ally hanya terkenangkan jika di Malaysia semua itu hanya kepunyaan kerabat diraja ataupun tuan punya syarikat konglomerat. Sungguh bumi ini sangat kaya dan mewah sekaya dan semewah seperti yang ditonjolkan oleh kesultanan Bolkiah.

Dan dalam perjalanan ke Kuala Lurah iaitu sempadan Limbang, Ally baru dapat melihat kesempitan masih ada di bumi makmur ini itupun hanya untuk para pendatang dimana pondok- pondok kecil dibina di tepi hutan dekat sempadan Sarawak.

Di Kuala Lurah, deretan kereta yang hendak keluar dari Brunei sedang menunggu giliran untuk meneruskan perjalanan, setiap pemandu dan penumpangnya terpaksa turun dari kenderaan masing -masing dengan membawa buku passport mereka untuk pengesahan imigresen. Sementara di lorong sebelah anggota KDRM memeriksa barang- barang yang dibawa masuk ke Brunei. Selepas passport dicop dan dibenarkan masuk ke Limbang, DayangRahmah memandu melintasi sempadan, Ally pernah meluahkan apa yang dirasa kepada Dayang Rahmah apabila melintas sempadan ini, katanya dia akan rasa selamat dan gembira bila melintasi sempadan antarabangsa ini, walaupun bukan masuk ke Semenanjung tetapi status Malaysia sudah memadai untuk rasa seperti pulang ke rumah  sendiri.

Pekan Limbang tidaklah besar dan sibuk sangat, tetapi di pekan ini segala keperluan dan kemudahan untuk pengunjung ke sini ada disediakan, selain dari lot kedai yang menjual keperluan harian ia juga menyediakan pasar basah dan juga tempat hiburan. Kunjungan ke Limbang hari ini tidaklah mempunyai tujuan khusus melainkan memenuhi cuti umum. Setelah berpusing- pusing mengelilingi pekan ini Dayang Rahmah berhasrat untuk ke salon kecantikan, dia hendak mencuci rambut dan merehatkan kulit wajah dengan membuat facial muka, waktu datang dengan Ally dulu Dayang Rahmah membawa Ally makan nasi sup perut sapi di pasar Limbang. Pada hari itu peluang untuk mereka meluahkan rasa kasih dan sayang jelas terbentang.



"kenapa waktu itu aku tidak saja berusaha untuk berkasih dengan Ally, bukankah jika itu berlaku aku tidak keseorangan seperti sekarang ini, mungkin Ally masih berada di sini ataupun aku yang sedang bercuti dengan Ally di kampungnya. Selama aku mengenali Ally, dia baik.. kelakar.. menjaga solatnya dan tentu setia, jika dibandingkan lelaki di Brunei walaupun mereka berwang tetapi kebanyakan yang ku temui hidung belang".
Dayang Rahmah terklan dan menyesali kerana mensia- siakan peluang untuk mencuri hati Ally.

Sebelum Ally pulang ke Malaysia mereka kerap juga berjumpa di tempat kerja dan kadangkala keluar makan bersama tetapi Dayang Rahmah tidak memperlihatkan apa- apa perasaan terhadap Ally hanya sekadar kawan baik, biarpun ada juga teman sekerja mula mengesyaki mereka sedang menjalinkan cinta. Juga di hari terakhir sebelum Ally berangkat pulang, ketika Ally datang ke rumah Dayang Rahmah di Kampung Air sekali lagi dia tidak memanfaatkan peluang untuk menyatakan isi hatinya pada Ally sedangkan waktu itu hanya mereka berdua sahaja, dan Dayang Rahmah tetap dengan sikapnya yang terus membisu tidak berterus terang sewaktu di airport... 

"kenapa baru tiba.. kamu ke mana tadi.. kamu sudah terlepas"
Dayang Rahmah tidak berkata apa-apa.
"Dia tercari- cari kamu tadi, kamu ke mana.. Ally kirim salam padamu.."
"waalaikummussalam.." 

Dayang Rahmah menjawab dengan perlahan antara dengar dengan tidak. Apabila menyedari Dayang Rahmah tak berminat nak bercakap banyak, Pangeran Bakar meninggalkan Dayang Rahmah keseorangan melayan perasaannya.

Ally melepaskan genggaman tangan Dayang Rahmah, air mata yang menitik tidak dapat dibendung, Ally minta berlalu untuk berjumpa dan bersalaman pula dengan kawan- kawannya yang lain. Dayang Rahmah jadi hiba berlalu dari situ untuk ke bilik air... dalam rest room itu Dayang Rahmah tidak dapat lagi menahan rasa hibanya, lama dia di situ melayan rasa sedihnya, setelah mengesat air mata yang bagaikan tak puas mengalir itu, Dayang Rahmah mengeluarkan alat soleknya dari beg tangan untuk membetulkan semula make up yang dirosakkan oleh air mata, Dayang Rahmah memujuk hatinya dan cuba mengut semula semangatnya. 

"Ahh.. ini cuma tangisan biasa, tangisan perpisahan untuk seorang rakan.. barangkali Eton juga sedih sepertiku dan mungkin lebih dariku lagipun Eton membawa jambangan mawar sedang aku hanya tangan kosong sahaja. Ally tidak akan ngerti perasaanku terhadapnya, mestikah aku perlu nyatakannya.." 

Dayang Rahmah bergegas keluar dari bilik air dia ingin segera luahkan kepada Ally walaupun di depan rakan- rakannya, dia tak mahu menyesal kerana sepatah perkataan keramat iaitu.."Ally aku menyintaimu.."
Dayang Rahmah mempercepatkan langkahnya kerana dia lihat Ally sudah berjalan masuk ke Balai Berlepas, baru saja Dayang Rahmah sampai, rakan- rakan mereka sudah mula berlalu dan Pangeran Bakar dibelakang sekali, Dayang Rahmah sudah tidak melangkah lagi dia sudah tidak nampak kelibat Ally, Ally sudah masuk ke ruang menunggu dan Dayang Rahmah sudah terlepas peluang dia hanya berdiri  kaku, tegak memandang ke Balai Berlepas yang telah kosong.

Ketika pekerja salon menanggalkan masker  yang membalut wajahnya ingatan dan lamunan terhadap Ally turut tertanggal, kulit putih Dayang Rahmah mula dibersihkan dengan kapas lembut. Setelah lebih kurang dua puluh minit kemudian Dayang Rahmah keluar dari Salon, dia berjalan ke tempat  keretanya diletakkan, sebelum sampai di tempat parking Dayang Rahmah masuk ke kedai cenderamata, deretan kraftangan yang dihasilkan oleh peribumi Sarawak dipamerkan, ada alatan muzik  yang dicipta dengan menggunakan bahan- bahan dari pinggir kampong, topi dari anyaman mengkuang, bakul dari rotan dan juga pakaian yang dicop dengan mural hutan Sarawak dan macam- macam ilustrasi yang menarik, dihasilkan khas untuk para pelancong. Di sudut dinding yang lain ada topeng yang lucun dan menyeramkan yang dibuat daripada kayu dan dicat dengan warna- warna terang, topeng- topeng  kreatif ini  dihasilkan oleh suku kaum di pedalaman..
Dayang rahmah beralih pula ke rak berpusing yang menempatkanv poskad, dari situ dia tertarik dengan sekeping poskad  yang yang berlatar pekan Limbang.. Dayang Rahmah lalu terbayang dan teringatkan Ally, dia bercadang untuk mengirim poskad ini kepada Ally  yang sekarang ini mungkin sedang berada di KL.

“tapi macam mana alamatnya ya..” 

Dayang Rahmah cuba mengingati sesuatu dan dengan tergesa- gesa membuka beg tangannya, dicari- cari sesuatu dan dikeluarkan sekeping kertas kecil warna kuning air yang tertulis
“sekiranya sukar mencari saya hubungilah alamatbrumah orang tua saya di.. Lot 224 Kg Lubuk Puyu....."

Diambil poskad yang menarik perhatiannya tadi dibawa ke kaunter pembayaran.
"Berapa harganya poskad ini dik..?"
Dayang Rahmah menghulurkan poskad kepada jurujual kedai itu.
"Itu ka.. aa.. yang itu.. tujuh puluh sen kak.."
jurujual wanita muda berbangsa cina itu memasukkan poskad ke dalam beg plastik 
"teri..ma kasih.. sila datang lagi "
sambil melemparkan senyum jurujual menyerahkan poskad dan Dayang Rahmah juga membalas dengan senyuman.

"sama- sama"

Setelah seharian berada di pekan Limbang, Dayang Rahmah berangkat pulang ketika jam menghampiri pukul empat petang. Dalam perjalanan pulang dia masih lagi mengingati kenangan bersama Ally.. antaranya waktu mereka beramai- ramai ke hutan simpan di Kuala Belait, lucu.. bila Ally ketawa terbahak-bahak apabila dikatakan itulah hutan simpan kerana pada jangkaan Ally jika di tempat lain hutan simpan akan benar- benar berwajah hutan yang tak terusik, tetapi hutan simpan yang mereka kunjungi adalah sebuah taman yang ditanam dengan pokok- pokok rhu yang banyak dan waktu Ally ketawa itu Dayang Rahmah mencubit perut Ally menyebabkan Ally bertempik dan semua orang memandang mereka berdua..
"indah sungguh waktu bersama Ally.."
seorang lelaki yang tindakan dan gelagaknya sukar diramal tetapi paling disenangi di antara rakan- rakan mereka. 

Hampir pukul enam petang Dayang Rahmah sampai di kawasan perumahannya, waktu petang begini ramai anak- anak yang bermain- main di luar rumah. Anak- anak kecil sedang melihat anak- anak ikan yang berenang tenang di bawah jeti, ada yang cuba mengumpan dan memberi makan cebisan biskut atau makanan ditaburkan ke air.. puluhan anak- anak ikan akan berebut- rebut memakannya. Di tepi jeti ini juga tempat berkumpulnya anak- anak muda bermain gitar dan kali ini merka dendangkan lagu berbahasa tagalog berjudul 'anak'

"wah boleh tahan juga anak anak muda ini lagu yang dialunkannya menusuk kalbu"

Dari jauh sudah kelihatan Dayang Sarlina dan Dayang Sarlini sedang menghirup angin petang di luar pintu, pasangan anak kembar Dayang Rahmah ini juga sedang melihat telatah anak- anak muda remaja tadi menunjukkan skill menyanyi dan bermain gitar tong.

"Assalamualaikum.. senang sekali ya.. petang-petang begini duduk- duduk menghirup bayu laut"

"walaalaikummussalam ibu.."
Kedua orang anak perempuannya menjawab salam hampir serentak.

"Ia Bu.. sambil mendengar seniman jalanan tu.."

Dayang Sarlini menjawab sambil menuding jari ke arah kumpulan remaja yang sedang menyanyi dengan penuh perasaan.

"Aikk.. kamu berdua kepingin join sama diaorang agaknya.."
Dayang Rahmah menyakat dua anak gadisnya itu.

"Ah.. taklah sampai kesitu bu.."
cepat pula Dayang sarlina menafikan
"Ia Bu.. lagipun kalau kami nyanyi pasti mereka tu terpegum"
Dayang Sarlini dengan senyum menyambung jawapan kakaknya.

"Ada- ada sajalah kamu ni.. ayuh masuk rumah, dah hampir maghrib ni.."Dayang Rahmah masuk ke rumah diikuti oleh dua anak angkatnya dari belakang.

Selepas makan malam dan menunaikan sembahyang insyak Dayang Rahmah membiarkan anak kembarnya menonton televisyen sementara dia masuk ke kamar tidurnya. Dayang Rahmah tidak larat untuk bersama menonton filem Labu Labi di rangkaian RTM 2 yang dipintas dengan kemudahan parabola berdiameter dua setengah meter yang dipasang di tepi beranda rumahnya. Dayang Rahmah sangat letih dan rasa mengantuk setelah seharian memandu hingga ke Limbang. Baru saja dia hendak melelapkan mata ada rintik hujan mulai turun, rintik yang kecil semakin kasar dan lelehan air hujan menyimbah dan menggelongsor di tingkap kaca kamar tidurnya, ada juga sinaran kilat nun jauh di Laut Cina Selatan. Dayang Rahmah bangun dari pembaringannya dengan malas menguak pintu dan menyelak langsir menampakkan dirinya di muka pintu.

"Sarlini.. Sarlina.. ayuh matikan televisyen tu kilat sudah hampir ke sini nanti disambarnya parabola tu.. susah kita, baca buku sajalah nak"
"Baik Bu.."
Sarlini bangun dari sofa empuk berwarna kuning air dan matikan televisyen..
"Ibu.. marilah sama- sama kita main monopoly"
Sarlina mempelawa ibu angkatnya
"Ishh .. tak payahlah..lagipun ibu penatlah nak.. Ibu nak rehat awallah malam ni.."

Setelah itu Dayang Rahmah masuk semula ke dalam kamarnya dan menutup pintu dari dalam.. Dayang Sarlina masuk ke biliknya mengambil beberapa buah buku  dan di letakkan depan mereka di atas meja kaca yang polos di depannya, Dayang Sarlini mengambil sebuah buku dan kembali bersandar di sofa.

"Rasa macam ada yang kuranglah kak.."

Dayang Sarlini memandang kakaknya dengan senyum meleret.

"Apa kurangnya.. baca sajalah buku tu dik.."
"Err.. kalau buku tanpa kopinya cepat ngantuk kak, lainlah kalau nonton P.Ramlee.. he, he.."
"Ish.. ish awak ni dah lebih dik.. bancuhlah sendiri"

Dayang Sarlina menunjukkan muka kurang senangnya

"Alaa. kak kalau saya yang buat.. tak sedap.."
"Okeylah kalaumacam tu.. tapi ingat jangan tidur awal tau.."

Dayang Sarlina mengenakan syarat kepada adiknya.

"Okey.. janji tak tertidur..
Dengan berat langkah Dayang Sarlina masuk ke dapur untuk membencuh kopi.

Dayang Sarlina sedang membancuh kopi sewaktu ibunya Dayang Rahmah hendak mendarat di KLIA dengan menggunakan pesawat Boeing 747 milik Syarikat Penerbangan Malaysia, seorang krew kabin mengambil tempatnya di bahagian hadapan di tengah- tengah laluan dengan mikrofon kecil di tepi mulutnya

“para penumpang yang dihormati.. kita akan mendarat sekejap lagi untuk itu tuan- puan semua dikehendaki duduk di tempat masing- masing dan betulkan tempat duduk, juga tidak lupa memakai tali pinggang…”

Dayang Rahmah melihat keluar tingkap dan ternampak seorang pemuda sedang melambaikan tangannya ke arah Dayang Rahmah tiba- tiba cuaca bertukar buruk, kilat sabung menyabung, pesawat bergoyang kuat.. satu cahaya terang menyambar pemuda yang sedang cemas di luar pesawat..
“Ya Allah.. Ally..!!”
Teriakan Dayang Rahmah diikuti oleh dentuman guruh yang kuat menyebabkan letrik terputus, Dayang Sarlina tergagau- gagau mencari lilin.
“Kak.. ibu menjeritt..”
Dayang Sarlini menerpa ke bilik Dayang Rahmah yang sedang duduk di birai katil seperti baru lepas terkejut..
“Astagfirullah hal azim..”
Dayang Rahmah tak henti- henti beristifar. Dayang Sarlini kebingungan.. dan kakaknya Dayang Sarlina dengan wajah yang cemas menerpa masuk ke dalam bilik dan memeluk erat ibunya.
“Kamu berdua belum tidur lagi ?”
Dayang Rahmah cuba berlagak macam biasa.
“Belum.. Bu.. masih awal lagi, baru jam 10.30.. petir tadi kuat betul ya Bu..”
Dayang Sarlina melepaskan dakapannya.
“Ya.. nak, mama pun terkejut sampai tersedar"
“Jadi Ibu menjerit tadi sebab terkejutlah ya..?”
“Tak juga.. sebenarnya ibu mimpi buruk nak”
“Ibu mimpi apa..?”
Dayang sarlina memandang tepat ke wajah ibunya yang masih kaku dan nafasnya terseka- sekat.
“sarlina ingat tak dengan kawan ibu bernama Ally ?”
“Yang dari Malaysia tu ke Bu..?”
“Ya.. nak, ibu mimpi ngeri sewaktu dalam perjalanan nak ke Kuala Lumpur untuk berumpa dengannya..”
“Alaa.. ibu ni, kan itu dinamakan mainan tidur”
Dayang Sarlina menenangkan ibunya, seakan seorang ibu menenangkan anaknya pula.
“Agaknya ibu kena batalkan penerbangan ke kuala Lumpur tak ?”
Dayang Rahmah meminta pendapat dari anaknya.
“Eh.. ibu ni, kan itu waktu terbaik.. selalunya ibu susah nak ambil cuti.. nanti tak ada waktu terluang.. hah.. kan susah..”
Kali ini dayang Sarlina menasihati ibunya..


Ally baru selesai mandi, di bilik mandi tadi Ally terdengar ibunya memberitahu bahawa Madi nak datang ke rumahnya.
"tak boleh jadi ni.. mesti Lina ikut sama.. baik aku mengelak sebelum mereka datang, nanti tak pasal- pasal ada yang menangis".
Ally bercakap dan merungut seorang. Dia memakai pakaian dengan tergesa- gesa dan perlahan- lahan keluar rumah untuk mengelakkan dilihat oleh Mak Utih. Ally nampak ibunya itu berada di dapur sedang memarut kelapa untuk dimasak gulai ikan kering yang dibawa balik oleh ayahnya tadi. Dengan perlahan dan berhati - hati Ally memakai kasut, kalau mereka tahu tentu mereka tak bagi Ally keluar kerana menunggu sepupunya Madi datang dan sudah tentu dengan isterinyalahh..


Rantau Panjang.. Bandar kecil bersebelahan dengan pekan Golok juga sebuah pekan kecil yang dipisahkan oleh sebatang sungai sebagai sempadan politik dua negara. . Malaysia- Thailand. Alia terpegun dengan suasana dan kemeriahan pekan ini, berbagai barangan diniagakan.. kebanyakan produk Siam seperti pakaian, perhiasan dan buah- buahan.
“Abang Ally.. apa yang patut dibeli untuk mama ?”
Alia meminta pendapat dari Ally.
“Mari kita masuk dan lihat dalam pasar sana.. mama tak cakap barang apa yang dia nak Alia beli ?”
“Takde pun.. apa- apa sajalah abang Ally”
Mereka melintas ke seberang jalan, Alia pantas memegang tangan Ally, Ally tersentak tapi tidak membantah dan menganggap itu hanyalah pegangan tangan seorang adik dengan abangnya sahaja. Mereka menyusup masuk ke dalam kompleks pasar yang banyak menempatkan petak kedai yang sederhana besar dan berbaris, keadaan di dalam pasar ini sedikit gelap kerana cahaya matahari dihalang oleh beraneka jenis barang jualan yang tergantung di segenap ruang kedai. Setelah melalui deretan kedai di situ akhirnya mereka berhenti di sebuah kedai yang menjual pakaian wanita.
“Abang Ally.. macam mana kalau kita beli skirt tu dan baju ni untuk mama.. mama kena ada baju banyak.. kan dia pelakon..”
“Oo.. ya, boleh.. boleh, Alia pilih yang mana berkenan lepas tu tunggu kat sini, jangan ke mana- mana ya.. abang Ally nak ke kedai sebelah..”
“okey..”
Alia menjawab dalam ragu, Ally meninggalkan Alia dan pergi ke kedai yang menjual unifom, tulisan khat dan kain sembahyang. Ally pilih sepasang kain sembahyang dan sehelai sejadah, selepas tawar menawar dan menjelaskan harga barang yang dibeli, Ally pergi semula ke tempat Alia. Alia juga sudah selesai membuat pembayaran dan mereka beriringan ke tempat lain pula.
“wow.. kalaulah mama ada sekali.. mesti berdozen diborongnya..”
“kenapa ?”
Tanya Ally, dia tidak faham maksud kata- kata Alia.
“Murah sangat- sangat lah abang Ally..”
“tapi kualiti dia..”
Ally cuba menerangkan tetapi segera disangkal Alia.
“setakat nak pakai shooting.. tak perlu yang tahan lama, untuk dua tiga kali pakai sahaja”
“Lain kali bawalah mama sekali..”
Ally dengan ceria dan bersemangat mengesyorkan.
“Lain kali..? ahh tak tau bila lagilah Alia akan pijak kat sini lagi abang Ally..”
Setelah seharian penat berjalan- jalan dan bergambar di Tumpat, Rantau Panjang dan sekitar Bandar Kota Budaya ini, Alia dan Ally minum di A&W dekat Parkson dan mereka berpisah di depan Cendana Inn, tempat penginapan Alia.. Alia yang terlalu letih terus tertidur  bila masuk ke biliknya iaitu single room 211
.
Shida berada di lokasi penggambaran drama di Kelang dan sedang menunggu scene yang melibatkannya, 
"Alia macam mana yea..."
Shida mencari tempat yang agak jauh dari kumpulan krew produksinya.. Shida mengeluarkan telefon bimbitnya, dail nombor telefon  Alia.. tak ada jawapan.. Shida redail sekali lagi, juga tak bersambut..
"Jangan- jangan Alia dan Ally sedang... tak mungkin Ally akan berbuat begitu.."
Shida menekan pula nombor telefon Ally.. ada jawapan berbunyi.
"Harap maaf nombor telefon yang anda dail berada di luar kawasan liputan.. sila cuba sebentar lagi.."
"Ah.. ni mesti dimatikan.."
Shida jadi tak keruan.. dia dail semula nombor telefon Alia tetapi masih tidak ada jawapan.

Alia sedar dari tidur bila jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam.. dengan malas Alia bangun, ambil tuala dan masuk ke bilik air.. waktu sedang mandi Alia dengar telefonnya berdering tetapi tidak dipedulikan, selepas selesai membersihkan badan dan hendak keluar dari bilik air, sekali lagi telefonnya berbunyi, Alia tidak segera menjawab tetapi dia keringkan dan lapkan tapak tangan.. Alia mengambil telefon, baru nak di tekan butang hijau tetapi talian sudah putus. Alia melihat paparan CLI.
"Oh.. mama, sekejap lagilahh.."


Setelah siap berdandan Alia berkira- kira hendak ke kedai makan bersebelahan stesen bas, untuk keluar makan malam ini Alia memakai  track suit dan kasut sukan jenama Adidas. Baru saja Alia nak melangkah keluar dari bilik, telefonnya berbunyi lagi.
“Halloo.. aa.. Mama..”
“Halo.. kau kat mana ni Alia ... buat apa..  banyak kali mama call, kenapa tak jawab  … Kau sedang buat apa dengan si Ally..?”
Alia terkejut dengar Shida marah- marah dalam telefon.
“Apa ni mama .. apa mama cakap ni .. Alia tengah mandilah tadi..”
Alia menjawab dengan kasar, dia rasa kurang senang dengan tanggapan Shida terhadapnya.
“Lamanya mandi.. Alia dengar sini ! kemaskan barang- barang.. besok juga kau kena balik KL..”
Shida dengan keras member i arahan.
“Tapi mama..”
“Tak ada tapi- tapi lagi..”
Tupp..  Shida memutuskan talian, Alia geleng- geleng kepala dan mengeluh.
“Ada masalah lagi ke ?”
Pengarah bertanya, bila nampak Shida kembali ke set dengan muka yang merah padam, Shida hanya gelengkan kepala.
“Apa konti saya Ema ?”
Shida bertanya kepada penjaga kesinambungan.
“Konti babak 12 Kak Shida.. baju biru muda, rambut disanggul kemas”
“Okey.. tengok dan betulkan rambut aku ni.. make up !”
Shida memanggil juru mekap yang sedang  bercakap dengan jurukamera.


Dalam perjalanan ke tempat makan ada juga anak anak muda yang mengusik dan cuba mengorat Alia, tetapi tidak dihiraukannya. Alia memilih kedai makan yang paling tengah dan ada menyediakan peti televisyen. Seorang pelayan muda datang mengambil pesanan.
"teh ais.. saya nak makan nasi goreng kailan ikan masin.. ada ?"
"ada.. nak makan sini ke atau bungkus ?"
"makan kat sini.."
pelayan muda yang berbaju ketat dan berseluar jeans kembali semula ke belakang.
Alia masih tidak dapat melupakan panggilan telefon dari mamanya tadi.... abang Ally... ish mama ni cemburu.. memang mama ada hati dengan abang Ally.. Alia cuba menghubungi Ally dengan telefon bimbitnya..
"Hallo.. abang Ally.. dok kat mana.. ? marilah sini.. Alia tengah makan.. dekat stesen bas.. okey Alia tunggu tau.."

Tidak sampai setengah jam kemudian Ally sampai ke tempat Alia sedang makan, dari jauh lagi Ally sudah nampak Alia sedang makan seorang diri.
"Assalamualaikum.. makan sorang nampak ?"
"Waalaikummussalam.. abang Ally.. jemput makan.. orderlah nak makan apa.."
"Abang Ally dah makan dengan kawan -kawan. minum bolehlah.."
Ally melambai tangan ke arah pelayan muda berpakaian seksi tadi.
"Air halia.. suam""
"Makan bang..? "
"Tak nak, saya dah makan tadi.. itu je.."
pelayan senyum kepada Ally dan terus berlalu ke belakang.
"Abang Ally makan kat rumah ya ?"
Alia bertanya dengan straw minuman di bibirnya.
"Ya.. Alia, er.. ada apa ni minta abang Ally datang ni ?"
"ohh.. macam ni.. esok Alia kena balik ke KL.."
Alia mula bercerita dengan lemah tak bersemangat.
""Eh.. kenapa cepat sangat nak balik.. banyak lagi tempat menarik yang abang Ally nak bawa Alia.. haa rumah abang pun Alia tak kenal lagi, kalau boleh abang Ally nak bawa Alia ke rumah abang Ally sekejap, kenal dengan orang tua abang Ally.."
Alia nampak terkejut bila Ally berkata begitu kerana Alia menyangka Ally tak sudi bawanya balik ke rumah orang tuanya di kampung, Alia paksa dirinya untuk bercerita lagi.
"mama tu macam macam.."
"macam apa ?"
Tanya Ally tak sabar nak mendengar.
"Dia macam tak sukakan Alia dok lama- lama kat sini... dia risau takut Alia bercinta dengan abang Ally"
"Ishh.. Shida ni.."
rungut Ally
"Macam mana kalau abang Ally ikut Alia balik KL..?"
gesa Alia
"Abang Ally memang berhajat nak ke KL juga tapi tak tau bila.."
"Alaa.. abang Ally jomlah balik dengan Alia sekali.. bolehlah ya.. please.."
Alia merayu dan merengek, Ally berfikir- fikir sekejap dan selepas meneguk air halia suam dari cawan dia pun bersuara.
""Besokk... umm ok lah abang Ally ikut turun ke KL esok.. jadi kita tak boleh sembang lama- lama sebab abang Ally kena balik bersiap malam ni.."
"Okey.. thank you abang Ally.."

Bermacam hal dan perkara yang mereka bualkan sejak bertolak dari stesen Jalan Hamzah hinggalah melewati Kuala Krai, dari hal diri masing -masing sampailah kepada kisah Shida dan ayah Alia yang jarang sekali mereka bertemu. Ally cuba memahami macam mana sunyi dan rindunya seorang anak kepada ayah atau ibu juga adik beradik yang terpisah.. beruntung dan indahnya hidup jika setiap orang mempunyai keluarga yang harmoni dan sentiasa bermesra.. Ally belum merasai keindahan itu.. dia begitu harap agar segala keindahan hidup berkeluarga hanya dikongsi dengan orang yang menjadi impiannya..
Akhirnya mereka terlena setelah masing- masing tiada apa lagi hendak dibualkan. 
"Abang Ally sejuklah.."
Alia bersuara setelah setengah jam suasana sunyi dan lampu di dalam bas dipadamkan, Ally merasai bahawa Alia sedang merapatkan badannya ke badan Ally kepalanya pula disandarkan ke bahu Ally.
Alia merasakan dia semakin menyanyangi abang Ally.. suatu perasaan yang dulunya hanya sebagai perasaan kasih sesama keluarga, kini perasaan itu semakin bertukar menjadi suatu perasaan kasih kepada orang yang sangat mengambil berat dan perihatin kepadanya.. rugi kiranya perasaan ini disiakan dan jatuh ke tangan orang lain.. abang Ally sudikah abang Ally terus menyanyangi dan berada di sisi Alia setiap masa, Alia begitu dahagakan perasaan ini.. hati Alia berkata dan spontan itu juga tangan Alia memegang tangan Ally dan digengamnya.. Ally tersentak, dibuka mata.. dia lihat Alia masih tidur dan wajah manis anak gadis ini membuatkan Ally tak sampai hati hendak melepaskan genggaman tangan Alia.
"Kesejukan agaknya Alia ni.." 
Dengan susah payah menggunakan sebelah tangan Ally ambil selimut yang disediakan dan ditutup badan Alia bersekali dengan badannya agar tidak ada orang lihat tangan Alia erat memegang tangan kanannya. Sewaktu Ally selimut badan Alia, Alia buka matanya.
"Alia sejuk ke ?"
"Umm.."
Ringkas sahaja jawapan yang keluar dari ulas bibir segar Alia, dan sebelum Alia memeluk lengan Ally dengan lebih erat lagi, Alia kenyitkan matanya kepada Ally.. Ally jadi tak tenang.

Shida sedang menunggu Alia di stesen bas Putra, sebenarnya  Shida juga ada keinginan unttuk ke Kelantan lebih- lebih lagi berkunjung ke rumah orang tua Ally di kampung, banyak kali juga Shida suarakan kepada Ally tentang keinginannya merasai suasana kampung, Shida teringin mandi air perigi, menyusuri kebun dan sawah yang nyaman.. Shida juga selalu tanyakan telur itik, dia tidak akan lepaskan peluang jika diberi peluang memungut telur itik waktu awal pagi dan masak gulai telur itik untuk makan tengah hari dengan tanak nasi beras Siam. Shida sungguh merindui suasana desa seperti itu, kalau boleh suatu hari nanti dia hendak tinggal di kampung dan kalau ada jodoh dia tidak teragak- agak untuk menerima lamaran lelaki yang ada kampung halaman seperti Ally.. Bas sudah semakin banyak sampai di terminal, antara deretan bas yang sampai belum kelihatan bas yang dinyatakan oleh Alia. Shida kembali masuk ke dalam bilik kaca mencari bangku untuk bersandar sementara menunggu Alia. 
Alia tersedar bila lampu di dalam bas di dihidupkan... sambil menggosok- gosok mata Alia memandang keluar tingkap, dikenal pasti bahawa bas ini sudah sampai di simpang jalan Genting Kelang.. Ally yang masih tersentak dengan tindakan Alia terpaksa mengukir senyum bila Alia memandangnya dengan pandangan manja penuh bermakna. Bas mutiara dengan slogan 'Insyallah Selamat' benar- benar selamat dan semakin menghampiri terminal, Shida sudah berdiri semula dekat dengan platfom untuk menyambut kepulangan Alia.. Anak gadis yang menjadi teman bermanja, teman berhibur dan bergurau kadangkala jadi teman bertekak dan mungkinkah juga dua beranak ini akanjadi rakan saingan untuk memenangi hati Ally. Selepas seorang demi seorang turun dari bas.. Alia muncul di depan Shida yang sudah sedia menunggu, Alia mencium tangan mamanya.. 
"mama... tengok siapa bersama Alia..."
Ally pula turun dari bas, dia bersalam dengan Shida dan Shida mencium tangan Ally.
"Eh.. Ally pun ada.. kenapa tak cakap kau pun datang juga.."
"ingatkan Alia dah bagitau.."
Ally jadi hairan..
"Bertuah punya anak.. kenapa Alia tak cakap yang abang Ally ikut sekali ?"
"saja... nak bagi surprise kat mama.. jom abang Ally ambik barang- barang"

Alia menarik tangan Ally ke tempat simpan bagasi, Shida nampak perlakuan Alia, selama ni walaupun Alia manja dengan abang Ally tapi taklah sampai tarik tangan sebegitu sekali.. Shida dah mula naik risau dan fikirkan yang bukan- bukan..




Mereka bertiga sudah keluar dari kawasan stesen bas Putra.
"apa khabar keluarga kat kampung Ly.. ?
"Alhamdulillah baik.. mak kirim salam kat engkau.."
"Waalaikummussalam.."
Mereka melalui jalan Chow Kit melintasi depan hotel Pan Pacific menuju ke jalan Tunku Abdul Rahman seterusnya ke jalan Chan Sow Lin.
"macam mana kat sana Alia.. ?"
Shida memulakan perbualan setelah beberapa ketika masing- masing membisu.
"seronoklah Mama.. tapi Mama tak sportinglah.. kenapa suruh Alia balik cepat sangat..?"
"sajalahh.. Mama risau, takut kau terpikat dengan orang kelantan.. jauh pula Mama nak berbesan.."
"alaaa Mama nii ngarutlahh.."
Ally yang duduk sebelah Shida hanya mendengar saja percakapan dua beranak dan berpura- pura tak tahu apa. 
"Alah.. macam Mama tak tahu perangai kau.. suka goda orang,.. merengek.."
Shida menjeling kepada Ally, Alia nampak dan mengerti bahawa Shida sedang menyindirnya.
"Eh.. Mama nii.. apalah..?"
Alia mencebik tidak senang dengan kata- kata Shida. Suasana kembali senyap, Shida tidak lagi memperli Alia. Sampai di taman perumahan kereta volvo milik Shida membelok ke kiri menuju ke rumah yang terletak di hujung blok.

"Okey kita dah sampai.."
Kereta di parking di bawah garaj, mereka keluar dari kereta. Alia terus berjalan laju masuk ke rumah.
"Aliaa.. angkat barang- barang ni dulu.."
"Nantilah.."
"Kalau iya pun makanlah dulu sama- sama, tolong Mama siapkan breakfirst.."
"Abang Ally ada.. biar dia tolong dan temankan Mama memasak..'
"Ish..ish budak ni.."
Shida geleng- gelengkan kepala memandang Ally.

"Perangai macam budak- budak.."
"Biarkanlah Shida.. biar aku yang uruskan barang- barang Alia tu.."
"Okey.. biar aku sediakan makanan yeaa.. aku sediakan nasi goreng cina boleh ?"
Shida bertanya sambil bergerak ke peti ais besar yang terletak di sudut dapurnya yang padat dengan perkakas.
"Kalau nak bersihkan diri masuklah ke bilik bawah tu Ly.. bawak beg sekali, alaa.. macam tak biasa.. bilik tu memang dah jadi bilik kau pun.."
"Iyalahh.."

Ally turunkan barang- barang dari both kereta.


Shida siap masak nasi goreng cina, Ally tolong sendukkan ke dalam pinggan.
"Alia..! mari turun makan sama- sama.."
Alia dengar Mamanya memanggil.. dia sedang bersiap dan memakai baju yang dibeli di Rantau Panjang.
"Perangai apa budak ni hah."
sekali lagi Alia dipanggil.
"Iyalaa.. nak turun dah nii.."
Jawapan Alia terdengar perlahan sebab biliknya berada di hujung tingkat atas sementara ruang makan pula dibuat di luar kawasan rumah, iaitu menyerupai garaj kereta tetapi dihias cantik dan jadilah ruang makan itu seperti restoran gayanya.
"Aliaa..!"
Suara Shida semakin meninggi.
"Ya..ya.. datang nii.."
Alia keluar bilik dan berjalan laju ke meja makan.
"Amboi.. amboi.. siap melawa lagi anak dara ni.. yang kami ni berpeluh kat sini tak ditolongnya.."
"Mama ni orang mandi pun nak marah ke ?"
"Taklah marah.. tapi nak ke mana lawa- lawa ni Alia"
"Tak ke manalah Mama.. saja nak tunjuk baju yang dibeli di Rantau Panjang ni.. cantik tak ?"
"Untuk Mama Alia beli apa ?"
"Cakaplah dulu cantik ke tak baju ni.. Mama ?"
"Cantik pun bukan kau nak bagi aku.."
"Apa taknya.. tu dalam beg tu.. ada lagi, pilihlah Mama"
"Cantiklahh... hari ini ada shooting kat KLCC boleh Mama pakai, nanti kau ikut ya..Ly.."
Shida hendak bangun dari bangku, Ally memegang lengan baju Shida, Alia nampak tapi dia pura- pura tak nampak, dia geram dengan tindakan Ally yang dah mula berjinak dengan Mamanya.
"Kalau iya.. pun habiskan nasi goreng tu dulu.. pukul berapa shooting tu ?"
Ally cuba meredakan suasana tidak selesa kerana dia nampak Shida tersentak bila lengan bajunya ditarik oleh Ally.
"Dalam pukul sebelas.."
Sekali lagi Alia tak senang hati melihat Ally memberi perhatian kepada Shida, dia pijak kaki Ally dari bawah meja dengan kuat untuk melepaskan geram.
"Adoii.."
"Kenapa Ly..?"
Shida terkejut bila tiba- tiba ally gerakkan kakinya.
"Takde apa- apa.. kaki kebas sikit.."

Shida dan Ally sudah keluar.. mereka ke lokasi penggambaran di Suria KLCC, kini Alia berseorangan berada di rumah. Dia sedang mengelamun sendirian diatas katil dalam biliknya. Alia mengeluarkan gambar yang diambil semasa di Kelantan. Diamati satu persatu fotonya, hinggalah tumpuan tertarik pada satu gambar yang mana itu adalah gambar Ally dan Alia duduk berdekatan dan nampak begitu mesra. Gambar itu dirakam oleh seorang sami buddha ketika mereka tercari cari seorang yang boleh tolong ambilkan gambar mereka, akhirnya penjaga tokong yang juga seorang sami menawarkan diri. Alia mengambil bingkai gambar yang terletak di atas meja solek yang mana bingkai gambar itu adalah gambar dia dan rakan sekolah, dibuka dan ditukarkan dengan gambar baru berlatarkan biara buddha... gambar baru itu seolah dirakam diluar negara. bila melihat gambar itu Alia terfikir betapa susahnya hendak menawan hati Ally.. bermacam cara dilakukan.. dan Alia tersenyum bila mengingatkan Ally akhirnya tewas juga sewaktu di dalam bas malam tadi. Alia juga sudah berangan- angan akan melakukan tindakan yang sama jika ada kesempatan, Alia sudah tahu kelemahan abang Ally dan akan mengambil kesempatan untuk menawan hati Ally melalui cara yang selama ini tidak diambil peduli oleh Mamanya.

Sudah dua minggu Ally di sini iaitu sejak Alia memujuknya ikut bersama balik ke KL, dalam waktu itu Ally menumpang tinggal di rumah kenalannya di Taman Melawati dan bekerja sebagai penyunting drama di sebuah syarikat produksi di Jalan Bandar. Oleh kerana kerja Ally kebanyakkannya pada waktu malam dan awal pagi, waktu terluang pada sebelah siang Ally akan berada di rumah Shida dan bila menjelang petang Ally akan bertolak pulang ke rumah sewa rakannya, masa tidur pula bermula jam sembilan malam dan mesti berada di bilik editing pukul dua pagi hingga sepuluh pagi. Semasa berada di studio biasanya Ally bekerja seorang diri kerana waktu begitu biasanya penerbit dan pengarah tidak larat lagi untuk menemani, dan Ally diberi kepercayaan untuk melakukan kerja- kerja studio dengan kreativitinya sendiri.
Jam 10.30 pagi, Ally minum pagi di kedai roti canai Zainaba, sebuah restoran mamak yang menjadi tumpuan kerana roti canainya, setelah pekena segelas teh tarik dan dua keping roti kosong berkuah dhal campur gula..
"Boss.. berapa semua..?"
Ally memanggil seorang pelayan kedai tersebut, seorang mamak yang berumur datang ke meja Ally.
"semua dua anam.."

Ally menghulurkan wang dan segera bangun dari bangkunya, Ally tidak boleh duduk lama- lama di kedai ini kerana dia kena balik cepat untuk mandi pagi dan bersiap untuk keluar ke kota sebab awal pagi tadi Ally dihubungi oleh Madi, sepupunya itu berada di Kuala Lumpur mengikuti kursus dengan Jabatan Kesihatan di Hotel Nikko.. katanya ingin berbual dan bertanyakan satu perkara yang penting kepada Ally, Madi berjanji akan menunggu di pintu depan Pasar Seni, Ally bergerak ke sana menggunakan perkhidmatan STAR LRT dari stesen Wangsa Maju dekat Alpha Angle. Sungguh pantas perubahan yang berlaku di kota ini, beberapa tahun dulu waktu mula- mula menjinakkan diri di kota batu ini kemudahan yang serba canggih belum lagi wujud dan ia sama sekali tidak terlintas difikiran, waktu itu pengangkutan yang paling cekap dan lincah adalah bas mini comel warna merah jambu yang tambangnya hanya 60 sen walau ke mana saja destinasi, selepas itu bas intrakota tanpa konduktor dengan tambang 90sen pula mengambil alih hinggalah Ally tinggalkan ibu kota ini untuk mencari rezeki di negara orang. Dan kini Ally yang masih membawa hati yang lara kembali semula ke Kuala Lumpur.. kota yang tidak menunggu sesiapa ia terus meninggalkan Ally yang seakan terperangkap dalam masa silamnya..

Sampai di stesen Pasar Seni, Ally berjalan kaki ke pintu depan Pasar Seni, Madi sudah sedia menunggu dekat sudut potret, dari jauh Ally sudah mengenali, Madi yang sama seperti yang dikenali selama ini tetapi kali ini Ally terperasan kekusutan di wajah Madi, rambutnya tidak serapi waktu mereka jumpa di kampung dan kemejanya tidak bergosok jauh sekali dengan penampilan peserta kursus. Selepas bersalam dan bertanyakan khabar, Madi membawa Ally ke restoran Marry Brown yang tidak jauh dari Pasar Seni.. selepas masuk ke kedai makanan segera itu dan memilih tempat duduk yang sesuai.
"Ally.. sebenarnya aku ada cerita nak kongsi dengan kau.."
madi memulakan perbualan.
"Cerita apa tu Di..?"
Ally kehairanan dan mengerutkan dahi.
"Kalau aku tanya kau kena jawab dengan betul Ally.."
"Apa dia Di.. ceritalah kalau betul aku akan mengaku.."
Ally turut tersentak dengan dengan kata- kata yang keluar dari mulut Madi.
"Ally sebenarnya aku datang ke KL ni bukannya kerana ada kursus.. tapi aku mahukan kepastian kalau tak dengar dari mulut kau sendiri aku tak senang hati.."
madi bersungguh sungguh menyatakan keinginannya.
"Apa dia Di...?"



Selama seminggu Lina tidak ke tempat kerja kerana bercuti kahwin. Hari ini adalah hari pertama Lina bekerja setelah bergelar isteri orang. Mula dari pagi lagi tak henti- henti Lina menerima ucapan tahniah dan 'selamat pengantin baru' daripada rakan sekerja. Antara ramai kawannya termasuklah En Rahman iaitu pengurus kilang elektronik tempat Lina bekerja. En Rahman berasal dari Kedah, dia sudah berkahwin tetapi isterinya tetap tinggal di Kedah bersama keluarga mertuanya. En Rahman hanya balik ke Kedah dua minggu sekali itupun hanya sehari pada hari minggu. Sejak mula bertugas di kilang setahun yang lalu En Rahman memberi perhatian yang lebih kepada Lina, setiap cadangan dan permintaan dari Lina akan diambil kira dan dipersetujui, Lina juga telah dinaik pangkat ke supervisor atas usaha En Rahman.
Waktu rehat di Kantin tadi Lina cuba menyapa En Rahman yang sedang mengambil makanan tetapi dia hanya senyum hambar dan tidak ikut makan semeja dengan Lina. Sebagaimana sudah sedia maklum oleh kebanyakan pekerja kilang ini, kebiasaanya En Rahman akan duduk semeja dengan kumpulan pekerja yang mana Lina ada bersama. Sikap dingin pengurus kilang ini menyebabkan Lina rasa tidak selesa dan kecil hati, perasaan yang riang pada sebelah paginya bertukar muram pula pada sebelah petang. keadaan ini terbawa- bawa hinggalah sampai ke rumah.


"Kenapa nampak monyok je hari ni ?" 
Madi yang baru balik kerja menyakat isterinya yang sedang melipat kain di ruang tamu rumah.
"monyok apanye ?"
Jawab Lina ringkas dan tak selesa dengan sapaan suaminya.
"Alaa.. teringat kekasih lama lah tu.." 
Nita yang kebetulan hendak ke dapur menyampuk.
"Kekasih lama.. siapa ?"
"Allylahh.. siapa lagi.."
Nita mula buat masalah.
"Ally mana..?"
Madi tak sabar hendak tahu.
"Alaa.. yang tinggal di kampung Lubuk Puyu.."
"Ally sepupu kita tu ke ?"
Madi bertanya lagi dengan bersungguh- sungguh.
"Yalahh dia.."
Nita ke sebelah Lina membetulkan kain sarungnya dan tunduk untuk duduk di sebelah Lina.., baru hendak duduk tapi disiku oleh Lina menyebabkan dia tersentak dan tak jadi untuk meneruskan kata- kata. madi yang tak senang dengan suasana itu terus masuk ke kamarnya.
"Itulah kau.. mulut celupar..."
Tempelak Lina kepada kakaknya.
Selepas mendengar cerita Nita tadi, Madi hanya berkurung di bilik tidur, lepas mandi dia terus masuk ke bilik. Waktu anak- beranak semua duduk depan televisyen pun Madi tidak menampakkan diri.. beberapa kali Lina memanggil makan malam tetapi tidak diendahkan, bila disuruh Tina mengetuk pintu bilik mengajak Madi makan pun dia memberi alasan sudah kenyang makan bersama teman ketika pulang dari kerja.
Lina berasa sangat gundah, dia tidak sepatutnya membiarkan suami tercinta keseorangan di dalam bilik. Setelah minta izin dari ibunya untuk masuk tidur Lina berbaring di sebelah Madi.
"Abang ni takkan sebab hal yang kecil tu pun nak merajuk.."
"sejauh mana hubungan awak dengan Ally ?"
Lina begitu tersentuh hati bila nama Ally disebut, dia tidak dapat melupakan kali terakhir mereka berjumpa di pawagam sebelum Ally menghilang dan tiba- tiba muncul semula di hari persandingannya. Lina mula menitiskan air mata.
"Abang.. tak payahlah kita nak ungkit cerita yang lama, kita kan dah jadi laki- bini.. tak ada apa faedah pun.."
"saya cuma nak tahu setakat mana hubungan awak.. takkan itu pun tak boleh ?"
"Seta..kat.. ma na..nya..."
Lina mula menangis, dia tak dapat meneruskan kata- katanya.
"Manalah tahu takut ada hubungan yang pelik- pelik.."
"Abang cakap apa ni..??"

Lina makin menjadi esakannya, dia menekup bantal ke muka dan membelakangi Madi. Madi yang tidak puas hati dengan perlakuan Lina rasa kecil hati dan tersinggung, mulanya dia tidur mengiring membelakangi Lina tetapi selepas itu dia turun dari katil dan mengambil ToTo dari almari pakaian, dihampar atas lantai sebagai tempat tidurnya..


Kisah semalam membuatkan Madi tidak bersemangat untuk pergi kerja. Selepas mandi dia memakai seluar pendek jenama 'Camel' dan baju cap helang dengan menara pagoda, untuk hilangkan rasa bosan madi ke keretanya dia buka bonet dan memeriksa minyak hitam. Sejurus itu van kilang warna biru tua sampai depan rumah untuk mengambil Lina dan bunyikan hon, lina tergesa- gesa turun dari rumah, terkial- kial memakai sepatu fabrik warna hitam bertapak rendah, dia tercari- cari di mana Madi berada, kebiasaannya lina akan bersalam dan mencium tangan Madi dahulu sebelum ke tempat kerja, Madi nampak isterinya terjenguk- jenguk ke belakang rumah sambil memanggil namanya tetapi Madi tidak mempedulikan isterinya. 
Untuk memujuk rasa duka di hati, Madi menyibukkan dirinya dengan membasuh kereta pula, kereta Proton Satria dimiliki oleh Madi selepas dua hari dia berkahwin, sebenarnya sudah dua bulan sebelum itu Madi membuat tempahan tetapi jangkaan Madi untuk mendapat sebelum hari pernikahannya tidak berjaya.. Selepas selesai mencuci kereta Madi berehat dibawah pokok mangga di tepi rumah dekat jendela biliknya. Madi tidak dapat melupakan kisah pertengkaran kecil dengan isterinya malam tadi, walaupun masih belum dapat dikatakan pertengkaran tetapi esakan tangisan Lina yang menjadi- jadi itu membuatkan Madi tidak senang hati dan terdetik rasa wasangka terhadap Lina.
"Lina.. sejauh mana hubunganmu dengan Ally.. tololnya aku, tidak pernah tahu akan cintanya. Apakah aku harus bertanya sendiri kepada Ally.. jumpa Ally di KL apa alasanku.. kursus, ya kursus.." 
Madi mengambil keputusan untuk ke KL, selepas memaklumkan kepada keluarganya Madi menyiapkan barang keperluan dan pakaian. Untuk mendapat alamat tempat tinggal Ally, Madi akan ke rumah orang tua Ally terlebih dahulu juga sebagai makluman jika ada apa- apa pesanan dari keluarga Ally.

"Macam ni Di.. aku tumpang sedih dengar cerita kau.. tapi percayalah Di, apa yang kau pikir pasal aku dengan Lina.. isteri kau tu tidak sama dengan yang sebenar, memang aku bercinta dengan dia waktu sekolah dulu. takkan pasal kisah cinta monyet dalam sekolah pun kau nak ambil hati, berapa oranglah yang terlepas dari kisah cinta zaman sekolah.. Di, tak ada apa yang berlaku antara dia dengan aku, hubungan yang tak kemana dan hanya beberapa kali je aku makan dan minum dengan dia itupun dalam masa tak lama dan hanya di tempat terbuka, seperti di tempat makan dan restoran... hanya seingat aku beberapa kali saja.."
Madi hanya diam dan mendengar penjelasan Ally dengan penuh minat.
"Kau sendiri pun tahu Di, lepas sekolah aku tak duduk di kampung, aku datang cari kerja kat sini jadi selepas tu aku pun tak jumpalah dengan dia.."
"jadi lepas sekolah kau tak berhubunglah dengan Lina ?"
Madi bertanya Ally nakkan kepastian.
"Ala.. Di banyak lagi orang kurang bernasib baik berbanding dengan kau.. contohnya aku ni.. sampai sekarang ni pun tak jumpa lagi pasangan yang benar- benar sesuai dan layak buat bini.. kau bertuah Di.. Lina yang aku kenal sangat baik, dia tak buat benda- benda karut serupa yang kau curigai tu, kau bertuah Di.. lebih- lebih lagi orang perempuan ni bila dah jadi hak orang dia tak ada lagi orang lain selain dari laki dia.. percayalah Di.." 
"Kau ni yakin je bunyinya.."
Madi bersuara hendak menduga Ally.
"Di.. sekali lagi aku nak bagitau kau.. Norlina tetap suci.. hanya kau orang pertama dan terakhir yang memiliki dia.. jagalah hati dan perasaan dia Di.."
Ally memegang dan mengenggam tangan sepupunya dengan kemas, kata- kata dan jaminan Ally sedikit sebanyak melegakan hati Madi.
"Ally.. aku minta maaf kalau apa yang aku lakukan dan sangka ini menyebabkan kau sakit hati, aku percaya kepada kau.. kau orang baik. Aku juga beruntung sebab Lina tak jalin hubungan dengan orang lain yang perangainya aku tak tahu.. tapi kau, aku boleh tahu walau kita tak begitu rapat tapi orang tua kita adalah sedarah dan sedaging jadi aku percaya sepenuhnya cerita kau itu.. terima kasih juga sebab kau sedarkan aku dan memberi teguran akan kesilapan aku yang telah salah sangka pada isteri aku sendiri.."
Madi puas hati dan menepuk- nepuk belakang Ally. 
Pertemuan Madi dan Ally berakhir dalam suasana yang baik, Madi begitu berpuas hati dan Ally pula walaupun berasa terharu dan bersyukur tetapi tetap merasai kehilangan.. Lina sudah benar- benar milik orang dia sudah tak ada ruang langsung untuk menerangkan kisah yang sebenarnya, Ally terpaksa akur dengan takdir dia tidak boleh menganggu kehidupan rumahtangga Lina biarpun dia di pihak yang benar dan tidak bersalah atas apa yang terjadi kepada hubungan mereka berdua.. keharuan ini menyebabkan Ally jadi hanyut, tidak tahu hendak ke mana.. lantas dia teringatkan Alia dan Shida..

Ally turun dari teksi di depan rumah Shida, Alia sedang duduk dibangku depan rumahnya, bila ternampak saja Ally dia lekas- lekas betulkan kedudukan dan merapikan rambutnya yang panjang ikal paras bahu dengan jejari mulusnya.
"Mama.. abang ally datang.."
Ally berjalan ke arah Alia dan bila hampir Alia lekas- lekas hulurkan salam dan cium tangan Ally, satu tabiat yang sangat diberi penekanan oleh Shida kepada anaknya sejak dari kecil lagi. Shida muncul dengan seluar jeans pendek lusuh, dia juga menghulurkan tangan kepada Ally..
"Apa khabar Ly, lewat hari ni.. ingatkan tak datang dah.."
Nada suara Shida seperti orang merajuk.
"Ada saudara dari kampung nak jumpa di pusat bandar tadi.."
"Apa ceritanya.. ?"
Shida tanya sambil memberi laluan kepada Ally untuk masuk ke rumah.
"Adalah hal sikit..."
"Alaa.. apa diaa..? dengan aku pun nak berahsia ke ?"
Shida tak puas hati, dia mendesak Ally, Alia lalu depan mereka sambil membongkok hormat, dia naik ke biliknya.
"Sepupu aku tu marah kat bininya, dia syak aku pernah jalin hubungan dengan bininya itu waktu kami sekolah dulu.."
Ally senyap sekejap, dia meniarap di atas sofa.
" Apa dia..? betulkah seperti yang dicerita tu.."
Shida mula gelisah.
"Ishh.. mana ada.. terkejut juga aku pada mulanya tetapi setelah bercerita dari hati ke hati akhirnya sepupu aku tu puas hati"
Bersungguh - sungguh Ally untuk menyakinkan tetapi Shida buat relaks pulak.
"Boleh caya ke hero kampung ni.."
Shida menyindir
"Betul ceritanyaa.."
"Happy endinglah ceritanya tu.."
"Iya.. eh mana Alia tadi "?
Ally baru perasan bahawa Alia tiada lagi berdekatan.





Alia sedang duduk bersandar di kepala katilnya dengan wajah muram
"Ishh.. boring betullah.. mama tak bagi peluang langsung untuk aku mendekati abang Ally.. ish Mama ni.."
Alia tak dapat menahan rasa tak puas hatinya, dia terpusing- pusing seorang diri di atas katil dan sesekali mendekati pintu untuk cuba mendengar perbualan abang Ally dan mamanya.
"Macam mana nak buat.. biar Mama berhenti sekejap dari berbual dengan abang Ally, bimbanglah.. Mama masih cantik mengancam nanti abang Ally jatuh cinta.."
Alia mengomel sendiri melayani perasaan bimbangnya. Alia mengakui bahawa walaupun Mamanya sudah berumur tetapi bentuk badan Mamanya solid mengalahkan anak muda, pernah waktu beli kain dan mencuba pakaian di Kamdar bulan lepas, jurujual di sana menyangka Alia adalah adik shida.. "Apa lagi makin menjadilah Mama.. perasan.." getus hati Alia. 
Setelah membelek wajahnya di cermin solek, Alia keluar dari biliknya, Alia nampak Shida dan Ally duduk berbual- bual mesra di atas sofa dan kedudukan mereka yang terlalu hampir menyebabkan Alia merah padam wajahnya. 
"Mamaa.. !!"
Jeritan Alia menyebabkan Ally dan shida terpingga- pingga.
"Kenapa Alia.. nampak hantu ke ?"
Tegur Shida dengan kuat kerana terkejut dengan jeritan anaknya, Alia serba salah..
"Err.. aa.. kat bilik Alia ada tikuslah Mama.."
Alia membuat helah.
"Tikuss.. eh bila masa pula kat rumah kita ada tikus ?.. cuba kau pergi tengok Ally."
Shida gelengkan kepalanya dia bangun dan masuk ke dapur dan Ally pula naik ke tingkat atas masuk ke bilik Alia, Alia mengikut dari belakang. Ally melihat di dalam bilik, dia mengintai di bawah katil dan juga membuka almari pakaian.

"Mana tikusnya, tak ada pun kat sini..'
Alia senyum dan geli hati melihat Ally bersungguh- sungguh mencari tikus di segenap biliknya.

"Tak ada tikuslah abang Ally.. Alia tipu Mama je.."
Ally memandang tepat ke wajah Alia, dibulatkan biji matanya.
"Alaa.. abang Ally, jangan pandang Alia macam tu, Alia takutlahh.."
"Ish alia ni tak baik buat macam tu tau.."
Ally tidak senang dengan tindakan Alia, Alia bangun dari katil dia menghampiri Ally.
"...Jadi kalau abang Ally duduk bermesra dengan Mama tu tak mengapa..?'
"Apa Alia cakap ni.. jangan mengarutlah Alia.. kan ke abang Ally.."
Belum habis Ally bercakap Alia sudah memegang tangan Ally.
"Ally..!! Alia...!! dah jumpa ke tikus tu..?"
Suara Shida mengejutkan mereka, Ally menarik lengannya dari rangkulan tangan Alia dan keluar dari bilik tidur.
"Ishh.. kacau betul Mama ni.."
Alia naik marah dan hentak kaki ke lantai..





"Err.. macam mana dapat tangkap tikus tu.. ?"
Shida mengajukan pertanyaan di depan Ally yang kembali duduk di tempatnya tadi.
"Tikus.. oh ya.. ya tikus besar.. tapi terlepaslah Shida.. pandai betul tikus tu.."
Ally berkata dalam sindiran tetapi tidak menyedari jawapannya itu turut di dengar oleh Alia yang berdiri di depan biliknya, Alia memang selalu mencuri dengar setiap tutur percakapan mamanya dengan abang Ally.
"Tak dapatlah.. ?"
"Nak dapat apa.. baunya pun dah hilang, entah dia lari ke mana agaknya.."
Sejak pulang dari berjumpa dengan Madi, Ally menghabiskan masanya di rumah Shida, pada hari ini Ally mula meragui layanan Shida dan Alia terhadapnya. Dia jadi keliru dengan apa yang disangkanya terhadap Shida, kadang- kadang dia merasakan Shida seorang kakak angkat yang baik dan sering memberi nasihat dan dorongan kepadanya. Kadang- kadang pula dia dapat lihat seolah Shida melayannya seperti budak suruhan, di suatu ketika juga Shida boleh jadi seperti bakal seorang ibu mertua yang selalu memenangi hatinya.. tetapi hari ini bila Alia sering menarik perhatian Ally, Shida macam tidak keruan dan sering menjadi pesaing anaknya untuk mencuri perhatiannya..
Entahlah.. mungkin sebab itu Shida banyak kali menerima award kerana lakonannya.. mungkinkah hari ini pun Shida juga berlakon di alam realiti.

Dan petang ini bila Ally minta diri untuk pulang Shida bermurah hati menawarkan diri untuk menghantar Ally ke rumah sewa rakannya di Taman Melawati, kebetulan waktu itu ramai kawan- kawan Ally berada di luar rumah, mereka sedang asyik bermain gitar dan melepak, kelihatan juga Zul yang berbadan besar dan tegap sedang mencuci van, badannya yang berulas dan berotot nampak begitu seksi apa lagi dengan badannya yang tak berbaju itu. Bila saja Ally keluar dari kereta Shida, Zul memberitahu kepada kawan- kawannya yang lain dan mereka semua terlopong melihat Ally lebih- lebih lagi apabila melihat Shida bersalam dengan sopan persis orang bercinta, Shida juga melambai tangan dengan manja sebelum berlalu.. apalagi riuhlah kawan- kawan bujang Ally, Zul juga membuat nakalnya dengan cara menghalakan paip air ke arah Ally menyebabkan Ally terkial- kial mengelakkan diri dari terkena siraman..


Perjalanan pulang ke Kelantan berseorangan waktu malam begini sungguh sepi.. hanya radio atau kasetlah yang jadi peneman kalau tak pun kena menyanyi- nyanyi sendirilah ataupun kalau mereka yang hafal Al Quran atau surah- surah lazim adalah yang terbaik untuk membacanya sebagai pendinding diri dan mempengaruhi kestabilan tumpuan dalam perjalanan nan panjang. Melewati daerah Selayang yang masih riuh rendah dengan pelbagai karenah para peniaga kecilnya. Madi begitu teruja dan bersemangat untuk segera sampai ke kampung, memohon maaf kepada isterinya dan melelapkan mata yang tentunya amat mengantuk di sisi Si isteri yang baru nak mengenali hati budi Sang suaminya, mengenangkan saat begitu Madi jadi tak sabar dan mudah mengeluh, dia juga mengetap bibir.. geram bila mana setiap kali keretanya dihalang oleh orang ramai yang menyeberang jalan ataupun hingga terpaksa memperlahankan kenderaan bila ada peniaga yang menolak kereta sorong yang sarat dengan barang perniagaan di depannya. Setelah keluar dari kesesakan daerah Selayang barulah rasa tenang dan dapat memandu dengan lancar, Madi yang dari tadi berhajat untuk menelefon isterinya..  mengeluarkan telefon dari saku seluarnya dan menelefon Lina. Selepas beberapa kali ringing berbunyi akhirnya ada suara yang menyambut dengan perlahan..
"Assalamualaikum.. Lina err.. ni abang ni.."
"Waalaikuu.. tupp.." 
Telefon mati dengan sendirinya.
"Ops bateri.."
Madi kecewa kerana tidak sempat untuk bercakap dengan isterinya, tentu isterinya sedang menanti dengan gusar. Madi baru menyedari bahawa telefon yang sengaja dimatikan dari awal dia sampai ke Kuala Lumpur itu rupa- rupanya tidak bercas dan waktu Madi menghubungi Ally pun baterinya sudah lemah.
"Maafkan abang sayang..., abang rindukan suaramu yang lembut itu"
bisik hati Madi yang tidak sanggup lagi untuk lambat sampai ke rumahnya..
Selepas mendengar pengakuan Ally tadi, Madi rasa amat bersalah. Kerana cemburu Madi tidak melayan Lina dengan sebaiknya.. panggilan telefon dari Lina tidak berjawab malah dimatikan terus.. kerana curiga kepada Lina, tiada restu diiringi bersama Lina yang berat hati untuk ke tempat kerja.. kerana wasangka yang terlampau Madi telah membohongi isterinya yang tulus itu dengan mengatakan dia ke mesyuarat bersama Jabatan sedangkan Madi telah mengambil tindakan yang terburu- buru ke Kuala Lumpur untuk bersemuka dengan sepupunya Ally..


Madi sebenarnya tidaklah berhasrat untuk segera pulang, dia telah bercadang akan menginap sehari di mana- mana hotel di kotaraya selepas bertemu dengan Ally.. kerana Madi menyangka dia akan mendengar pengakuan yang mengguris hati daripada Ally tetapi apabila khabar yang sebaliknya diketahui Madi sudah tak sabar lagi untuk segera bertolak balik. Waktu Madi sampai awal subuh tadi dia hanya tidur di dalam kereta yang di parking di Taman Tasik Titiwangsa. Selepas makan di restoran Mamak berdekatan, Madi menghubungi Ally untuk berjumpa di restoran Marry Brown. Perasaan gembira bercampur kesal membuatkan Madi penuh bersemangat ingin pulang malam ini juga dan menyemai hasrat yang menggunung untuk kembali hidup dengan aman damai dan bertolak ansur dengan isterinya.
Jam 9.00 malam Madi sudah sampai di Bentong, dia berharap akan sampai di rumah tidak terlalu lewat, harapannya biarlah sampai sebelum jam 2.00 pagi kerana malam ini Madi berhajat untuk tidak tidur di lantai lagi, Madi ingin tidur bersama isterinya yang terlalu dirindui.. lagu dari kaset dikir barat dendangan cikgu Sulizi menjadi teman perjalanannya kerana gelombang radio sudah mula terganggu.
Selepas melalui daerah Bentong kereta Satria 1.3 ini melewati bandar Raub dan beberapa jam meninggalkan bandar Kuala Lipis untuk merentasi kawasan suram iaitu menuju ke daerah Merapoh, selepas ini kereta Madi akan merangkak mendaki untuk menyeberangi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Hujan bukit yang sentiasa menyirami banjaran ini dirempuh dengan bergaya oleh kereta nasional kebangaan rakyat ini. Madi masih dengan kelajuan yang statik, dia percaya jentera barunya ini tiada masalah untuk merentasi jalan yang basah dan licin. Kelibat lori yang membawa kayu balak belum lagi ditemui begitu juga bas ekspress belum juga berselisih, mungkin waktu ini lori balak dan bas baru memulakan perjalanan, dan Madi berharap dia tidak bersua dengan dua jenis kenderaan hebat itu di jalanraya yang berisiko ini. Inilah peluang baik untuk Madi menambah kelajuan sebelum deretan lori dan bas menghalang. 
Kecekapan Madi memandu membuatkan perjalanan merentasi pergunungan hampir berakhir dan kini kereta Satria biru metalik ini sudah menuruni bukit, inilah kuasa cinta dan semangat yang membuatkan Madi tidak hiraukan bibit kantuk yang mula menyapa, dia tidak akan berhenti di mana- mana untuk berehat, Madi ingin segera sampai, Madi akan mengalahkan halangan emosi dan penglihatan yang mula kabur kerana asap dan kabus selepas hujan menamakkan dirinya yang lembut, pesona tetapi boleh jadi akan mengelirukan pemandu yang terlalu taksub dengan kecekapan. Madi menambahkan pecutan bila menghampiri Simpang Pulai.. disinilah kabus bak kapas menunjukkan kehebatannya yang sebenar, kenderaan sebesar lori balak dari kilang papan berhampiran tidak kelihatan...


"Mak.. abang Di ke mana, belum balik lagi ni.. dia tak bagitau ke nak ke mana ?"
Lina yang dari tadi tertunggu- tunggu suaminya pulang akhirnya tak tertahan lagi menghamburkan kerisauannya. Emak Lina hairan mendengar pertanyaan dari anaknya, dia hairan kerana sebagai isteri sepatutnya Lina lebih tahu tentang pergerakan suaminya.
"Astagfirullah... kau ni tak tahu ke Madi kan pergi mesyuarat di Kuala Lumpur petang kelmarin."
Lina jadi serba salah.
"Err.. abang Di bagitau, tapi Na ingatkan bukan hari ni"
Lina sengaja membuat helah.
"Semalam tidur tak perasan ke laki kau tak ada kat sebelah ?"
"Tak mak sebab semalam Lina tidur awal.."
".. aa ni mak nak pesan.. lain kali jangan tidur dahulu sebelum suami masuk bilik.. ingat tu.."
Lina dengan wajah yang sugul, endah tak endah pesanan emaknya sebaliknya terus masuk ke biliknya.

Jam dinding berukir buah anggur hadiah perkahwinan daripada rakan sekerja sudah menunjukkan waktu hampir satu setengah pagi. Lina masih tidak dapat memejamkan mata, bermacam- macam difikirkan tentang suaminya Madi, resah gelisah, rindu, kesal silih berganti. Lina sedar bagaimana status dirinya sebagai seorang isteri tidak sepatutnya membiarkan seorang suami tidur dilantai tanpa menjamah makan malam sedangkan dia dengan senang dan kekenyangan tidur di atas katil, Lina sepatutnya memujuk dan meminta maaf kepada Madi sekalipun dia tak sanggup bercerita tentang hubungan lamanya dengan Ally. Dan sewaktu hendak ke tempat kerja pagi kelmarin pun Lina masih berkeras tidak mahu menghampiri Madi dan mencium tangan sebagaimana yang sering dilakukannya.

"Rajuk benar agaknya abang Madi ni.. jangan- jangan di KL nanti dia berkenalan dengan perempuan lain.. manalah tahu.. ataupun ditinggalnya aku seperti yang pernah dilakukan oleh Ally kepada ku dulu.."

Hari ini adalah hari kedua Lina keluar rumah untuk ke tepat kerja tanpa meminta restu daripada suaminya Madi, sebenarnya Lina ada juga terdetik dihatinya untuk meminta ampun dari dari atas sikapnya malam kelmarin dan juga semalam, tapi sejak bangkit dari tidur Lina tidak nampak pun di mana Madi berada dan Lina membuat telahan bahawa suaminya telah bangun awal dan mereka berselisih antara ke tandas dan bilik air selepas itu Madi memakai unifom putihnya di ruang tamu rumah kemudian terus ke tempat kerja, dalam waktu lina membetulkan cip-cip ke atas papan litar sebesar dua tapak tangan di atas meja kerjanya.. di dalam hati Lina tidak sabar untuk pulang ke rumah membetulkan kembali selisih faham antara mereika suami isteri. Rakan kerja Lina yang bernama Julia berjalan lenggang- lenggok ke arah Lina, dia yang masih muda dan ranggi tersenyum- senyum menyapa Lina.
"hai rajin nampak.. bersemangat nak jadi pekerja contoh ke ?"
"Ehh.. Julia terkejut aku.."
Lina tergaman dengan kemunculan Julia yang secara mengejut terpacak di depannya.
"Aa.. ada apa Julia..?"
"Ni.. nak tanya sikit, bolehh..?"
Julia menyoal dengan gaya jarinya ditunjuk ke dada Lina.
"Boleh.. apa salahnya"
Jawab Lina pula dengan senyum tawar.
"..Lina kau perasan tak ?"
"Perasan.. perasan apa ?"
Lina memandang muka Julia yang bergincu merah berkilat.
"..kat tempat kerja kita ni dah tak ada penyeri lagi.."
"..penyeri.. macam mana tu.. ? aku rasa okey je.. macam biasalah kawan.."
"..memang kau ni tak pekalah kawan.. kau tak rasa ke kita telah kehilangan seorang abang yang hensem.."
"Apa kau cakap ni Julia.. kat kilang ni mana ada orang yang hensem."
"..iash..ishh.. kau i Lina tak tau berita langsung mentang- mentanglah dah dapat laki idaman, dunia lain dah tak nampak dah.."
Julia mencebik sambil berpaling hendak pergi dari situ tetapi lengannya dipegang oleh Lina.
"Okey.. okey maafkan aku Julia, aku betul- betul tak tahu"
Julia senyum kepada Lina.
"Itulah kau, sebab kau, kau tak rasa ke yang kau telah menolak cintanya dan kahwin dengan orang lain inilah yang menyebabkan encik Rahman tak kerja kat sini lagi.."
"Hah.. iya ke ?"
"Iyaa.. aku dapat berita ni dari pengurus"
"..Oo, jadi dia kerja kat mana pula ?"
Lina bertanya dengan gopoh..
"..dia minta tukar ke Kedah serta merta"
"hah, jauhnya.. betul ke ni.. tak kan dia berhenti kerja pun kau nak babitkan aku.. aku tak pernah pun cakap aku sukakan dia.."
"Itu kata kau tapi kita orang tahu encik Rahman memang berhajat nak kahwin dengan kauu.."
Julia jelirkan lidahnya, Lina cuba memukul dan Julia segera berlalu dari situ, Lina gelengkan kepala melihatkan telatah Julia. Dan waktu itu juga pengurus kilang berada dekat dengan Lina yang tidak perasan akan kehadirannya dia melihat wajah ayu Lina dengan perasaan geli hati dan diambil pembaris di atas meja Lina, diketuk- ketuk ke meja membuatkan Lina tersipu- sipu. 
Bunyi ketukan bertalu- talu berselang dengan salam kedengaran di depan pintu rumah, segala perasaan yang berlegar dikepalanya turut melayang bersama ketukan pintu rumah yang lagaknya macam orang dalam kecemasan, Lina dibimbang keresahan lagi.. 
Emak Lina bangun dari tidur dalam keadaan mamai dan menggosok- gosok mata dengan perlahan membuka pintu, Lina mengintai dari celah lubang kunci dari dalam biliknya.. kelihatan ketua kampung dan seorang anggota polis bercakap sesuatu dengan emaknya, Lina lihat emaknya terduduk, dia segera keluar dari bilik.
"Makk......"

Selepas menerima panggilan kecemasan dari kampung waktu subuh tadi hinggalah sekarang Ally masih berdebar. Kerja- kerja di studio semuanya ditinggalkan, pagi tadi Ally  sudah meletakkan memo di skrin monitor yang ditulis beberapa potong ayat yang menerangkan masalah yang dihadapi dan memohon cuti selama dua hari. Shida yang memahami keadaan Ally telah sudi membenarkan Ally balik ke kampung dengan kereta volvonya dia juga membenarkan Alia ikut bersama kerana kebetulan hujung minggu dan sekolah cuti, tak lupa juga Shida memberi ingatan dan pesanan ringkas kepada Alia agar jaga tatasusila ketika bercampur dengan masyarakat kampung pun begitu ada satu lagi pesanan yang amat penting tetapi tidak berupaya diucapkan oleh Shida iaitu kebimbangannya terhadap Alia.. Shida bimbang jika Alia terlalu manja dengan Ally.
"Jaga diri kat sana tu Alia.." 
Shida sekali lagi memberikan pesanan kepada anak gadisnya, dia menarik tangan Ally berjauh sedikit daripada Alia.
"Ly.. jaga baik- baik anak aku.. satu lagi yang paling penting, nii.."
ditujukan jarinya ke dada Ally.
"Kenapa dada aku..?"
"Hati awak tu jangan diambil oleh orang walaupun tuu.."
Shida memuncungkan mulutnya ke arah Alia yang sedang memasukkan pakaian ke dalam bonet kereta.
"Jangan bimbanglahh.."
Ally memberi jaminan.
"Yaa.. ok, nah.."
Shida memberikan kunci kereta kepada Ally dengan bibir mencebik tanda ragu dan risaunya masih bersarang di hati.
"Bawa kereta elok- elok, nanti selalulah periksa airnya.."
Selepas bersalaman dan mencium mamanya Alia masuk ke dalam kereta. Ally yang tak sabar lagi untuk meneruskan perjalanan masuk ke kereta, pandang dan renung wajah Shida yang juga memandanginya berselang dengan pandangan terhadap Alia, mereka bertentangan mata sejenak dan dengan perlahan Ally mula manekan minyak, tangan kananya melambai kepada Shida. Kereta segiempat buatan Jerman ini dengan gayanya tersendiri meninggalkan perkarangan rumah Shida. Shida masih berdiri melambaikan tangan hinggalah kereta membelok di simpang perumahan menuju ke jalanraya.

Ketika sedang mula memandu tidak banyak perbualan antara Ally dan Alia, masing- masing buat hal sendiri dan Ally masih dalam perasaan terkejut mendapat berita buruk tentang Madi sedangkan kehangatan gengaman tangan mereka di Marry Brown petang kelmarin masih lagi kemas di ingatan. Mereka mengisi minyak di stesen Petronas Gombak berhampiran simpang ke UIA, sementara menunggu minyak diisi penuh, Alia masuk ke kedai Mesra membeli makanan ringan dan minuman untuk bekalan dalam perjalanan mereka.
Hanya selepas itu mereka berbual- bual, dan seringkali perbualan mereka tentang persekolahan Alia, ada juga Alia cuba membawa perbualan mereka hingga menyentuh soal hati dan setiap kali juga Ally menjawab dengan kiasan dan nasihat supaya Alia tidak terguris hatinya. Ally tidak mahu apa- apa saja keakraban dia dan Alia akan membawa kesan yang mendalam sekiranya di suatu masa mereka tidak lagi dapat bersama apalagi jika mereka bukanlah jodoh yang ditentukan tuhan sudah tentu banyak perkara yang akan berbangkit dan menganggu kehidupan mereka sebagaimana perasaan Ally ketika ini, Ally cukup rasa bersalah atas tragedi yang menimpa Madi dia tidak menolak sekiranya apa yang terjadi itu sedikit sebanyak adalah kesan dari hubungan cintanya dengan Lina di masa lalu, Ally membuat kesimpulan bahawa banyak kesan yang tidak baik akan timbul sekiranya menjalinkan hubungan cinta.. dan jika cinta tidak kesampaian menyebabkan kisah cinta itu mempengaruhi emosi juga boleh menimbulkan fitnah dan menjejaskan hubungan bersama pasangan selepas berkahwin kelak dan begitulah peristiwa yang dialami oleh Lina dan Madi ini, ia tidak dapat lari dari keadaan itu.

Memikirkan perkara ini ada kebenarannya falsafah orang dulu- dulu yang mengatakan bercinta selepas kahwin adalah lebih baik dan kekal hingga ke anak cucu.


Pusara di kaki bukit ini baru sahaja menyaksikan penyertaan ahlinya yang terbaru, suasana yang lazimnya sunyi bertambah pilu bila tanah perkuburan itu menjadi tumpuan, kali ini seorang pemuda yang baru sahaja membina hidup dengan pasangannya.. 
"Allah lebih berhak ke atas setiap makhluknya, Hasmadi bin Zabedah telah pergi buat selamanya hendaklah kita yang hidup ini dapat memanfaatkan apa yang baik daripada arwah semoga amalan baik yang ditinggal itu sampai juga manfaatnya ke alam barzah.. semoga salah silap Allahyarham harap dapat diampunkan jika ada hutang piutang arwah yang belum selesai diharap benarlah dapat disampaikan kepada warisnya tetapi sebagai umat yang bertimbang rasa kalau boleh janganlah sampai membebankan jika dapat dipermudahkan... permudahkanlah.. itulah cara yang terbaik kerana atas nama sesama Islam kita adalah bersaudara dan sudah semestinya sebagai saudara kita tidak sanggup menyusahkan saudara kita.."
Begitulah lebih kurang amanat Imam muda bernama Shaukat bin Hadrami yang juga kawan sekelas Ally di zaman persekolahan dulu. Amanat dan pesanan itu diucapkan selepas melakukan pengebumian jenazah tadi, kini orang ramai sudah mula berlalu, Ally sudah meninggalkan tanah kubur merah kekuningan itu, masuk ke keretanya.. dari jauh Ally melihat Lina masih lagi duduk bersimpuh di depan pusara Madi yang lembab disirami air mawar dan bunga cina, sementara adik- beradik dan saudara maranya sedang menunggu di luar pagar kawasan perkuburan, mereka juga memperlihatkan wajah yang penuh simpati dan bersedih dengan takdir yang menimpa Lina.
Selepas beberapa ketika Ita menghampiri Lina dan cuba mententeramkannya 
"Sudahlah.. dik, walau habis air mata sekalipun kita meratap, orang yang dah pergi takkan kembali.. mari kita balik.. nanti bila keadaan beransur tenang kakak nak ceritakan satu benda kepada Lina, kalau tak diceritakan kakak rasa amat terkilan dan tidak senang hati.." 
"Kak Ita.. walau apa saja pun yang kakak nak ceritakan itu semua takkan dapat mengembalikan semula abang Madi kak.." 
"Ya.. kakak tahu.."
Ita memegang bahu Lina dan memimpinnya masuk ke dalam kereta, mereka keluar dari tanah perkuburan dan kereta mereka lalu di depan kereta Ally.
Ally dapat melihat dengan jelas ketika Lina dan keluarganya lalu di depan Ally betapa sugulnya Lina, tidak henti- henti dia mengesat air mata. Ally pun turut bersedih... dalam hatinya dia berbisik memohon maaf kepada bekas kekasihnya itu kerana disebabkan ingin bertemu dengan dialah Madi menemui maut dan sekali lagi juga Lina menangis dan bersedih, kali ini lebih hebat lagi daripada menanggung derita waktu Ally meninggalkan Lina beberapa tahun dulu.
"Lina.. aku malu kepada mu kerana aku telah membuatkan orang yang pernah aku sayangi terpaksa menanggung kesedihan sedangkan aku tidak pernah ingin bertanggungjawab..."



Setelah menyaksikan babak sedih di pusara, Ally tidak terus pulang ke rumah, dia jadi begitu pilu hinggakan air mata juga bergenang dikelopak. Ally ke bandar untuk membeli serunding daging, keropok dan dodol untuk dibawa ke Kuala Lumpur sebagai buah tangan kepada rakan- rakan dan juga Shida, untuk mendapatkan semua itu tidak menjadi masalah kerana di Pasar Lama Ally boleh dapatkan barangan itu dengan mudah tetapi Ally sebenarnya hendak menenangkan hatinya, dia tersentuh hati melihat kesedihan yang menimpa orang yang pernah disayanginya.
Ally berkira hendak ke restoran terapung dekat Tambatan Diraja tetapi bila sampai di situ, Ally batalkan hasratnya kerana terlalu sebak disebabkan bayangan Lina tiba- tiba menjelma dan berjalan- jalan di sekitar itu menyebabkan Ally terus pergi ke pasar lama melintasi jalan berselekoh di depan Muzium Perang Dunia Kedua kemudian menyusur di Bulatan Kijang sebelum berpatah balik ke Pasar Lama. Setelah meletakkan kereta di petak parking, Ally berjalan ke depan bangunan pasar yang banyak menjual barang makanan dan buah- buahan, Ally memilih paket- paket yang diinginkan sebelum memulakan proses tawar menawar barangan yang dihajatinya, bila penjual dan pembeli berpuas hati terjadilah  urusan jual-beli serunding daging dan dodol made in Kelantan satu beg plastik besar terpaksa digunakan untuk membolehkan Ally membimbit semua itu ke kereta.

Ketika Ally sampai di rumah waktu asar sudah berlalu, suasana dalam rumah senyap. Terdengar sayup- sayup suara orang bercakap- cakap di kebun pisang di belakang rumah. Ally naik ke rumah dahulu untuk menunaikan solat asar, selepas itu Ally juga akan turut ke kebun pisang juga.
"Baik- baik nak Alia nanti getah kena baju.. tak dapat dicuci tu.."
"jangan bimbang makcik jantung Pisang Kebatu ini akan dapat Alia kait.."
"Itu bukan Pisang Kebatu Alia.."
Mak Utih mencelah membetulkan nama pisang yang bertandan kemas dan berbuah cantik itu.
"Jadi.. kalau bukan, pisang apa makcik ?.... pisang emas dibawa belayar ke makcik ?"
"Ishh.. ada ke, ini Pisang Berangan lah Alia.. kalau ke kedai kopi yang kat tengah meja tu pisang nilah tu.."
"Ooo macam tu, yang kat sana tu pisang apa makcik ?"
Alia menunjukkan ke serumpun pisang yang tinggi dan berdaun panjang, licin berkilat.
"Itu pisang kapas... kalau Alia nak ambil jantungnya pun boleh juga.."
"pisang nilah yang dibuat cekodok ya makcik ?"
"Ya pandai pun.. kalau nak kenal pisang yang dibawa belayar tu.. ada kat sana.."
Mereka berdua beralih dari satu rumpun ke rumpun yang lain pula.
"Ehh.. dah balik pun Ally.."
Ally muncul dari balik rumpun pisang emas.
"Hai.. abang Ally, tengok pandai tak Alia jolok jantung pisang.."
"bukan joloklahh.. kait"
Ally membetulkan gaya bahasa Alia. Alia begitu bersungguh- sungguh mengait jantung pisang dengan menggunakan galah yang diselit sebilah sabit untuk memotong jantung dan pelepah pisang yang tinggi, dia buat tak endah dengan teguran Ally tadi.
"panggillah apa pun Alia, jolok ke.. rodok ke.. janji jatuh ke bawahh.. ni jantung pisang banyak- banyak ni nak buat apa mak.. nak jual kat pasar ke ?"
"tadi mama Alia telefon tanya khabar anak dara dia lepas tu tanya pasal jantung pisang.."
"ya abang Ally.. kita bagi mama makan jantung pisang ni cukup-cukup biar puas hati dia"
Alia lekas menyampuk dan galah yang diguna untuk mengait jantung pisang tersasar ke kelongsong daun ulat pisang dan ulat pisang hijau berdebu putih itu tepat jatuh ke lengan Alia.
"Aaa.. abang Ally.. anak dinosaur..!!"
Alia terloncat- loncat dan menarik lengan Ally, Ally dengan selamba dan senyum memegang ulat pisang.. disuakan ke hidung Alia, Alia berpusing- pusing lari keliling pokok pisang dan dia tanggalkan selipar terus lari ke rumah.
"Ishh apa ni Ally.. dah tau budak tu takut diusik juga.. ha..dah, sekarang punggut jantung- jantung pisang tu.."
Ally ketawa sampai berair matanya dan Mak Utih pula ikut balik ke rumah menyusuli Alia yang tak kelihatan lagi.



Azan maghrib sedang dialunkan dari masjid. Ally, Mak Utih, Pak Utih dan juga Alia sudah siap untuk turut ke masjid bagi menyahut seruan menunaikan solat. Jarak dari rumah Ally ke masjid tidaklah jauh sangat bak kata orang dulu- dulu hanya sepelaung. Dalam perjalanan ke masjid ada juga orang yang menegur dan menanyakan siapa gerangan gadis cantik manis bertudung itu, untuk tidak banyak bersoal jawab, Mak Utih hanya cakap anak saudaranya dari Kuala Lumpur, nampak benar riak keriangan Alia kerana dapat merasai suasana berjemaah waktu malam di masjid bersuasana kampung.
Selepas menunaikan solat maghrib, seperti biasa Imam muda masjid hidangkan pula bacaan kitab- kitab lama yang berupa peraturan dan hukum hakam dalam agama Islam, Alia begitu berminat mendengar penerangan dan saranan oleh Iman muda itu, waktu senggang antara maghrib dan Insyak terasa begitu singkat bila muazim sudah bersedia untuk laungkan azan sekali lagi.. Alia juga senang sekali untuk menghayati bacaan ayat- ayat panjang pada rakaat pertama dan kedua solat insya.
"Alia nak ikut sekali ke rumah arwah... kalau penat dan nak berehat mak cik boleh hantar balik dulu tetapi di rumah tak ada orang, berani ke tinggal seorang ?"
Mak Utih bertanya Alia sewaktu menunggu Ally dan jemaah lain untuk sama- sama ke tempat tahlil di rumah arwah Madi.
"Eh.. Alia nak ikutlah lagipun Alia tak pernah tengok orang bertahlil.."
"Kalau begitu kita tunggu abang Ally dan ayahnya turun dulu.. sembahyang sunat rawatib dululah tu.. kita ramai- ramai pergi jalan kaki ke sana."
"Jauh ke makcik ?" "lebih kurang jarak nak ke rumah kita cuma yang ni ke hulu.. jadi.. bila balik nanti rasa jauh sikitlah.."
Bila selesai solat sunat isyak para jemaah yang kebanyakannya lelaki sama- sama berjalan keluar dari masjid dan sama- sama berjalan ke tempat tahlil.


Di rumah arwah ini, Alia turut membantu menyediakan hidangan di dapur. Pada malam pertama tahlil ini, nasi hidanglah sebagai juadah orang yang datang bertahlil.. dan kali ini Alia dapat merasai sendiri kesepakatan orang- orang kampung bersama- sama membantu dan merasai kesusahan juga kesedihan tuan rumah. Di satu sudut dekat dinding sebelah kanan dapur ada dua tiga orang sedang bercakap- cakap dan menenangkan seorang perempuan muda yang sugul tidak bersemangat. Kemesraan begini jarang sekali dapat dirasai di bandar besar seperti Kuala Lumpur, kalau ada pun semangatnya sudah tidak sama dengan di sini, di bandar orang yang hadir hanya untuk menyatakan kesedihan sahaja jauh sekali untuk sama- sama membantu kerja di dapur.  Alia juga dapat lihat di tepi dapur ada timbunan buah tangan yang dibawa oleh kaum wanita seperti gula, susu dan biskut.
Lebih kurang empat puluh lima minit bacaan tahlil dilakukan, suasana jadi senyap dan imam Shaukat sudahi dengan bacaan doa buat arwah, dua tiga orang lelaki masuk ke dapur mengambil dulang berisi lauk pauk dan mangkuk nasi, ibu Lina dan Kak Ita sudah mulai sibuk menguruskan hidangan dan menuangkan air sirap ke dalam gelas, para tetamu mula riuh semula, sibuk minta tambah gulai dan gelas air.. suasana kelam kabut sekejap dan Mak Utih pantas menyediakan apa yang diminta oleh orang- orang kampung. Mak Utih lihat ke kiri dan kanan mencari seseorang yang boleh membantunya. Akhirnya Mak Utih nampak Alia.
"Alia.. tolong isikan acar timun ke dalam mangkuk ni, orang dah nak makan tu"
Mak Utih hulurkan susunan mangkuk kaca kepada Alia.
"Acar timun yang mana satu..?"
Alia bertanya secara berbisik kepada Mak Utih, Alia masih tercengang mencari acar timun yang dimaksudkan.
"Tu.. depan Alia tu.."
Emak Ally juga berbisik ke telinga Alia takut di dengar oleh orang lain.
"Siapa anak dara lawa ni Mak Utih ?"
Mek Yah yang dari tadi memerhatikan Alia mengajukan pertanyaan kepada Mak Utih.
"Eh kau ni Mek Yah.. terkejut aku, ni anak saudara aku yang duduk kat K.L balik dengan Ally.."
"Aa.. anak saudara, bila nak menjadi anak menantu makcik pula ?"
"Kau ni Mek Yah soalan macam tu macam mana aku nak jawab, budak- budak sekarang ni mana nak cerita apa- apa pada orang tua.. bercinta ke, berkawan ke mana kita tau.."
"Err.. adik pula macam mana dengan Ally.."
ketika ini Alia nampak perempuan muda yang bersedih tadi memandang ke arahnya..
"Kami belum ada apa- apa hubungan lagi kak.."
"Dah.. jangan kacau anak aku ni Mek Yah.."
Tegur Mak Utih pula bila lihat Alia tidak senang dengan pertanyaan Mek Yah. Mek Yah yang sedang dukung anak kecil beralih ke tempat sekumpulan wanita yang sedang membersih pinggan mangkuk dan juga periuk belangan yang berminyak bekas sisa makanan.
"Macam mana Alia.. nak balik ke Kuala Lumpur malam ni juga ke ?"
Emak Ally bertanya Alia yang sedang duduk minum teh panas dalam keadaan bersimpuh dia nampak termengah- mengah menahan penat setelah siap membantu mengemas dapur yang berselerak dan menyusun pinggan mangkuk.
"tak taulah makcik, Alia pun dah rasa penat sangat ni.. tak taulah kalau abang Ally larat lagi sebab dia yang akan memandu kereta"
"Bagitau abang Ally kau tu.. balik besok sajalah.. rehat dulu."
Lina yang dari tadi mendengar perbualan Alia dan Mak Utih mengesyaki bahawa Alia itu tentunya mempunyai hubungan istimewa dengan bekas kekasihnya Ally.
"Lambat lagi ke..?"
Terdengar suara Pak Utih sudah memanggil pulang, mungkin menyedari hanya beberapa orang sahaja yang tinggal, tetamu yang lain sudah lama pulang ke rumah.
"Mari Alia.. kita dah kena panggil.. jumpa saudara- mara dulu, minta diri untuk pulang".
Mak Utih mengajak Alia bersalam dengan orang perempuan yang ada di situ dan akhir sekali Lina.
"Alia.. kenalkan ini isteri arwah.. Lina.."
Alia hulurkan salam.
"Takziah kak..."
Alia kekok menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Alia.
"Jaga baik- baik kekasih awak tu dik.. jangan kecewakan dia lagi.."
Kata- kata Lina itu membuatkan Alia terpingga- pingga tidak mengerti, Alia memandang wajah muram Lina yang begitu sedih dan mata Lina yang cantik itu turut basah digenangi air mata.
"Kami.. belumm.."
"Tak mengapa dik.. asalkan ada rasa sayang.."
Alia semakin tidak mengerti akan maksud kata- kata Lina itu.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, Ally dan Alia mengikut dari belakang, manakala pak Utih dan Mak Utih berjalan dihadapan dengan bantuan suluhan lampu picit warna kuning.
"Cantik betul suasana malam ini ya.. abang Ally.."
Alia dengan senyum terukir memulakan bicara.
"Cantik sebab malam ini cuaca cerah dan awan pun dapat dilihat.. cahaya bulan purnama memancarinya."
"Biasanya kalau malam bulan purnama macam ni apa agaknya orang kampung buat yea.."
Ally diam sekejap.
"Buat apa.. tidur jelahh., kat kampung ni bukan ada tempat hiburan macam kat K.L"
"Ala.. takkan takde, macam hiburan tradisi ke.."
Ally cuba memikirkan sesuatu.
"Oo.. kat kampung.. kalau kampung Lubuk Puyu ini lebih kurang lima belas tahun yang lalu kami di sini  biasanya akan mengadakan persembahan MakYong, Menora dan paling mendapat sambutan adalah Dikir Barat, lebih- lebih lagi jika ia diadakan pada malam bulan mengambang, ini kerana pada malam empat belas hari bulan.. mengikut kata Joghro.. iaitu penyanyi kumpulan dikir, malam empat belas dikatakan malam bulan jatuh ke riba."
"Hah.. jatuh ke riba, macam mana tu..?"
Alia pura- pura tak tahu..
"Jatuh ke riba tu.. err.. contohnya sesuatu yang selama ini jadi impian dan keinginan tetapi ia seperti mustahil untuk dimiliki tetapi akhirnya ia dapat dicapai..., Ishh Alia ni buat- buat tak tahu pulak.."
Alia tersenyum simpul dengan kata- kata Ally.
"Err.. contohnya pungguk rindukan bulan.. atau Alia rindukan abang Ally, macam tu..?"
"Eh..arr, betul juga tu.."
Ally memaksa anggukkan kepala dan lepas tu terus terdiam, Alia pula rasa senang hati kerana berjaya memerangkap kata- kata Ally. Dia menjeling dan kenyitkan mata kepada Ally, bila Ally buat- buat marah Alia pun panjangkan langkah dan berjalan pula beriringan dengan Mak Utih.
"Alia takut ke..?"
Tanya Mak Utih bila Alia tiba- tiba pegang tangannya.
"Takk.. abang Ally tu nak usik Alia..."


Sudah masuk hari kedua Dayang Rahmah berada di KL, Ally masih lagi belum menampakkan diri.. esok adalah hari terakhir dia disini dan lusanya Dayang Rahmah kena masuk kerja semula. Sepucuk surat tawaran kerja yang ditujukan untuk Ally masih tersimpan kemas di dalam beg. Dayang Rahmah berusaha keras agar Ally diberi peluang untuk mengisi jawatan yang disediakan, malah sewaktu bermusyarat dengan pihak pengurusan, Dayang Rahmah dengan bersungguh- sungguh mencadangkan nama Ally walaupun dibantah oleh beberapa orang pegawai atasan lain, ada juga yang mempersoalkan status kerakyatan tetapi selepas berhujah dan atas peranan dan pengaruh Pangeran Bakar akhirnya Dayang Rahmah dapat mempengaruhi ahli mesyuarat dan berjanji akan segera mendapatkan tandatangan persetujuan daripada Ally secepat mungkin. Sekiranya Ally tidak juga datang Dayang Rahmah berhasrat akan menghantar telegram ke kampungnya dan merayu agar Ally terbang terus ke Brunei, Dayang Rahmah tidak mahu dia akan dimalukan oleh kakitangan pejabatnya yang lain memendangkan kesungguhannya memuji dan memberi keyakinan yang tinggi bahawa Ally pasti akan menerima tawaran tersebut.
Ally menyambung semula kerja penyuntingan off-line yang tertangguh beberapa hari yang lalu. Hari ini Ally akan membuat penyuntingan terakhir dan memasukkan credit tittle sebelum pada hari berikutnya akan di preview kepada pengarah dan tenaga kerja produksi. Proses yang akan dibuat ini lebih mudah jika dibandingkan dengan proses on-line kerana pada peringkat on-line segala kekurangan dan kelemahan setiap visual akan ditangani sebaik mungkin dan kreativiti editor adalah menjadi paling penting untuk menentukan produk itu berjaya atau terpaksa dibuat penggambaran semula dan proses ini kadangkala terpaksa memakan masa berpuluh- puluh hari dibandingkan proses off-line yang hanya perlu memasukkan elemen efek dan menyelaraskan audio dan visualnya. pada slot terakhir dan bersedia memasukkan credit tittle sebelum pengarah memberi cadangan muzik pada preview selepas ini. Selepas satu jam membuat kerja Ally berhenti rehat sambil menikmati kopi kapucino yang dibuat sendiri dengan memasukkan serbuk kopi ke dalam cawan air panas yang sememangnya disediakan di bilik makan studio Take On Picture ini. Ketika sedang menghirup kopi, Ally baru teringatkan poskad yang diambil sewaktu balik ke kampung bersama Alia tempoh hari. Dikeluarkan poskad dari beg sandang yang selalu dibawa itu.. dibaca catatan yang ditulis;
"Ally.. saya di sini sedang usahakan satu pekerjaan untuk awak, di harap dapat bertemu di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 15-17 September.... Sekian semoga ketemu : Dayang.."
Ally melihat kalendar meja di depannya menunjukkan tarikh 16 haribulan, dia terkejut dan segera menyambung semula kerjanya kerana pagi esok dia mesti berjumpa Dayang Rahmah.

Waktu sekarang sudah hampir 10.00 pagi, kelibat batang hidung Ally tidak kelihatan. Dayang rahmah sedang bersiap untuk keluar dari bilik hotel, rasa sangat kecewa dan tidak bersemangat sekali, entah bagaimana hendak menghadapi pertanyaan rakan- rakan tentang status pekerja baru di RTB. Dayang Rahmah sangat malu kepada semua terutama kepada rakan yang banyak membantu iaitu Pangeran Bakar, dia terlalu yakin dengan Ally dan terlupa bahawa masa dan persekitaran boleh merubah sesiapa sahaja begitu juga dengan Ally.
"Ally dah temui keriangan di negaranya tak mungkin Ally berminat lagi hendak mencari rezeki di Brunei".
Itulah sangkaan dan bisik hati Dayang Rahmah, dengan perlahan dia menyusun pakaian ke dalam begnya.
"Assalamualaikum.. "
terdengar salam diberi, dayang Rahmah kenal suara itu.. suara orang yang dinantikannya dia lupakan apa yang dilakukannya sekejap, terus meluru membuka pintu..
"waalaikummussalam.. Ally Alhamdulillah nyaris- nyaris kita berselisih, apa khabar sekarang ?"
"Baik- baik saja.. Dayang bagaimana ?"
"Aduhh.. saya sihat cuma saya hampir pasti kecewa sekiranya Ally sampai akhir tidak datang.."
"maaflah Dayang.. mungkin saya sekarang dalam keadaan kelam kabut, banyak kerja hingga lupa mengingati tarikh ini.."
"untuk pengetahuan Ally buat masa sekarang saya kena bertolak ke KLIA, bagaimana kalau kita bicara di dalam teksi sahaja.."
Dayang Rahmah mencadangkan sambil tangannya ligat menyambung semula kerja mengemas barangan ke dalam beg.
"okey.. serahkan beg kamu, biar saya sorong sampai ke bawah.."
Dayang Rahmah menghulurkan sebuah beg pakaian yang besar kepada Ally, sementara dia masih memasukkan barang peribadinya ke dalam beg yang lebih kecil.
"okey... kamu tunggu saja di lobi ya.."

Dayang Rahmah menyarankan kepada Ally.

Teksi merah putih sudah menunggu di depan hotel, mereka masuk dan duduk di bangku belakang. bila perjalanan sudah agak jauh meninggalkan hotel, Dayang Rahmah mengeluarkan sekeping kertas dari beg kecilnya.
"Ini surat tawaran kerja, kontrak setahun jika berpuas hati boleh disambung, kerjanya menyelia kerja- kerja di studio RTB dan jika ada kerja tambahan misalnya perlu membuat kerja- kerja editing.. lain bayaran lagi. Diharap sangat bila Ally sudah di sana kita boleh sama- sama memahami kehendak hati, mungkin sebelum ini kita tidak cuba memahami antara satu.."
Ally terpegun membaca surat tawaran yang tak dijangkanya itu. Dayang Rahmah membiarkan Ally memahami surat itu sepenuhnya.. setelah habis membaca surat itu Ally termenung dan memikirkan sesuatu, dia jadi serba salah Dayang Rahmah mengeluarkan pen dari tas tangannya..
"nah.. kalau sudah baca sila tandatangan"
Ally tidak berkata apa -apa dia teragak- agak untuk tandatangan.
"Ally, aku bersusah payah bentangkan nama kamu dalam mesyuarat dan terbang ke sini semata- mata untuk dapatkan persetujuan kamu.."
teksi yang mereka naiki sudah masuk ke daerah Sepang dan beberapa minit lagi akan memasuki kawasan KLIA
"Ayuh.. turunkan tandatangan, hal yang lain jangan difikirkan.. soal rumah, boleh saja kita minta Pangeran Bakar uruskan rumah kamu yang dulu di Tanah Jambu, kenderaan dan pembantu rumah juga bayaran apa itu orang Malaysia panggil.. utiliti semua ditanggung pihak kerajaan.. ops.. satu perkara lagi, tiket penerbangan juga diuruskan"
"Dayang.. macam mana jika nanti saya tak dapat penuhi tawaran ini ?"
Tanya Ally dia masih lagi belum turunkan tandatangan.
"Ally.. kamu sign saja jika nanti terjadi seperti apa yang kamu katakan aku akan tanggung ganti ruginya kerana sayalah yang beriya- iya sangat mahikan kamu.."
Dayang dengan tegas nyatakan pendiriannya.
"Tapi.. Dayang"
"Ally.. kita dah sampai dah saya harus segera melapor ke balai berlepas jadi tiada masa untuk berfikir lagi, tiga hari saya di sini hanya untuk berunding dengan kamu jadi sekarang saya sudah kelewatan.. tolong sign.."
Ally tiada pilihan lagi dan terus tandatangan di surat tawaran tersebut, selepas menyerahkan surat tawaran itu Dayang rahmah minta diri, dia menyalami dan mencium tangan Ally.
"Aku tunggu kamu di sana Ally.."
Ally anggukkan kepala
"Sampaikan salam saya kepada Pangeran Bakar"
"Insyallah.."
Selepas turunkan barang- barang Dayang Rahmah, dengan menggunakan teksi yang sama Ally minta agar dihantar ke Cheras.

Waktu sampai di rumah Shida, dia sedang menyiram pokok- pokok bunga yang cantik berkembang di sekeliling rumahnya, Ally turut membantu Shida menyusun pasu- pasu bunga yang sudah tidak digunakan lagi. selepas berpeluh membantu Shida mereka masuk ke dalam rumah, Shida menyediakan minuman sejuk.. Ally lihat perubahan pada penampilan Shida yang nampak tidak terurus dan tidak banyak bercakap.. sesekali Ally nampak Shida merenungnya dengan pandangan yang lain daripada kebiasaan. Sambil minum jus epal yang disediakan oleh Shida, Ally tunjukkan surat tawaran kepada Shida. Shida yang duduk bertentangan dengan Ally beralih duduk di sebelah Ally.
"Dah tandatangan.. setujulah ni.."
Ally terpaksa ceritakan semula apa yang berlaku yang menyebabkan dia terpaksa kena tandatangan surat tawaran kerja yang diberi oleh Dayang Rahmah. Shida mendengar dengan hati yang berbelah bagi antara sayang dan cemburu.
"Engkau dah ada pengalaman kat sana Ly, tidak menjadi masalah untuk sesuaikan diri.. bukan apa tapi terdetik juga dalam hati aku jika kau jumpa seseorang di sana dan tak pulang lagi.. sebenarnya Ly.. kalaulah aku tak fikirkan tentang orang lain, mahu saja aku suruh kau ambil saja aku menjadi teman hidup kau Ly.." "Shida.. you okey ke ?".
Ally terkejut kerana tidak menyangka Shida akan berkata demikian. 
"Tak ada gunanya aku sembunyikan perasaan ini dari kau Ally.. kita dah kenal lama, hati budi kau aku tahu.. semalam aku bertekak lagi dengan Alia.." 
"Kenapa Shida.. pasal apa ?". 
Ally tidak sabar untuk mendengar penjelasan dari Shida, dia betulkan duduknya dan mengadap berdepan dengan Shida. 
"Aku harap kau dapat terima dan memahami apa yang hendak ku katakan dan terbuku dalam hati ini Ly.." Shida dengan wajah yang sugul dan penuh mengharap agar Ally dapat menerima apa yang diperkatakan. "Aku sedia mendengarnya Shida.." 
"Apa pandangan dan anggapan kau terhadap Alia Ly ?" 
"Alia.. dia seperti adik kandungku sendiri.." 
Ally menjawab dengan yakin. 
"Tapi Alia tidak sekuat mamanya Ly.. kalaulah dia mempunyai semangat yang kuat sudah tentu aku akan membawa kau ke dalam kehidupan kami.. tapi kerana fikirkan tentang Alia.. aku terus berfikir betapa aku akan pentingkan diri sendiri.. masih tak puas dan tak serik dengan perkahwinan yang lalu.. itulah yang Alia hamburkan kepada aku bila aku berbincang dengannya semalam.. Alia juga cintakan kau Ally.. dia terlalu mentah.. mula tunjukkan sikap kurang ajarnya kepada aku.. apa saja boleh terjadi dengan keadaannya itu Ly..".

Ally seperti tidak percaya dengan apa yang diceritakan kepadanya tetapi setelah mengingatkan layanan Alia kepadanya sejak kebelakangan ini Ally dapat mempercayai kata- kata Shida. 
"Shida.. jika diberi pilihan kaulah yang aku pilih.." 
saat ini Shida tidak dapat lagi membendung air matanya dia rebahkan kepalanya ke bahu Ally, dengan teresak- esak Shida meneruskan kata- katanya. 
"Aku juga begitu Ly.. tapi walaupun aku tidak membantah akan cinta Alia.. tapi aku tak sanggup menerima orang yang aku cintai menjadi menantuku.. aku tak berdaya setiap hari melihat cintaku bersama Alia.. aku cemburu Ally.. kalau aku menerima kau apa pula akan terjadi kepada Alia.. hanya dialah yang aku ada dalam dunia ini Ly.. lagipun masa depannya.. pelajarannya.. akan terjejas.. aku tak nak Alia jadi seperti aku, tanpa arah tuju.. dan kadang- kadang macam memburu bintang, cukuplah hanya aku yang merasai peritnya hidup ini Ly.. Ally.."
 Shida memeluk Ally dengan lebih erat lagi. 
"Ia Shida.." 
"Bolehkah kiranya engkau menerima sahaja tawaran ke Brunei dan selepas ini selagi Alia belum menemui penggantimu, engkau jangan datang lagi atau menemuinya walau di mana pun.. semalam Alia nak bawa pakaiannya untuk bersama kau.. dia juga sanggup tinggal di kampung kau.."
 "Shida bolehkah aku jumpa dan nasihatkan Alia untuk kali terakhir ?" 
"Jangan Ally..jangan, dia bukan lagi Alia yang engkau kenali dulu.. dia bukan lagi budak kecil yang dengar cakap kita.. pertemuan kau dengan dia akan menyukarkan lagi keadaan.." 
Shida lepaskan rangkulannya dan bertentang mata dengan Ally. 
"Ally.. Alia dah nak pulang dari sekolah.. boleh ke kau tinggalkan tempat ini sekarang..?" 
kesedihan dan kesyahduan Ally juga tidak dapat ditahan lagi, dia segera keluar dari rumah Shida tanpa menoleh ke belakang lagi. 
"Ally..." 
terdengar panggilan dari Shida, Ally matikan langkah tetapi masih tidak berpaling. 
"Bolehkah kau panggil aku buat kali terakhir dengan panggilan yang paling kau suka..?" 
dengan menitis air mata Ally bersuara. 
"Selamat tinggal kak Shida.." 
Ally menahan teksi yang kebetulan lalu di situ. Shida masih menangis duduk di tempat Ally duduk tadi.. kerana cinta, hubungan yang bertahun terjalin akhirnya terpaksa menerima perpisahan yang dia sendiri tidak ingini.. Ally yang selama ini begitu tulus menjalin hubungan dengannya, biarpun Shida kadangkala menyedari antara mereka ada perasaan kasih yang sama, tetapi hari ini Shida terpaksa mendengar ungkapan "Kak Shida" dari Ally.. suatu panggilan yang sangat asing dan pahit untuk diterima. 
"Benarkah apa yang mama lakukan ini Alia.. maafkan mama, mama terpaksa lakukan semua ini sayang.." Shida bermonolog melayan perasaan sedihnya.. dan hari ini awan mendung berarak di langit menandakan hujan akan menyirami bandaraya Kuala Lumpur.

Selepas pulang dari melawat sepupu Ally yang meninggal dunia seminggu yang lalu Alia belum lagi berjumpa Ally, rasa rindu dan ingin menatap wajah impiannya semakin menebal, Alia juga hairan kenapa Abang Ally tak menjenguk ke rumahnya, timbul juga sangkaan bahawa mungkin abang Ally sakit atau tiada di KL.

“Tapi mengapa abang Ally tak telefon mama, mungkin mama telefon waktu dia tiada di rumah.. ahh aku kan ada nombor telefonnya”.
 Alia cuba menghubungi Ally berkali- kali tetapi tidak
berjaya. Hari ini entah berapa puluh kali dia cuba menghubungi Ally tetapi tetap juga tidak dapat dihubungi.. usaha itu dilakukan hingga ke malam tetapi tetap sama, terdetik juga di hati Alia untuk bertanya mamanya tetapi mengenangkan peristiwa pertengkaran dengan mamanya semalam menyebabkan Alia pendamkan saja
hasrat itu. Shida perasan dengan kegelisahan anaknya tetapi hanya memerhati dan membiarkan sahaja perlakuan Alia, dia tak akan menceritakan apa yang terjadi antara dia dan Ally kepada Alia. Bersedih dengan keadaan itu Alia berkurung di dalam biliknya tanpa berbuat apa- apa walaupun banyak kerja sekolah yang perlu disiapkan, Alia tidak berupaya lagi untuk memikirkan hal lain selain daripada Ally. Untuk menghilangkan rasa rindu Alia akan melihat gambar Ally dan mengingati kembali kenangan bersama Ally terutama ketika memegang tangan dan tidur di sebelah Ally dalam bas ekspres Mutiara.

Shida naik risau bila Alia belum sampai ke rumah lagi sedangkan waktu sekarang sudah hampir pukul enam petang, pada kebiasaanya waktu- waktu begini Alia sudah berada di rumah dan sedang membuat sesuatu seperti berkemas rumah atau menonton drama klasik cina The Last Emperor
“Alia.. di mana kau nak..” 
Shida memandang gugusan mawar putih yang mekar berkembang dengan kelopaknya yang tersusun berlapis tindih menindih antara satu menjadikan jambangan mawar hidup di dalam pasu tanah berwarna biru itu jadi idaman oleh siapa saja yang memandangnya, Shida begitu bimbang jika Alia juga digemari oleh sang kumbang yang rakus sebagaimana gugusan mawar putih itu.
            Dalam rasa kecewa dan hampa Alia melangkah pulang ke rumah bila senja mula menjelma, burung- burung gagak bising berebut tempat bermalam di atas pokok angsana di kejiranan itu. Kelihatan Shida sedang memerhatikan Alia di beranda rumahnya, kerungsingan di wajah Shida mula hilang, Shida melihat anaknya yang sedang membesar melangkah pulang, alangkah bagusnya jika ketika ini ayah Alia ada bersama tentu Alia tidak akan pulang selewat ini.

Bila Alia sampai di rumah Shida sudah tiada lagi di beranda. Alia juga rasa bersalah dan menyesal kerana bersikap kasar dengan ibunya. Pada mulanya terdetik juga di hati Alia untuk mencium tangan dan memohon maaf daripada ibunya, tetapi Alia tak tahu ke mana pergi mamanya waktu senja begini..

Sudah tiga hari Alia tidak Berjaya menghubungi Ally dan hari ini dia akan ke Taman  Melawati untuk mencari Ally. Selepas pulang dari sekolah Alia tida balik ke rumah tetapi dia terus ke Jalan Bandar dengan teksi, Alia turun di depan medan selera dekat Restoran Nora, dia membeli teh sejuk untuk diberi kepada Ally. Sampai di studio Take On Picture Alia terus naik ke tingkat atas di mana dia mengikut anak panah yang tertulis ‘Studio on-line, off-line dan final-mix tingkat 1’ sewaktu di tangga Alia berselisih dengan beberapa orang artis yang baru keluar dari studio. 
“Adik nak cari siapa..?” 
Tanya seorang dari mereka yang Alia rasa adalah pekerja di situ. 
“cari abang Ally..”
 “Ally.. dia dah seminggu selesai kerja di sini.. tak sambung lagi..” 
“jadi.. dia kerja kat mana pula..?” 
“Entahlah dik tapi katanya dapat job baru tawaran lebih gempakk.. tak pula dia bagitau kat mana..” 
“kalau begitu tak mengapalah.. terima kasihlah bang..” 
Alia sangat hampa dia meninggalkan tempat itu dengan langkah yang lesu, air mata menitis dilapkan dengan sapu tangan kecil yang dikeluarkan dari saku baju kurung polosnya. Alia tiada semangat untuk segera pulang ke rumahnya, dia rasakan hidup hilang haluan.. tiada lagi orang yang menjadi tempat dia bermanja, ketika minum di restoran Nora tadi ada juga Alia bandingkan antara kasih kepada seorang kekasih atau kasih kepada seorang abang tetapi Alia membuat penilaiannya sendiri bahawa dia boleh menjadi kedua- duanya tetapi yang membezakan antara dua perasaan itu adalah cemburu.. Alia rasa amat cemburu jika Ally dan mamanya duduk bersama sambil bercakap- cakap dengan mesra, hanya perasaan itulah yang membuatkan Alia percaya bahawa dia sedang menyintai Ally.

Sudah dua bulan Ally berada di wilayah awda di pulau Borneo ini. Ally kembali sekali lagi ke Tanah Jambu mengutip semula kenangan sewaktu berada di sini untuk pertama kali dulu.. kehadiran kali kedua ini tidaklah seceria dulu, jika dulu apabila saja kaki memijak bumi Brunei, keriangan dan rasa bertuah menyusul bersama tetapi kali ini sehingga ke hari ini ketenangan seolah tidak mahu menyapa. Ally dicengkam rasa terkilan dan kecil hati dengan apa yang berlaku di rumah Shida dulu.. perasaan kasihnya kepada mereka berdua telah membuatkan Ally benar- benar berasa tidak menentu dan kosong walau Ally menyedari kehidupannya di sini boleh saja lebih bermakna kerana adanya Dayang Rahmah dan kemakmuran negeri ini.
Dan waktu solat jumaat bersama Pangeran Bakar di masjid Sultan Shariff Ali tadi Ally memujuk hatinya untuk merasa tenang dan penuh syukur, syukur kerana berada di tempat ibadat antara yang paling mewah di dunia, sekali kaki melangkah masuk terasa begitu ketara dengan kedinginan dan hamparan permaidani yang indah, lembut dan tebal bagaikan tetamu raja di Istana, rasa bertuahnya badan dapat menumpang kemewahan berkat kemurahan hati seorang Sultan Melayu yang terkaya ini. Ally juga cuba menghapuskan rasa kecewa bila mengingatkan peristiwa yang menyebabkan wilayah kecil ini tidak bersama gagasan Malaysia, bukanlah untuk mengharapkan kekayaannya tetapi kekuatan bangsa dan maruah Melayu akan lebih dipandang hebat oleh masyarakat dunia. Bersolat di masjid berkubah emas tulen itu juga dapat menyedarkan para jemaah betapa daif dan miskinnya kita sebagai makhluk Allah sedangkan nikmat yang teramat- amat kecil ini pun kita sudah begitu kagum apatah lagi dibandingkan dengan nikmat syurga yang tak terfikirkan oleh manusia dan segala kekuasaan Allah yang maha hebat itu.
Selesai menunaikan fardu jumaat, Ally dipelawa oleh Pangeran Bakar untuk pergi minum di Pantai Serasa, dan bila di sana tadi Pangeran Bakar telah cuba berperanan sebagai pengantara untuk merapatkan lagi hubungannya dengan Dayang Rahmah antara ayat- ayat yang cuba memerangkap Ally adalah..
"Sendiri lagi lah nampaknya Dayang tu.."
Pangeran Bakar memulakan perbualan sewaktu mereka berjalan ke sebuah gerai yang menjual minuman sejuk selepas meletak kereta di bawah teduhan pokok rhu yang meliuk perlahan ditiup angin pantai.
"kenapa pula, selama ni pun dia kan berseorangan juga ?"
Ally berkerut dahinya kerana tidak faham maksud kata- kata Pangeran Bakar itu.
"Bulan depan kedua orang anak angkatnya akan belajar di Kolej Petronas di Terengganu jadi tiada bertemanlah beliau di rumah, Ally.. awak tak ada niat ke nak meminang Dayang Rahmah.. kalau awak berminat saya boleh aturkan.. saya tengok pun Dayang tu berminat sangat dengan kamu."
Pangeran Bakar bertanya dalam nada bersahaja tetapi riak wajahnya nampak ikhlas dan cuba menduga hati Ally.
"Ala.. tak payahlah nak susah- susah untuk saya kalau ada jodoh bukan setakat Dayang Rahmah dengan penyanyi Dayang Nur Faezah pun saya terima Pangeran..."
"Jadi, kamu setujulah Ally..?"
Pangeran Bakar lebih bersemangat.
"Itu kalau dah jodoh, tapi buat masa sekarang jika dia jadi isteri muda Pangeran rasanya saya cukup menyokong.."
Ally ketawa, Pangeran Bakar terdiam dan selepas itu dia juga turut ketawa..

Bila lamunannya beransur pergi, Ally memandang pokok terap yang ditanam dulu..
".. sudah paras telinga pokok ini"
Pokok- pokok hiasan lain pula membesar dengan bebas dan tidak terurus, ada yang menjalar memanjat tembok batu setinggi lima kaki hingga mengotorkan tembok bercat kuning air itu. Ally ke setor di belakang rumah untuk mengambil gunting dan peralatan memotong pokok. Di dalam setor yang berukuran sepuluh kaki persegi ini bermacam barang disimpan dari alatan perkebunan hinggalah perkakas baik pulih rumah, masih tidak terusik macam dulu juga cuma labah- labah yang galak memasang jala di segenap sudut.
Hampir dua jam Ally membaik pulih keceriaan lamannya.
"Ahh.. tampak kemas dan damai halaman ini.."
Ally berpuas hati dengan kerja- kerja tamannya. Ally sudah gondolkan pokok borgenvilla, buang daun kering pisang khaki dan membuang tunas- tunas pokok bird of paradise yang tidak diperlukan, Ally juga menyusun atur  bangku dan meja batu di tempat yang sesuai. Sewaktu memindahkan bangku batu dari tempat asalnya ada seekor ulat gonggok yang tergeliat- geliat di celahan rekahan tanah lembap, Ally segera teringatkan ulat daun pisang yang jatuh atas lengan Alia sewaktu Alia mengait jantung pisang di kampungnya dulu.
"Bagaimana khabarnya Alia sekarang.. adakah dia tahu cerita yang sebenarnya.."
Tentang kisahnya yang sekarang bekerja di sini, tidak pernah Ally memberitahu sesiapa tentang lokasinya kini selain daripada Shida dan dalam minggu ini Ally berkira untuk keluar  membeli poskad di Bandar Seri Begawan untuk di kirim ke kampung, sebagai makluman dan restu daripada orang tuanya. 
Ally mengesat lagi peluh yang menitik dari bawah dagu dan hujung keningnya yang lebat hitam itu. Ally bangun dari tempat duduknya, dia masuk ke dalam rumah mengambil jus oren dan keluar semula duduk di bangku batu sambil menikmati tiupan angin kering  yang berhembus perlahan, terasa dingin bila kulit badannya yang melekit peluh disapu bayu. Setelah menghabiskan segelas oren Ally memandang ke pintu pagarnya, sebuah kereta mewah membelok masuk ke halaman rumahnya, Ally dapat mengagak tuan punya kereta itu.. sebelah kaki berkulit putih dengan sopan menjulur keluar turun dari kereta bila pintu sebelah pemandu dibuka, kaki yang cantik beralas kasut tumit tinggi warna putih, Dayang Rahmah berbaju kurung  merah  melangkah penuh yakin ke arah Ally.
"Wahh  cantiknya laman kamu ini macam nak terus duduk di sini.. eloklah tuu"
Dayang Rahmah memuji penuh makna.
"Aaa Dayang dari mana ni ?"
"Dari tempat kerjalah.. mana lagi.. dah makan ke ?"
Dayang Rahmah meletakkan bungkusan  makanan di atas meja batu di depan Ally.
"Nasi sup ayam dengan hati buyak.. boleh ke ?"
"Boleh.. tapi buat susah awak saja ni Dayang.."
"Eh.. taklah kebetulan kita juga nak beli juadah untuk anak- anak kat rumah, jadi tak payahlah nak masak lagi.. masuk kerja jam berapa ?"
"Jam 10 malam ni hingga jam 2 pagi.. ingat tak nak sambung  sampai besok pagilah.. penat. ngantuk nanti.."
"Err kalau macam tu apa kata pagi besok kita breakfirst bersama.... dekat pelabuhan Muara.. esok saya masuk kerja lewat sikit sebab paginya guru sekolah Rina dan Rini anak saya tu nak jumpa.. macam mana, boleh ke ?"
"Belum pasti lagilah Dayang.. aa dengarnya bulan depan anak- anak awak akan mula belajar di Terengganu.."
Ally sengaja mengalihkan topik perbualan
"Ya.. benar begitu tapi saya tak biasa di sana, apa kata Ally ikut bersama kita... ahh Terengganu itu kan tak jauh dari Kelantan, apa- apa pun tentang hal ni kita bincang lain kali saja, err untuk esoknya saya datang jemput Ally.. lepas tu kita sama- sama ke tempat kerja.. ok ?"
Ally  tak dapat berkata apa- apa lagi dan hanya anggukkan kepala sahaja, setelah menghulur salam Dayang Rahmah minta diri untuk pulang. Ally mengiringi Dayang Rahmah menuju ke keretanya.
"Assalamualaikum.."
Dayang Rahmah mengucapkan salam sebelum masukkan gear ke 'D' dan bergerak menuju ke jalanraya.

Deretan kapal dagang dan kapal tangki yang keluar masuk ke pelabuhan Muara menjadikan laut di teluk Brunei ini tidak pernah tidur, bila waktu malam pula taburan cahaya lampu kapal membuatkan permukaan laut berkilauan seperti sekumpulan kunang- kunang di sungai dekat Kuala Selangor. Pagi ini Ally dan Dayang Rahmah menikmati sarapan pagi pulut bakar sambal daging dengan teh merah.. Dayang Rahmah memerhatikan Ally makan, beberapa kali dicuba untuk bertanyakan sesuatu kepada Ally  tetapi tidak terluah.
"Ada apa - apa ke yang hendak di cakapkan ?"
Ally bertanyakan Dayang Rahmah kerana dia lihat seperti ada sesuatu yang hendak dikatakan oleh Dayang.
"Err.. tak ada apa- apa cuma soalan bodoh sahaja..."
"Apa dia..?"
Ally tersenyum dengan gelagak Dayang Rahmah yang keanak- anakan.
"Ally.. pernah tak kamu keluar makan seperti ini dengan sesiapa sebelum ini.. ?"
"Oh itu rupanya soalan bodoh kamu.. jawapan bodohnya adalah... pernah.. kenapa ?"
"Umm.. maknanya Ally pernah punya teman istimewa lah..?"
Dayang Rahmah muram dan nampak kecewa.
"Saya tak kisah.. jika sekarang ni pun saya dan awak minum pagi.."
"Maksud kamu makan berdua begini sudah menjadi kebiasaan ?"

Dayang Rahmah tidak menduga bahawa Ally tidak menganggap makan atau minum berdua seperti sekarang ini sesuatu yang istimewa seperti yang disangkakan oleh Dayang Rahmah.
"Dayang.... walau tanpa pertemuan ataupun duduk bersama tetapi bagi saya itu semua adalah tidak cukup untuk membuktikan  perasaan  seseorang jika hati sudah saling mengenali walau di mana atau bagaimana pun hati dan perasaan dapat terus berbicara.."
Dayang Rahmah berkerut dahinya, dia dapat merasai bahawa Ally sedang menyindir dirinya.
"Awak sindir  saya ke ?"
"Tidak... saya mengatakan apa yang saya rasa.."
"Oh.. begitu"

Dayang Rahmah jadi terkedu dengan ketegasan Ally dalam menyatakan pendiriannya, Dayang Rahmah tidak menyangka Ally sudah tidak semesra seperti kali pertama tinggal dan bekerja di Brunei dulu, ada sesuatu yang menganggu fikirannya.

Ally dan Dayang Rahmah satu kereta ke tempat kerja, dalam perjalanan dari pelabuhan Muara ke stesyen RTB mereka tidak banyak bercakap, masing- masing melayan perasaan sendiri, begitu juga semasa mengisi minyak di stesen Shell tadi pun hanya terdengar rungutan dari Dayang Rahmah tentang deretan panjang kereta yang ingin mengisi minyak, tidak sepadan dengan status negara yang sepatutnya dapat menyediakan lebih banyak lagi stesen pam minyak dan Ally mencelah dengan mengatakan rakyat Brunei tetap bertuah kerana mereka adalah rakyat yang dapat menikmati harga minyak paling murah di negara ASEAN dan seharusnya mereka kena bersabar sedikit.
Mereka sampai di perkarangan stesyen RTB, pengawal keselamatan berbangsa Gurkha keluar dari pondok pengawal dan membuka pintu pagar, Gurkha yang bernama Rajiv ini memang tegas walau dengan pekerja RTB sendiri pun dia tetap memeriksa dan menjenguk ke dalam kereta, bimbang kalau ada apa- apa barangan larangan atau senjata dibawa masuk. Dayang Rahmah dengan tenang meletakkan keretanya di garaj yang ditanda 'BR113 Pen. Pegawai' iaitu garaj yang dikhaskan untuknya, sewaktu mereka berdua keluar dari kereta kelihatan Pengiran Abdul Rahman iaitu seorang penerbit rancangan televisyen sedang
memerhatikan mereka. Pangeran Abdul Rahman adalah seorang yang kaya raya dan sudah mempunyai isteri, melalui Pangeran Bakar, Ally diminta agar berhati- hati bila berkawan dengan Dayang Rahmah kerana Pangeran Abdul Rahman ada menaruh hati dan sudah berulang kali menyatakan cintanya kepada Dayang Rahmah tetapi Dayang Rahmah yang masih solo itu menolak cintanya kerana tidak mahu melukakan hati Dayang Mahani iaitu isteri Pangeran Abdul Rahman, Dayang Mahani adalah kawan Dayang Rahmah sewaktu mereka belajar di Universiti Nanyang di Singapura tetapi persahabatan mereka jadi renggang bila Dayang Mahani merampas Pangeran Abdul Rahman yang ketika itu menjadi kekasih Dayang Rahmah dan mungkin disebabkan peristiwa itulah Dayang Rahmah tidak ada kekasih dan terus membujang sampai sekarang.
"Err.. ally nak balik nanti bagitau ya.." 
Dayang Rahmah sengaja kuatkan suaranya supaya didengar oleh Pangeran Abdul Rahman.
"Umm.. tengoklah nanti kalau tak ada orang nak hantar.. saya bagitau.."
Ally mula kerja hari ini pukul sepuluh pagi dan hari ini Ally akan memantau kerja- kerja penyuntingan drama 30 episod yang berjudul 'Misteri Di Rumah Nina' drama bersiri ini diarahkan oleh Iskandar, iaitu pengarah muda yang juga selalu menjeling ke ruang pejabat Dayang Rahmah setiap kali dia masuk ke bilik suntingan tempat Ally bekerja. Kalaulah Pangeran Abdul Rahman tahu akan kecenderungan Iskandar ini sudah tentu dia akan berbuat sesuatu tambahan pula penerbit Pangeran Abdul Rahman itu adalah tuan punya syarikat Permata Silau Production.


Ally habis kerja tepat jam enam petang, dia tercari- cari rakan kerja yang boleh ditumpanginya untuk pulang ke Tanah jambu, dilihat kereta Dayang Rahmah masih ada lagi. Ally masuk semula ke dalam bilik kerjanya, duduk disofa di ruang rehat, dia kenang semula pengorbanan dan harapan Dayang Rahmah untuk memiliki cintanya.. usaha Dayang Rahmah untuk memikat hatinya sampai ke Kuala Lumpur, kini Ally sudah berada di sini jauh dari Lina, hilang di mata Shida dan terpisah dari Alia. Tiga orang wanita yang sentiasa dekat di hati Ally, banyak cerita yang melibatkan perasaan sesama mereka dan kini dia dekat di mata Dayang Rahmah yang sememangnya punyai impian untuk hidup disamping Ally.
"Dayang.. andainya kita ditakdirkan ada jodoh aku tak akan lepaskanmu lagi.. tapi Dayang.. sanggupkah kau mendengar kisah- kisahku yang lalu.. kisah yang tak mungkin sanggup kau mendengarnya..." 
Sedang Ally duduk mengelamun, Dayang Rahmah keluar dari biliknya.
"Eh Ally... dah siap.. jom pulang, saya hantarkan.."
"Err...aaa.. baiklah.."
Ally dengan berat hati bangun dari sofa mengikuti dari belakang ke tempat parking kereta.

Posmen dengan motosikal merah masuk ke halaman rumah Mak Uteh, membuka beg besarnya dan seikat surat berbagai saiz di keluarkan, dari ikatan surat- surat itu diambil sekeping poskad dan diberikan kepada Mak Uteh. Mak Uteh menerima dengan senyum dan tertanya-tanya, Lina yang nampak posmen menghantar poskad datang dekat dengan Mak Uteh.
"dari siapa tu Mak Uteh ?"
Lina bertanya dan mencuri pandang poskad di tangan Mak Uteh. Sebenarnya Lina berada di rumah Mak Uteh dengan mertuanya bertujuan mengambil daun pisang untuk dibuat pembungkus kuih sebagai pelengkap juadah untuk tahlil ke 100 hari genap pemergian Madi ke rahmatullah.
"Entahlah.. tolong baca untuk Mak Uteh.."
emak Ally hulurkan poskad kepada Lina.
"cantik poskad ni makcik... err.. ini daripada Ally dari Brunei.. tak adalah dia cakap panjang cuma katanya.."
"Apa khabar mak dan ayah di kampung.. sekarang dah lebih dua bulan Ally bekerja di Brunei, di tempat yang sama seperti kali pertama dulu.. di harap semua dalam keadaan sihat walafiat Assalamualaikum.."
"Itu aje.. ish rupanya kerja di Brunei balik budak bertuah tu.."
"poskad.. Mak Uteh, tak perlu tulis panjang- panjang.. haa ada juga dia tulis alamatnya ni.."
"Elok kau simpan sajalah Lina nanti kalau ada apa- apa Mak Uteh cari Lina... kalau Mak Uteh simpan takut lupa tempat letak pula.. orang tua ingatan semakin tumpul.."
Lina yang tadinya tergerak hati hendak minta dari Mak Uteh untuk menyimpan poskad itu sebagai koleksi telah terpenuhi dan dia rasa gembira, Lina memang gemar mengumpul apa saja yang menarik terutama setem, sejak dari sekolah rendah lagi Lina adalah pengumpul setem yang aktif dan kerana setem itu juga Lina tidak menolak untuk mengambil poskad yang diberi oleh Mak Uteh dan Lina sebenarnya hanya berminat dengan setemnya sahaja. Waktu zaman sekolah dulu pernah juga buku setem Lina dicuri dan banyak juga koleksinya yang hilang, mulai dari itu Lina sudah tidak berminat untuk mengumpul setem hinggalah pada hari jadinya ke 13 ayah Lina hadiahkan buku setem yang comel dan mulai dari itu minat Lina untuk mengumpul setem kembali membara semula dan sehingga kini Lina mempunyai lapan buah buku koleksi setem yang berbagai dan datang dari serata negeri, ada juga yang diperolehi dari rakan- rakan dari luar negara.
"Lina mari tolong mak kumpulkan daun pisang ni.."
emak mertuanya memanggil dari bucu rumah, dia sedang memasukkan daun pisang ke dalam bakul.
"pilih yang mana elok ya.. mak nak pergi ambil yang kat sana pula.."
"yalah mak.."
Rumah Ally memang banyak pokok pisang dan memang ia jadi tumpuan orang- orang kampung untuk mendapatkan daun pisang lebih- lebih lagi jika menjelang hari perayaan ada yang nak buat lemang, lepat, tepung bungkus dan bermacam kuih- muih hinggakan untuk bakar ikan. Ada juga peraih yang nak tempah dan borong semua satu kebun daun pisang untuk dihantar kepada kedai- kedai nasi daun pisang di Lembah Kelang tetapi emak Ally tidak bersetuju kerana orang- orang kampung tidak dapat ambil lagi, emak Ally tidak pernah letakkan harga untuk daun pisangnya dan jika orang- orang kampung letakkan bayaran cukuplah sekadar dapat merasa kuih yang dibalut daun pisang itu saja. Pisang- pisang yang ditanam ini bermula waktu Ally sekolah rendah bila mana Ally cukup suka bermain rakit dengan pelepah pisang pada musim hujan, peristiwa Ally dimarahi oleh jirannya kerana Ally mencuri pelepah pisang hingga gondol, akibat perbuatan itu ayah Ally diberi kata dua dan tuan punya pokok pisang menjaja kenakalan Ally di kedai kopi hingga memalukan keluarga Ally dengan mengatakan ibu dan bapa Ally tidak pandai menjaga anak hingga jadi budak jahat. Akibat dari situlah Pak Uteh mula berazam untuk menanam pokok pisang itupun selepas betis Ally calar- calar kena rotan oleh Pak Uteh, setelah itu Pak Uteh dengan tegas tidak membenarkan Ally menyentuh mana- mana pokok pisang kepunyaan orang kampung itu. Setahun kemudian pokok pisang yang ditanam sudah mengeluarkan hasil dan Allylah yang paling gembira kerana dapat buat sebesar- besar mana rakit pelepah pisang untuk bermain di depan rumah yang digenangi air setiap kali musim banjir di bulan disember.

Lina baru balik dari rumah Madi kerana menolong membuat kuih tepung bungkus, Ita kakak Lina sedang meraut lidi kelapa yang diambil dari pokok kelapa mawar di tepi pagar rumah, sebanyak tiga pelepah yang masih hijau di ambil dari pokok oleh Seman yang kebetulan lalu di depan rumah, selepas diberi upah dua ringgit, Seman yang lurus bendul terus memanjat pokok kelapa yang tingginya lima belas kaki. Selepas tiga pelepah dijatuhkan laman depan rumah jadi lapang dan cerah. Dengan memakai kain sarung batik dan baju T gambar Fido Dido memegang botol 7 up, Ita bersila di atas tikar mengkuang yang dihampar atas rumput di depan rumah.
"Aa.. Lina duduk sini, akak nak bagitau satu cerita yang selama ini kau tak tau.."
Lina hairan dengan kata- kata kakaknya.. dia pelik bahawa masih ada benda yang dia tak tahu sedangkan mereka satu keluarga dan tinggal pula serumah. Lina duduk bersila berhadapan dengan Ita. Lina buka plastik warna merah berisi kuih tepung bungkus, dimakan depan kakaknya.
"Apa dia rahsia tu kak.. ada kena mengena dengan saya ke..?"
"Memang ada kena mengena dengan kau dan sekarang akak tengok kau pun sudah kurang bersedih, jadi sebelum akak lupa kisahnya lebih baik akak cerita pada kau hari ni. ."
Lina menghabiskan tepung bungkusnya, dijilat jari yang tersisa tepung.. Lina bangun mencuci tangannya di paip air yang tersedia di tepi tangga rumah, baju kurung hijau muda terkena percikan air paip di hujung lengan, Lina memerah lengan baju sampai lembab dan berkedut- kedut, Lina duduk semula di atas tikar mengkuang bersama kakaknya Ita dan bersedia mendengar cerita rahsia yang hendak diberitahu kepada Lina.
"Lina.. kau masih ingat dan tahu pasal orang bernama Ally..?"
Nita memulakan ceritanya.
"Ehh.. apa taknya, ingat dan .. kenal sangat, ini pun baru pulang dari rumahnya, kenapa kak ?"
"Tak ada apa- apa cuma jika kau betul- betul mengenalinya senanglah kakak nak bercerita lagipun Ally banyak mempengaruhi dan mengalami kesan dari apa yang akan akak ceritakan.. ingat tak waktu kau kemalangan motosikal masa sekolah dulu.."
"eksiden yang tinggal parut ni..?
Lina menunjukkan kesan parut di lengannya.

Pemuda yang melanggar Lina ketakutan kerana ramai orang sudah mengerumuninya, ada suara yang menyuruhnya bawa ke hospital.. orang ramai mengangkat Lina ke dalam kereta kancil yang melanggarnya. Baju Lina terkoyak dan darah banyak mengalir di lengan. Di hospital Lina ditahan di wad kerana serpihan kaca cermin sisi kereta kancil telah melukai lengannya, terpaksa dijahit dan dibuat cucian berkala. Ayah, ibu, kakak dan adik Lina terpaksa bergilir menemani Lina selama seminggu kerana luka dilengannya menyebabkan ada urat terputus dan Lina diberi perhatian oleh jururawat untuk beberapa hari. Tibalah hari giliran Ita kena menemani Lina..
"Pergi Kota Bharu jumpa siapa..?"
Soalan itulah yang menyebabkan Ita sangat marah dengan Ally, dia tak sangka ada lelaki yang memperdayakan adiknya hingga selalu mengabaikan kelas tambahan semata- mata nak jumpa lelaki itu. Dan kebetulan hari itu Ally telah pergi melawat Lina yang kebetulan pula Lina sedang tidur lena dikatilnya. Ita mengajak Ally ke kafetaria berdekatan.
"Apa awak dah buat dengan adik saya.. tengok apa dah jadi, awak tau ke yang awak telah menyebabkan adik saya tu telah abaikan kelas petang semata- mata nak jumpa awak.. awak tu masih muda jangan awak nak heret adik saya sekali dengan perangai jahat tu.."
Ita dengan keras membuatkan Ally rasa terhina.
"Kalau awak tu banyak duit tak mengapa saya tak kisah awak nak ngorat adik saya.. tu seluar jeans ketat, koyak pula.. awak ni  siapa ha.. tinggal kat mana  ?"
"Saya kenalan rapat Lina kak.. saya cintakan Lina.. Tinggal di Lubuk Puyu.."
"Ohh cintalah tu.. ada hati nak panggil aku kakak... heii budak, dari hari ini aku tak nak tengok lagi muka kau, jangan cuba- cuba nak jenguk Lina di Hospital.. ingat aku setiap masa ada di wad.. kalau kau tak endah kata- kataku, aku tak akan teragak- agak untuk report polis mengatakan bahawa kau cuba nak cabul adik aku kat dalam panggung wayang hari Lina kemalangan tu.."
"MasyaAllah kak.. saya sedikit pun tak terniat seperti yang kakak cakap tu.."
Ally terkejut dengan ugutan Ita.
"Kalau tak nak tanggung susah baik awak tinggalkan tempat ni dan jangan jumpa atau hubungi Lina lagi.. kalau kau betul- betul cintakan dia, kau tunjukkan sejauh mana kau dapat memberi kesenangan dan kebahagiaan kepadanya nanti, bukan sekarang tau.. sekarang masa dia nak belajar.."
Ally tidak mahu lagi mendengar penghinaan dari Ita, dia bangun untuk meninggalkan tempat itu.
"Ingat kak.. saya janji tak akan ganggu Lina lagi, tapi kakak juga kena berjanji dengan saya bahawa kak juga tidak akan membenarkan sesiapa pun menghampiri Lina.. saya nak buktikan apa yang kakak cakapkan satu hari nanti.."
"Aaa.. iyalah.."
Ita menjawab dengan mulut terjuih menyampah dengan Ally, budak mabuk cinta.

Lina rasa amat kecewa dengan kakaknya, dia naik ke rumah tanpa menoleh kepada Ita.
Lina terperap di dalam biliknya.. seribu perasaan kesal berlegar di ruang fikirannya, Lina tidak menyangka bahawa selama ini Ally benar- benar menjaga janji mereka.. Ally begitu memuja dirinya, Ally membawa diri bersama harapan yang tinggi untuk memiliki dirinya, Lina serba salah dan gelisah dia bangun dari katil membuka laci almari solek dan mengeluarkan pen bersama kertas, Lina mula menulis surat meluahkan apa yang tersirat dan terkilan di dalam dada. Selepas selesai menulis Lina masih melayan kesedihannya dia berbaring di atas katil dan menekup muka dengan bantal, kali ini Lina menangis lagi, sarung bantal basah disiram air mata... air mata yang kedua menitis laju selepas kali pertama lina bersedih dengan kematian Madi...
Hukuman apakah yang terpaksa ku tanggung ini.. Ya hayyun.. Ya Qayyun..

Ally baru sampai ke rumah dengan kereta Proton Wira, kereta ini lebih tegap dan berkualiti jika dibandingkan dengan yang dipasarkan dalam negara sendiri, sudah tentunya ia demikian kerana kereta ini untuk pasaran antarabangsa dan ini semua berlaku kepada semua produk jika ianya bertujuan untuk eksport demi menjaga nama baik dan kualiti pengeluar sesuatu barangan. Ally masuk ke rumah duduk disofa dan membuka sepucuk surat yang dialamatkan di pejabatnya, surat dari Kelantan. Ally kelihatan cemas kerana sebelum ini dia tidak pernah menerima surat dari kampungnya.

Assalamualaikum..
Semoga awak berada dalam kerahmatan Allah dan dapat mencari rezeki dengan tenang dan penuh keberkatan di negara minyak itu. Tujuan saya mengutus surat ini adalah untuk emohon maaf kerana telah salah sangka dan tidak memegang janji, Ally.. saya baru tahu apa puncanya awak menghilang dan menjauhkan diri dari saya, saya juga memohon maaf bagi pihak kakak saya Nita.. kerana disebabkan dialah awak membawa rajuk yang berpanjangan dan rajukitu ditambah pula dengan tindakan saya menerima pinangan orang lain selain darimu, Ally.. saya harap awak dapat merasai apa yang saya rasa dan sangkakan ke atas diri awak dalam waktu itu.
Waktu itu saya sudah hilang keyakinan bahawa awak boleh terus setia dengan cinta sedangkan awak dikelilingi oleh ramai gadis yang tertarik dengan awak, mungkin salah seorangnya adalah Alia. Ally saya mendoakan awak dan Alia akan bahagia hingga ke anak cucu, saya akan turut gembira dengan pilihan awak dan saya sama sekali tidak berhk rasa marah dan hampa kerana sayalah yang tewas dalam janji- janji kita. Akhir kata saya berazam tidak akan mencari pengganti arwah abang Madi sehinggalah Allah takdirkan saya akan bertemu lagi dengan insan seperti cinta pertama saya..
Sekian wassalam : Nor Lina      

Ally terkedu membaca surat daripada Lina dan terlentang di atas sofa mengenang saat- saat indah sewaktu bersama Lina.

Loceng  sekolah sudah berlalu Ally masih di luar kawasan sekolah, hari ini Ally lambat sampai kerana lewat bangun tidur disebabkan semalam dia berjaga sampai jam 3 pagi untuk siapkan kerja yang disuruh oleh cikgu Faridah. Cikgu Faridah sengaja meminta Ally buat kerja rumah yang banyak dan susah, cikgu muda itu memang anti dengan Ally sebab Ally selalu langgar peraturan sekolah, sudah beberapa kali cikgu Faridah menerima aduan daripada pengawas yang bertugas mencatat nama mereka yang datang lewat ke sekolah. Kebetulan Ally belajar di Kelas yang cikgu Faridah turut mengajar. Di SM Kuau cikgu Faridah dikenali dengan sikap tegas dan garangnya hinggakan pernah dia menumbuk seorang pelajar lelaki yang degil dan bermula dari situ cikgu faridah dilantik sebagai guru disiplin. Ally sudah acap kali kena rotan di punggung oleh cikgu Faridah dan setiap kali kena rotan Ally akan ponteng sekolah, pernah sekali bila dia dipanggil oleh cikgu Faridah, Ally mengatakan dia ke klinik untuk mengambil ubat penahan sakit dan losyen, tidak percaya dengan jawapan Ally dia meminta resit ubat sebagai bukti. Ally berjaya memperdaya cikgu Faridah dengan menunjukkan resit klinik yang memang sudah dirancang dan mulai dari itu cikgu Faridah tidak lagi memukul Ally tetapi dengan mendenda agar menyiapkan kerja rumah yang banyak.
                "awak lagi.."
Rungut pengawas bernama Nor Lina atau Lina, pengawas inilah yang selalu mengadu kepada cikgu Faridah, dialah yang mencatat nama Ally didalam buku log.
"Hari ni saya betul- betul bangun lewat.."
Ally dengan muka sedih dan merayu agar kali ini namanya tidak ditulis di dalam buku log lagi, dia dah muak membuat kerja rumah yang diberi oleh cikgu Faridah. Lina bertegas dan tidak peduli dengan alasan Ally. Terlalu marah dengan ketegasan Lina, Ally mengeluarkan buku latihannya.
"Nah.. awak ambik kerja rumah saya ni bagi kepada cikgu Faridah, tapi jangan tulis nama saya lewat kerana saya nak balik hari ni saya absen.. "
Selepas menyerahkan buku ke tangan Lina dengan kasar, Ally berlalu dari situ dan berjalan pulang ke rumahnya.
                Keesokkan harinya bila Ally ke sekolah cikgu Faridah memanggilnya ke bilik guru disiplin dan menunjukkan buku yang dihantar oleh Lina.
"awak dah melampau Ally, awak ingat Lina ni curier awak ke main kirim- kirim macam tu"
ketika itu Lina juga ada bersama.
"Awak ingat kerja yang saya suruh awak buat tu saya puashati.. tengok ni.."
Cikgu Faridah menunjukkan hasil kerja Ally yang rata- ratanya tanda merah, Ally jadi malu kepada Lina
"kerana Lina juga begitu perihatin dan sentiasa mencatatkan nama awak di dalam buku lognya, hari ini saya nak awak buat kerja ni sampai siap dan Lina juga akan jaga awak di sini.. saya nak masuk kelas dan kalau siap jangan keluar bilik ini sehingga saya sampai.. faham ?"
"faham cikgu.."
Hampir serentak  Ally dengan Lina menjawab. Dan pada hari itu, Ally telah membuat kerjanya sampailah loceng tamat persekolahan, pada hari itu juga bermulanya kemesraan Ally dengan Lina bila mana banyak yang Lina bantu dan tunjuk ajar Ally, ini disebabkan Lina pandai dalam mata pelajaran bahasa Inggeris. Mulai hari itu dan hari- hari seterusnya nama Ally tidak lagi dicatit dalam buku log Lina, Ally tak lagi lewat ke sekolah kadang- kadang Ally bersama Lina mentelaah di perpustakaan dan sekali- sekala mereka berdua ke Kota Bharu membeli buku- buku sekolah. Akhirnya tanpa disedari mereka berdua saling jatuh cinta. Hinggalah Ally habis periksa dan meninggalkan sekolah itu, mereka tetap berhubung dan bila bersua sekali- sekala mereka acap kali bersumpah tidak akan mencari pasangan lain dan sekiranya ditakdirkan mereka bertemu teman lain mereka berjanji akan meminta izin antara satu sama lain untuk menjalinkan hubungan dengan pasangan baru. Sehingga itu mereka bertambah akrab dan tidak dapat dipisahkan lagi.
"Ally.. kalau hubungan kita mendapat tentangan keluarga kita macam mana..?"
Lina meminta pendapat Ally ketika makan di restoran terapung dekat Tambatan Diraja.
"Saya tetap cintakan awak sehinggalah saya dengar dari mulut awak sendiri bahawa awak tak cintakan saya.."
"Iya.. janji..?"
"saya janji dan saya juga berjanji jika saya tak meminta restu dari awak hidup saya tak bahagia"
Selepas itu mereka mengenggam duit 50sen diantara genggaman tangan mereka dan sama- sama hayunkan tangan mencampakkan duit syiling itu ke dalam sungai.
"Jika sesiapa antara kita yang mungkir janji dia tak boleh lagi datang ke sini untuk selama- lamanya sehinggalah duit 50sen tu dijumpai.. setuju ?"
"Eh.. teruknya ni.."
"Apa yang teruknya kalau nak kahwin kena bagitau itu saja takkan teruk kot.."
"Umm... bolehlah"


Lina akhirnya akur dengan syarat yang dinyatakan oleh Ally.


Selepas menonton wayang bersama Lina di panggung Lido tadi Ally dan Lina terpisah kerana orang ramai dan yang baru hendak masuk ke panggung wayang bersesak- sesak, Ally menunggu dan meninjau kalau- kalau Lina masih di kelompok orang ramai tetapi sehingga  semua orang keluar Lina masih juga tidak ada, Ally tercari- cari Lina di kawasan panggung wayang tetapi tidak jumpa. Ally ke tempat letak motosikal..
"... dah balik rupanya dia.."
Ally senyum sendiri bila yakin Lina sudah balik ke rumah kerana dilihat motosikal Lina sudah pun tiada di situ.
Dalam perjalanan pulang Ally masih terfikir apa sebabnya Lina begitu marah dan tidak menunggunya untuk pulang ke rumah.
"Ini mesti pasal budak perempuan yang duk kat tepi aku dalam panggung wayang tadi.."
Ally cuba meneka puncanya.


Lina naik angin dan sengaja meninggalkan Ally. Sewaktu melintasi simpang empat Binjai Ally lihat ramai orang berkerumun melihat kemalangan yang baru sahaja berlaku, sebuah kereta kancil berwarna merah membawa mangsa kemalangan. Ally tidak melihat motosikal di tepi jalan kerana terlindung oleh sekumpulan anak muda yang kelihatan bercakap sesama mereka tentang kemalangan yang baru berlaku.
Pukul 2 petang Ally duduk menunggu Lina di perhentian bas depan sekolah, Ally yakin dia akan dapat berjumpa Lina di situ kerana Lina mesti keluar sekejap lagi untuk menunggu bas. Sedang Ally berfikir -fikir dan menyusun kata- kata untuk dilontarkan kepada Lina agar Lina dapat melupakan dan memaafkan kesilapannya.

Pelajar sekolah mula ramai keluar melalui pintu pagar utama, suasana jadi riuh dengan suara yang sedang bercakap sesama mereka, ada sekumpulan murid berebut untuk naik teksi yang berhenti di depan mereka. Ally memerhatikan Lina atau sesiapa saja yang mengenali Lina. Ada juga beberapa orang pelajar lelaki dan perempuan yang mengenali Ally dan menegurnya. Ally boleh dikatakan memang dikenali ramai di sekolah itu, ini kerana bermacam kerenah yang dilakukan sewaktu di sekolah, sebut saja nama Ally mesti ramai yang membayangkan telatah dan perlakuannya yang mencuit hati pelajar dan guru- guru. Ally sudah meninggalkan sekolah itu setahun yang lalu sementara Lina tak lama lagi akan menduduki SPM.
"Hai Ally buat apa kat sini.. masa sekolah dulu malas.. ni dah bebas ni, kenapa terjongol kat depan sekolah.."
Seorang pelajar perempuan bernama Zura menegur Ally, Zura adalah rakan baik Lina dan salah seorang pelajar yang selalu mengikuti perkembangan Ally waktu sekolah dulu.
"Err.. Lina dah keluar ke.. ?"
Dengan rasa segan Ally keluarkan juga pertanyaan kepada rakan sekelas Lina itu.
"Ohh.. awak tak tau lagi ke..?"
beberapa orang pelajar perempuan yang mengenali Ally datang dekat dengannya.
"Apa dia Zue..?"
"Lina kat hospital.. dia kemalangan waktu pulang dari kota Bharu kelmarin.."
"Kemalangan.. teruk ke,.. hospital mana Zue ?"
Ally amat terkejut dengan apa yang dikatakan oleh Zura.
"Entahlah dengar kata luka je.. taklah parah.. dia kat hospital besar.. kalau..."
Belum habis Zura bercakap, Ally dengan tergesa- gesa meninggalkan Zura yang terpinga- pinga dengan perlakuannya. Ally segera ke motosikalnya untuk ke hospital.

Dalam perjalanan ke hospital Ally baru teringat akan kemalangan yang dilihatnya di simpang empat Binjai dan dia yakin orang yang dibawa dengan kereta kancil merah itu adalah Lina. Ally rasa sesalan bertimpa- timpa kerana tidak dapat berada di sisi Lina sewaktu kejadian itu dia rasa terkilan yang amat sangat kerana tidak turut berada bersama orang ramai yang membantu Lina dan Ally yakin kalaulah dia ada bersama sudah tentu dia juga akan ikut mengiringi Lina ke hospital, Ally amat ingin menjaga Lina, biarlah dia yang menemani Lina di hospital dan melupakan hasratnya hendak mencari kerja di Kuala Lumpur, Ally tak akan jemu menjaga buah hatinya itu sehinggalah Lina sembuh dan dapat keluar dari hospital dalam keadaan sihat kembali.
Setelah sampai di hospital Ally letak motosikalnya di bawah pokok tanjung berhadapan dengan bilik kecemasan, dia berjalan dengan cepat menuju ke kaunter pertanyaan untuk menanyakan wad tempat Lina dimasukkan. Seorang wanita muda memerhatikan gelagat Ally, dia mengesyaki sesuatu dan mengikuti rapat di belakang Ally hingga sampai ke kaunter kecemasan.
"Dik boleh akak tanya... rasanya saya kenal awak.."
"Ya kak saya kawan Lina, nak melawat dia... err dia di wad mana kak ?"
"Awak tahu macam mana boleh terjadi kemalangan tu.."
Ita bertanya Ally dengan nada tegas.
"Tak tau kak tapi saya dengan dia ke kota..."
mereka menjarakkan diri dari kawasan kaunter untuk memberi ruang kepada orang lain yang nak berurusan.
"Oo.. jadi awak nilah Ally..?"
Dengan cepat Ita mencelah.
"Ya.. kak.. saya bersama dia kelmarin.."
Ita menarik tangan Ally ke tepi bangunan yang tidak ramai orang lalu lalang, dia mula memarahi Ally...

Lina terbaring di katilnya dengan beberapa bahagian badannya calar- calar dan berwarna kuning kesan ubat antiseptik yang disapu setiap hari oleh jururawat pelatih yang masih muda belia.
"Ally.. ke mana awak, kenapa tidak datang melawat saya.. kalaulah awak ada saya nak minta maaf sebab tinggalkan awak keseorangan di luar panggung wayang kelmarin, kalaulah awak datang legalah sikit sakit saya ni"
Semalaman Lina hampir tak dapat tidur kerana seluruh badannya rasa sengal dan sakit- sakit, dua kali jururawat memberi suntikan penahan sakit di punggung Lina barulah dia dapat melelapkan mata sekejap dan apabila sakitnya hilang, Nita kakaknya ada di sisi, Nita berkali kali menyoalnya tentang tujuan Lina ke Kota Bharu, Lina juga tidak menyedari bahawa dia menceritakan satu persatu setiap soalan yang ditanya oleh Nita termasuklah seorang pemuda baru habis sekolah bernama Ally dan Lina mengakui dia sangat sayangkan Ally dan berharap Ally akan melawat dan menemaninya di hospital, selepas bercerita Lina terus tertidur sementara Nita pula amat marah dan mendendami Ally, dia berjanji akan memutuskan hubungan Lina dengan Ally. Bila Lina sedar Nita sudah tidak ada disisi, beberapa orang pembantu hospital sibuk menolak troli dengan pakaian dan cadar baru untuk pesakit, beberapa orang saudara mara pesakit kelihatan turut membantu menukar pakaian. Lina yang masih sakit tidak berupaya menggerakkan tangannya yang berbalut dan membengkak, dia mengisyaratkan agar pembantu hospital tinggalkan persalinan baru di tepi katilnya dan menunggu Nita atau adiknya Tina datang membantu.. Pun begitu Lina lebih yakin hari ini Ally akan muncul di depan matanya dan Ally akan pasti membelai dahinya ataupun menuntun tangannya turun dari katil dengan rasa kasih sayang.....


TAMAT